suria

Sorotan 2022: Pendedahan Puteri Balqis buat ramai terkejut, rumah tangga Syamsul Yusof dan Puteri Sarah paling kontroversi

Artis-artis yang menjadi bualan sepanjang tahun 2022.

KONTROVERSI dalam dunia hiburan adalah perkara yang memang tidak boleh dipisahkan.

Setiap tahun pasti akan ada berita sensasi yang mendapat perhatian peminat apatah lagi dalam dunia teknologi hari ini semuanya dihujung jari.

Industri hiburan 2022 juga tidak pernah sepi dengan cerita sensasi malah ada di antara isu masih menjadi perdebatan dalam kalangan peminat seperti itu rumah tangga melibatkan pelakon Puteri Sarah Liyana dan pengarah Syamsul Yusof.

Tidak hanya melibatkan kontroversi rumah tangga, sepanjang tahun ini juga selebriti Neelofa turut mendapat perhatian gara-gara tidak bersedia mendedahkan wajah anaknya, Muhammad Bilal kepada umum.

Meskipun ia bukan sesuatu isu yang patut diperbesarkan namun pengaruh seorang Neelofa dalam industri hiburan tempatan membuatkan keengganannya menunjukkan wajah Bilal menjadi kontroversi besar.

Soroton mStar menyingkap kembali isu dan kontroversi yang pernah mendapat perhatian ramai.

Kemelut rumah tangga Puteri Sarah hangat sepanjang tahun 2022.

1. Puteri Sarah VS Syamsul Yusof dan Ira Kazar

Peminat dikejutkan dengan pendedahan pelakon Puteri Sarah Liyana yang mendakwa dicurangi suami, pengarah Syamsul Yusof yang dikatakan menjalinkan hubungan cinta dengan aktres Ira Kazar.

Puteri Sarah mendakwa dia tidak hanya dicurangi tetapi menerima pelbagai gangguan daripada Ira yang juga anak kepada aktor Kazar Saisi sehingga mengambil keputusan mengheretnya ke muka pengadilan.

Aktres itu bukan sahaja melaporkan kecurangan Syamsul dan gangguan orang ketiga ke pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) tetapi turut memfailkan saman sivil terhadap wanita itu di mahkamah.

Isu rumah tangga pasangan itu bertambah panas apabila Puteri Sarah menerima pelbagai mesej di Instagram mendakwa Syamsul dan Ira sudah pun berkahwin tanpa pengetahuannya dan meminta pengarah filem itu sendiri tampil menjelaskan situasi sebenar.

Selepas sekian lama mendiamkan diri berhubung isu tersebut, Syamsul menerusi kenyataan kepada mStar bagaimanapun menyifatkan tuduhan itu sebagai fitnah dan akan memfailkan saman terhadap Jawi sebanyak RM10 juta atas dakwaan membocorkan maklumat tentang kes mereka kepada umum.

Sehingga kini, isu melibatkan rumah tangga pasangan itu masih tidak berkesudahan dan nampaknya ia akan menjadi perhatian sepanjang tahun depan memandangkan kes mahkamah terhadap Ira akan berjalan selain beberapa tindakan susulan yang akan didedahkan kemudian oleh Puteri Sarah.

Pengakuan berani Puteri Balqis kejutkan ramai pihak.

2. Pendedahan Puteri Balqis

Dunia hiburan pada 2022 turut dikejutkan dengan pendedahan pelakon remaja Puteri Balqis yang mendakwa menjadi mangsa amang seksual oleh bapa kandungnya sendiri.

Pengakuan yang dibuat menerusi temu bual bersama saluran YouTube Bros Gang TV itu bukan sahaja mengejutkan tetapi mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.

Ekoran pendedahan tersebut, Puteri Balqis atau Aqish, 15, membuat laporan polis berhubung dakwaan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya.

Menurut laporan yang dibuat, Aqish mendakwa gangguan tersebut berlaku sejak 2013 sehingga 2017 yang mana antara gangguan diterimanya termasuk dipaksa menonton video lucah dalam telefon bimbit bapanya.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen Kanun Keseksaan atas kesalahan mencabul, Seksyen 31 (1)(a), AKta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan mengabaikan seorang kanak-kanak dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan atas kesalahan memiliki bahan lucah.

Susulan pendedahan tersebut, bapa kandung pelakon berkenaan ditahan pihak berkuasa di Kedah dan telah merampas telefon bimbit milik suspek untuk disiasat.

Suspek ditahan membabitkan dakwaan kes serangan seksual, memiliki bahan lucah dan pengabaian. Kes berkenaan masih berjalan.

Perkahwinan Azri Iskandar dan Dr Azra masih ditunggu peminat.

3. Misteri teman wanita Azri Iskandar

Selepas bercerai dengan pelakon Ellie Suriaty, aktor Azri Iskandar mendedahkan bakal mendirikan rumah tangga bersama seorang wanita dikenali sebagai Dr Azra Diera.

Perkara itu dimaklumkan hanya selepas 12 hari Azri dan Ellie bercerai malah pelakon berusia 54 tahun itu juga mengesahkan sudah bertunang pada Ogos lalu.

Bagaimanapun, perkahwinan tersebut mendapat bantahan daripada anak mereka iaitu Azrell Omar yang meminta agar bapanya mempertimbangkan semula keputusan untuk kembali berkahwin.

Bahkan, Ellie sendiri bimbang sekiranya Azri terjerat dalam 'love scam' sekali gus mencabar wanita berkenaan untuk memunculkan diri.

Situasi menjadi lebih panas apabila seorang wanita lain dikenali sebagai F mendakwa pelakon itu pernah berjanji untuk menikahinya malah sudah bertemu keluarga Azri di kampung.

Bagaimanapun, perkahwinan yang dijadualkan berlangsung pada Disember terpaksa ditangguhkan kerana aktor berkenaan masih mengumpul wang.

Neelofa tak sanggup lihat wajah anak disunting netizen.

4. Neelofa sorok wajah Bilal

Sejak Neelofa melahirkan bayi sulungnya iaitu Muhammad Bilal pada 29 Januari lalu, peminat teruja untuk melihat sendiri wajah anak pelakon dan pengacara popular berkenaan.

Isteri kepada Pencetus Ummah (PU) Harris Ismail atau PU Riz ini bagaimanapun memilih untuk tidak berkongsi wajah Bilal bagi mengelak penyakit ain selain mahu anaknya itu menjalani kehidupan normal seperti orang lain.

Tindakan Neelofa menyembunyikan Bilal bagaimanapun menimbulkan perasaan kurang senang warganet sehingga dia dan PU Riz berdepan pelbagai kritikan.

Disebabkan itu juga ada segelintir pihak tidak bertanggungjawab mengambil gambar serta video wajah Bilal tanpa kebenaran dan memuat naik di media sosial.

Paling dahsyat, ada tergamak menyunting bayi yang tidak berdosa itu sehingga hilang rupa parasnya yang asal.

Enggan anaknya terus menjadi sasaran, Neelofa dan PU Riz akhirnya berkongsi wajah anak sulung mereka kepada umum menerusi sebuah video himpunan aksi Bilal sejak dilahirkan pada Oktober lalu.

Video muzik Aliff Syukri dan Vida dikritik ramai.

5. Drama Aliff Syukri, Vida diheret ke mahkamah

Usahawan Datuk Seri Aliff Syukri dan Datuk Seri Vida tidak pernah sunyi dengan pelbagai isu dan kontroversi sehingga kedua-duanya dihadapkan ke mahkamah.

Video lagu Kelepok Raya yang dinyanyikan oleh Aliff Syukri serta menampilkan aksi beberapa lelaki berperwatakan lembut menari sekali gus menerima kecaman netizen.

Malah, usahawan berkenaan turut dipanggil untuk memberi keterangan di Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia (SKMM) bagi membantu siasatn berhubung video lagu raya berjudul Kelepok Raya.

Bagaimanapun, Aliff mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi video bersifat sumbang di Mahkamah Sesyen Sepang.

Kes tersebut didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang jika disabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak lebih Rm50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap kesalahan itu.

Dalam pada itu, Datuk Seri Vida juga menerima nasib sama apabila dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia (SKMM) bagi membanti siasatan kontroversi video muzik (mv) lagu Muah Muah Raya.

Video muzik Vida dikritik ramai apabila warganet beranggapan usahawan berkenaan tidak menghormati maksud sebenar hari raya sekali gus didakwa menampilkan unsur drag queen.

Pun begitu, Vida mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang atas pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi video bersifat sumbang.

Vida didakwa mengikut Skesyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

355252

Doa peminat sentiasa bersama PU Azman.

6. 11 tuduhan amang seksual remaja lelaki PU Azman

Tiada angin tiada ribut, nama Pencetus Ummah (PU) Azman menjadi bualan ramai selepas netizen berteka teki seorang pendakwah bebas ditahan reman bagi membantu siasatan terhadap beberapa kes amang seksual terhadap remaja lelaki.

Ketiadaan PU Azman atau Azman Syah Alias menerusi segmen Morning Morning Suria yang bersiaran setiap Jumaat turut membuatkan PU Azman atau Cik Man menjadi sasaran sebagai pendakwah bebas yang dimaksudkan.

Kemunculan Cik Man di Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan dengan tangan bergari ketika memasuki ruang mahkamah menjadi perhatian apabila dia didakwa atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan kelucahan melampau itu terhadap dua remaja lelaki berusia 16 dan 17 tahun malah mahkamah menetapkan jaminan RM40,000 bagi kesemua pertuduhan dan tertuduh dilarang menghampiri mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Selain itu, mahkamah juga menetapkan syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran pada Sabtu pertama setiap bulan dan paspot diserahkan kepada mahkamah.

Belum selesai kes tersebut, PU Azman sekali lagi didkawa atas tiga pertuduhan amang seksual dan kelucahan melampau terhadap tiga remaja lelaki.

Kesemua tuduhan itu dibuat di mahkamah Klang iaitu masing masing dua pertuduhan Mahkamah Sesyen semenara satu pertuduhan di Mahkamah Majistret melibatkan dakwaan melakukan amang seksual secara fizikal mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat, sekiranya disabitkan kesalahan bagi setiap pertuduhan.

Dia juga didakwa menggalakkan komunikasi secara seksual melalui aplikasi WhatsApp dengan dituduh mengikut Seksyen 11 (1)(b) akta kesalahan-kesalahan seksual terhadap kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun.

Manakala Mahkamah Majistret pula, Azman berdepan dengan tuduhan melakukan perbuatan kelucahan melampau terhadap seorang remaja lelaki berusia 19 tahun.

Tak henti di situ, PU Azman berdepan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal kesepuluh terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun di Mahkamah Sesyen Ampang.

Cik Man didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah bilik resort di Hulu Langat pada waktu tengah hari pada 22 Julai lalu.

Jika disabitkan kesalahan, PU Azman boleh dihukum mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Terbaharu, PU Azman berdepan pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam didakwa melakukan perbuatan amang seksual pada September 2017 di sebuah inap desa di Jalan Kebun, Shah Alam terhadap remaja berusia 17 tahun.

Azman atau lebih mesra dengan sapaan Cik Man boleh disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 14 9a) dan Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Untuk kesemua pertuduhan tersebut, PU Azman mengaku tidak bersalah.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain