suria

[V] Anwar tunjuk kesan cedera di badan, parut di kening... Farid Kamil makin berkobar-kobar lakon watak Pengerusi PH

PELAKON dan pengarah Farid Kamil sempat bertentang mata dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebanyak dua kali sebelum masuk set penggambaran filem berjudul Anwar di Jakarta, Indonesia.

Farid yang memegang watak sebagai Anwar dalam filem tersebut memberitahu dia perlu bertemu dengan tokoh politik berkenaan sebagai tanda menghormatinya dan mendalami karakternya dengan lebih baik.

"Beliau masih aktif sebagai ahli politik dan sedikit sebanyak ia membuatkan saya berasa gusar dan bimbang untuk menjayakan watak sebagai dirinya.

"Maka sebab itu saya perlu bertemunya sebelum masuk set penggambaran dan Alhamdulillah kami bertemu selama dua jam tetapi tempoh itu tidak mencukupi buat saya," katanya kepada mStar.

Farid Kamil ketika ditemui di malam gala tayangan filem Rempit 2.

Farid berkongsi perkara itu ketika ditemui selepas tayangan perdana filem terbaharunya arahannya berjudul Remp-It 2 pada malam Isnin.

Dalam pada itu, Farid berkata, menerusi pertemuan kedua, Anwar turut menunjukkan bahagian tubuh yang pernah cedera seperti mana pernah dilaporkan pada 1998.

ARTIKEL BERKAITAN: Foto Farid Kamil, Acha Septriasa sebagai Anwar dan Wan Azizah tular, peminat tak sabar ke pawagam

ARTIKEL BERKAITAN: Farid Kamil sokong Anwar Ibrahim jadi PM ke-10, netizen berbalah siapa paling layak... “Tiba waktunya, jangan lupa mengundi”

Malah kata Farid, Anwar turut membuka cermin mata dipakainya bagi menunjukkan parut akibat ditumbuk sehingga lebam yang masih terdapat di bahagian keningnya.

"Pada 1998 dilaporkan Anwar ditumbuk di bahagian muka, leher dan rusuk malah Anwar turut membuka cermin matanya untuk saya lihat sendiri kesannya dengan lebih terperinci.

Persamaan kami, beliau pernah kena tangkap, saya juga kena tangkap.

FARID KAMIL

PELAKON & PENGARAH

"Ternyata masih ada kesan parut pada bahagian kening. Itu membuatkan saya membuak-buak nak melakonkan wataknya dalam filem berkenaan," katanya.

Sementara itu, Farid mendedahkan dia adalah pilihan terakhir pihak produksi selepas calon lain tidak berani untuk melakonkan watak berkenaan.

Ini kerana mereka merasakan tidak dapat menterjemahkan watak tersebut sebaik mungkin dan dia mengambil risiko besar namun sanggup menanggung sebarang kemungkinan.

Pertemuan Farid Kamil bersama Anwar Ibrahim dan isteri.

"Saya adalah pilihan terakhir produksi kerana kebanyakan pelakon tidak berani untuk melakonkan watak ini. Mungkin mereka takut untuk terjemahkan watak itu dengan baik.

"Saya sedar akan risikonya namun saya sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan dan sudah memberikan yang terbaik," ujarnya.

Kata Farid, dia mengambil masa tiga bulan untuk mendalami tentang Anwar sebelum memasuki set penggambaran.

Jelasnya, dia berasa dekat dengan tokoh itu yang membuatkan dia yakin dapat menterjemahkan dalam bentuk filem.

Antara babak lakonan Farid Kamil sebagai Anwar.

"Persamaan kami, beliau pernah kena tangkap, saya juga kena tangkap. Bezanya, beliau kena tumbuk tujuh kali, saya pula kena tumbuk sekali," katanya.

Sebelum ini, gambar Farid bersama aktres Indonesia, Acha Septriasa yang memainkan watak Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail ketika menjalani penggambaran filem berkenaan tular dan menjadi perbualan hangat dalam kalangan peminat.

Filem arahan Viva Mesti terbitan Bianglala Entertainment berkisarkan tentang perjalan karier politik dan kontroversi Anwar daripada tahun 1993 hingga 1998 dan dijangka menemui penonton tahun hadapan.

Antara yang dipaparkan dalam filem tersebut adalah perjuangan Anwar melawan rasuah serta kontroversi beliau dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 1998.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain