PROGRAM dokumentari Syahadah yang ditayangkan di saluran TV1 mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila memenangi trofi Filem Dokumentari Pendek Terbaik di Festival Filem Dunia Cannes (CWFF) yang berlangsung pada 26 Disember lalu. Episod filem dokumentari pendek berjudul Hijrah Muhibah itu merupakan terbitan Unit Majalah dan Dokumentari RTM menerusi penerbit program Azry Ahmad Mustafa Hadi. Azry berkata, kemenangan itu membuktikan filem dokumentari tempatan juga mampu berdiri setanding dengan program terbitan antarabangsa dan ia pencapaian cukup bermakna buat Malaysia khususnya RTM. Syahadah buktikan filem dokumentari tempatan juga mampu berdiri setanding dengan filem dokumentari antarbangsa Dokumentari itu kata Azry berkongsi tentang realiti sebenar kehidupan dilalui masyarakat beragama Islam dan Kristian yang mengamalkan semangat muhibah di Lutong, Miri, Sarawak. Ia mengisahkan tentang penghijrahan jauh seorang guru agama dari Terengganu ke Lutong iaitu Mohd Zulkifli Mohd Adnan yang mengajarnya tentang erti muhibah serta membiasakan diri hidup dalam kalangan masyarakat pelbagai agama. ARTIKEL BERKAITAN: ‘Spilt Gravy’ Filem Terbaik FFM32 raih 7 anugerah, ketepikan Mat Kilau ARTIKEL BERKAITAN: Usaha Suria FM promosi travel di radio dapat pengiktirafan, menang anugerah Media Pelancongan Kreatif Terbaik Dalam perkembangan lain, episod sama turut berjaya memenangi kategori Dokumentari Pendek Kali Pertama Terbaik di Anugerah Antarabangsa Dokumentari Pendek Bangkok (BKK Short Doc) yang berlangsung pada 30 November lalu. Rancangan Syahadah ditayangkan semula bermula setiap Jumaat, 10.30 malam menerusi saluran TV1. Filem dokumentari ini juga boleh ditonton di saluran TV Okey bermula 1 Januari nanti yang akan bersiaran pada pukul 4.30 petang. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI