PERJALANAN Asheed Def Gab C merebut gelaran juara di pentas Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) berakhir apabila diumumkan peserta tersingkir di peringkat suku akhir pertandingan berkenaan yang berlangsung pada malam Ahad. Juri tetap, Hetty Koes Endang berkata, lagu yang dinyanyikan Asheed iaitu Lena Diulit Intan sesuai dengan vokalnya namun dia perlu berdepan dengan persembahan lebih hebat daripada peserta lain. Ekoran itu, Asheed mendapat markah paling rendah dan terpaksa melupakan hasrat bertanding di peringkat separuh akhir minggu hadapan. "Lagu ini memang sesuai dengan vokal Asheed. Dia enjoy dengan persembahannya. Persembahan Asheed mendapat pujian tapi tidak cukup menyelamatkannya daripada tersingkir. "Namun harus diingat, ini adalah pertandingan. Ada peserta lebih baik daripada Asheed," katanya. Pada peringkat suku akhir yang diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu, tiga peserta yang mendapat tempat teratas adalah Shila Amzah, Hazrul Nizam dan Jaclyn Victor. ARTIKEL BERKAITAN: Gegar Vaganza musim ke-9 tambah seminggu lagi, final 27 November 2022 ARTIKEL BERKAITAN: Dina Nadzir peserta tercorot, GV9 buat kejutan lagi tiada penyingkiran Peserta lain yang mara ke peringkat separuh akhir adalah Bob Yusof, Dina Nadzir, Fuad Rahman, Tomok dan kumpulan V.E. Sementara itu, Asheed tidak pulang hampa apabila namanya diumumkan sebagai pemenang anugerah Juara Next Level pada minggu ini. Manakala V.E. pula menerima anugerah Bintang Cuckoo Paling Gempak. Selain Hetty, dua juri tetap yang menilai persembahan kesemua peserta adalah Datuk Ramli MS dan Datuk Syafinaz Selamat. Istimewanya pada pertandingan suku akhir ini, penyanyi Hael Husaini turut tampil membuat persembahan menghiburkan penonton. Program yang disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria dan Ria HD ini dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Elly Mazlein. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI