SUSULAN penamatan kontrak sebagai pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Senator Datuk Seri Zurainah Musa memberitahu bakal penggantinya mempunyai tanggungjawab berat dalam menggalas jawatan tersebut. Zurainah, 60, berkata, kepimpinan baharu nanti diharap dapat memberi penekanan tentang keperluan geran dan bantuan dalam usaha menggalakkan semula penggambaran filem di Malaysia. "Wabak Covid-19 menjejaskan industri dengan teruk dan ia sangat memerlukan bantuan kerajaan pada waktu ini untuk bangkit semula. "Saya harap kepimpinan baharu nanti akan menekankan keperluan geran dan bantuan dalam bajet baharu kerajaan seperti mana saya berserta ahli-ahli perbadanan lain cuba lakukan pada tahun ini," katanya menerusi kenyataan media kepada mStar. Zurainah berharap bakal penggantinya dapat menggalas tanggungjawab dengan baik. Dalam pada itu, Zurainah berkata, isu berkaitan kebajikan ahli industri terutamanya kru-kru filem juga kritikal dan perlu diberi perhatian. Jelasnya, pihak berwajib perlu menangani isu gaji yang adil dan setimpal untuk pekerja filem. "Kita perlu memastikan mereka bukan hanya dilindungi oleh skim perlindungan insurans sosial (seperti Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di bawah Perkeso) malah kita perlu menangani isu gaji yang adil dan setimpal bagi mereka," jelasnya. ARTIKEL BERKAITAN: Bekas pengerusi Finas tak nak gaduh, akur kontrak ditamatkan walaupun tidak dipanggil berbincang ARTIKEL BERKAITAN: Isu pameran rumah hantu, pengerusi Finas minta Eizlan Yusof datang pejabat bincang sambil minum kopi Sementara itu, kebangkitan Thailand mempromosikan negara mereka sebagai destinasi penggambaran filem antarabangsa juga perlu dipandang serius. Ini kerana sekiranya proses dan pertimbangan jawatankuasa Puspal tidak ditambah baik dengan segera, ia akan menyebabkan industri tempatan jauh ketinggalan selain pelaburan berkurangan. "Saya memulakan proses mendapat bantuan Kementerian Komunikasi, Economic Planning Unit (EPU) dan Malaysian Productivity Corporation (MPC) melalui platform Economic Action Council (EAC) untuk menyelesaikan isu ini dan saya sangat berharap perkara ini tidak ditamatkan begitu sahaja. Wabak Covid-19 menjejaskan industri dengan teruk dan ia sangat memerlukan bantuan kerajaan pada waktu ini untuk bangkit semula. ZURAINAH MUSA BEKAS PENGERUSI FINAS "Saya amat yakin dan percaya pihak pengurusan Finas akan melakukan yang terbaik dalam memastikan peralihan kepimpinan berjalan dengan sebaik mungkin," katanya. Terdahulu, tugas Zurainah sebagai pengerusi Finas ditamatkan serta merta menerusi surat yang dikeluarkan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil. Kontrak Zurainah yang bermula pada 10 Jun lalu sepatutnya tamat pada 9 Jun 2024. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI