suria

[V] Bertanding dalam kesakitan akibat sakit sendi, Asheed (Def Gab C) kagum dapat bertahan 9 minggu dalam GV

PENYANYI Asheed tidak pernah menyangka mampu bertahan selama sembilan minggu dalam program Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9) memandangkan tahap kesihatannya kurang baik disebabkan sakit sendi dihidapinya sejak 18 tahun lalu.

Asheed atau Mohd Ashid Ahmad, 49, berkata, sepanjang tempoh itu adakalanya dia hanya terlantar di rumah menahan kesakitan namun sejak menyertai GV9 dia sentiasa menguatkan diri apatah lagi jadualnya padat dengan pelbagai aktiviti.

"Saya pun tak sangka boleh bertahan selama ini. Kalau ikutkan sakit saya ini, memang kronik dan adakalanya dalam sebulan saya akan terlantar dua hingga tiga hari di rumah.

"Sejak masuk bertanding hanya semangat membuatkan saya bertahan. Syukur semuanya berjalan lancar dan dipermudahkan," katanya kepada mStar.

asheed 1

Asheed tersingkir di peringkat suku akhir GV9.

Asheed ditemui selepas tamat konsert minggu kesembilan yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada malam Ahad.

Persembahannya menerusi lagu Lena Diulik Intan gagal memikat hati juri dan menyebabkan Asheed mendapat markah paling rendah sekali gus gagal menempatkan diri ke peringkat separuh akhir.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Lincah atas pentas tapi rupanya Asheed Def Gab C simpan derita, dedah 18 tahun hidap sakit sendi

ARTIKEL BERKAITAN: Vokal sesuai lagu tapi ada peserta lebih bagus, Asheed (Def Gab C) tersingkir suku akhir GV9

Berkongsi mengenai kesihatannya, Asheed bekata, sebelum ini dia tidak pernah mendedahkan masalah tersebut malah masih menerima undangan nyanyian seperti biasa.

Reda dengan ketentuan Allah, Asheed juga tidak mahu menjadikan penyakit sebagai alasan dia berhenti menyanyi yang menjadi sumber rezeki buat dia dan keluarga.

Selama ini saya tanggung sendiri sahaja. Hanya teman-teman rapat sahaja tahu tentang penyakit ini.

ASHEED DEF GAB C

PENYANYI

“Selama ini saya tanggung sendiri sahaja. Hanya teman-teman rapat sahaja tahu tentang penyakit ini dan saya masih aktif menyanyi seperti biasa.

“Saya reda dengan apa yang telah Allah berikan ini. Mungkin ada hikmah di sebaliknya. Walaupun sakit, saya tetap kena bekerja dan tidak boleh nak mengharapkan orang sekeliling. Selagi ada tenaga saya akan terus terima undangan menyanyi,” jelasnya.

Sementara itu berkongsi pengalaman sepanjang sembilan minggu berada di GV9, Asheed melihat ia adalah satu platform terbaik untuk menimba ilmu menerusi komen juri selain latihan yang diberikan.

asheed 2

Penyertaan di GV9 memberi peluang buat Asheed menimba lebih banyak ilmu nyanyian.

Dalam masa sama, Asheed tidak pernah melihat penyertaan penyanyi muda adalah satu saingan kerana dia percaya setiap peserta ada kelebihan tersendiri.

“Tidak semestinya bila umur dah nak masuk 50 kita tak boleh belajar. Banyak ilmu yang saya dapat sepanjang menyertai GV9 ini. Saya berpuas hati kerana dapat apa yang saya mahukan.

“Saya juga tidak rasa penyertaan dalam GV9 ini untuk berlawan dengan peserta lain. Saya tidak fikir pun tentang kedudukan selepas membuat persembahan. Tak salah rasanya saya sertai program ini,” ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain