suria

Ada yakin menang, kalau kalah biar bermaruah... Calon penggiat seni serah nasib PRU15 pada pengundi

Jurey, Idham dan Eizlan menyerahkan sepenuhnya kuasa memilih kepaad rakyat.

CALON penggiat seni yang pertama kali bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menjadi tumpuan peminat dunia hiburan untuk mengetahui sama ada mereka berjaya mendapat mandat rakyat atau pun sebaliknya.

Pengarah dan penerbit Datuk Jurey Latiff Rosli yang bertanding di Parlimen Lenggong mewakili Pakatan Harapan (PH) melihat peratusan mengundi luar terutamanya golongan muda yang pulang menjalankan tanggungjawab mereka di kawasan tersebut sebagai harapan besar untuk memenangi kerusi tersebut.

Tidak menafikan Lenggong kubu kuat Barisan Nasional (BN) namun aura PH yang disifatkan sedang membara memberi peluang cerah kepada partinya.

jurey 1

Jurey (baju merah) yakin dengan pengundi muda.

"Sebagai calon pastinya saya mengharapkan keajaiban dalam keputusan malam nanti. Kalau kalah tipis pun saya rasa syukur. Semuanya terserah kepada pengundi," katanya ketika dihubungi mStar pada Sabtu.

Parlimen Lenggong menyaksikan pertembungan Jurey bertembung dalam persaingan dua penjuru menentang Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN) dan Muhamad Rif'aat Razman mewakili Perikatan Nasional (PN).

Terdahulu, Jurey membuang undi di Sekolah Kebangsaan Lenggong sekitar pukul 9 pagi, Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Idham, Eizlan tak janji ‘bulan dan bintang’, Jurey mahu wujudkan floating market di Lenggong jika menang PRU15

ARTIKEL BERKAITAN: Ragam artis mengundi! Elfira Loy tak boleh tidur, Siti Elizad pula penat beratur tapi salah sekolah

Sama seperti Jurey, pelakon dan penerbit, Dr Ahmad Idham merasakan peluang memperoleh kemenangan agak tinggi disebabkan penerimaan baik masyarakat Port Dickson sepanjang dua minggu berkempen.

Idham mewakili parti Gabungan Tanah Air (GTA) di bawah Pejuang bersaing empat penjuru menentang Datuk Seri Aminuddin Harun (PH), Datuk P. Kamalanathan (BN) dan Rafie Mustapha (PN).

"Segala ketentuan dan keputusan PRU15 saya serahkan sepenuhnya kepada pengundi. Sepanjang berkempen saya dapat rasakan aura positif ketika bertemu masyarakat di sini.

idham 1

Idham selesa bertemu masyarakat PD.

"Apabila datang tempat orang, kita sendiri boleh rasa diterima baik apabila orang mahu berbual, ambil gambar dan bersua muka. Masyarakat PD mahukan perubahan," katanya.

Sementara itu, berkongsi pengalaman berkempen di Parlimen Tanjong Karang, calon yang mewakili Pejuang iaitu Lando Zawawi atau Azlan Sani Zawawi berkata ia peluang terbaik untuk bertemu lebih dekat dengan masyarakat di sana.

Menurut Lando, besar harapannya untuk membawa kemajuan kepada Tanjong Karang seperti mana hasrat seorang sahabatnya yang meninggal dunia lima tahun lalu.

"Saya bertanding kali ini membawa hasrat seorang sahabat yang ingin melihat Tanjong Karang lebih maju. Selepas dia meninggal dunia saya terpanggil untuk menjadi calon.

lando 1

Lando (kanan) berjuang bawa hasrat rakan baik.

"Sepanjang tempoh berkempen ini saya amat seronok dapat berjumpa keluarga dan sahabat kepada arwah. Saya bersama pasukan jentera telah buat sehabis baik," jelasnya.

Lando berdepan saingan empat penjuru menentang Datuk Habibah Mohd Yusof (BN), Mohd Rosni Mastol (Bebas), Datuk Dr Zulkapferi Hanafi (PN) dan Siti Rahayu Baharin (PH).

Bagi Datuk Seri Eizlan Yusof yang bertanding di Sabak Bernam pula, dia turut reda dengan keputusan PRU15 kali ini.

Eizlan yang bertungkus-lumus berkempen sepanjang dua minggu sebelum ini sempat mendengar pelbagai keluhan masyarakat setempat tentang permasalahan semasa mereka.

eizlan 1

Eizlan akan teruskan niat bantu rakyat walau kalah.

“Selama dua minggu berkampung dan menyantuni pengundi tempatan, hampir semua isu yang dibangkitkan rakyat sudah di dengari malah ada yang diselesaikan terus.

“Niat saya tetap sama, andai ada rezeki, saya akan terus buat kerja tapi andai tiada rezeki sekali pun, saya akan tetap bekerja untuk masyarakat Sabak Bernam atas kapasiti NGO (Badan Bukan Kerajaan)," luahnya.

Parlimen tersebut menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Eizlan (Pejuang), Shamsul Ma'arif Ismail (PH), Datuk Abd Rahman Bakri (BN) dan Kalam Sahlan (PN).

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain