suria

Enam tahun dalam industri, Amir Masdi masih anggap diri penyanyi baharu.. “Perjalanan sebagai anak seni bukan mudah”

Amir tidak pernah meletakkan dirinya pada kedudukan selesa.

PENYANYI Amir Masdi masih menganggap dirinya sebagai seorang pendatang baharu meskipun sudah lebih enam tahun berkecimpung dalam dunia seni selepas menjuarai Akademi Fantasia ke-13 pada 2016.

Kata Amir atau nama sebenarnya Amir Syazwan Masdi, 27, dia tidak selesa apabila namanya diletakkan sebagai penyanyi senior kerana masih banyak perkara yang belum dicapai.

"Kalau kita letakkan sasaran untuk pergi lebih jauh, jadi tempoh enam tahun sebelum ini saya anggap masih baharu dan banyak yang perlu dipelajari lagi.

amir masdi 3

Masih banyak impian yang mahu dikejar Amir sebagai anak seni.

"Saya banyak melihat artis-artis senior dan mereka juga melalui fasa yang sama. Mendengar pengalaman mereka membuatkan saya sedar bahawa perjalanan sebagai anak seni ini bukan mudah. Tidak layak untuk saya bandingkan pengalaman enam tahun ini dengan apa yang mereka telah lalui.

"Dalam masa sama, menggelarkan diri sebagai artis baru juga mengingatkan saya untuk sentiasa fokus dalam kerjaya,” katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, Amir juga meluahkan rasa syukur apabila dirinya semakin mendapat perhatian ramai dan lagu nyanyiannya juga mula mendapat tempat di hati peminat.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Kerap main badminton bersama, Amir Masdi jawab hubungan sebenar dengan Shila Amzah

ARTIKEL BERKAITAN: Amir Masdi lega ‘Sekuntum Mawar Merah’ versinya dapat persetujuan Ella

Bersemangat untuk terus melangkah maju, penyanyi ini juga bagaikan tidak pernah kenal istilah penat kerana itu dianggap satu perkara negatif yang boleh menghalangnya mencuba perkara baharu.

"Apabila berada pada tahap sekarang ini mestilah rasa bangga kerana apa yang saya mahukan setakat ini sudah tercapai. Saya sentiasa percaya pada rezeki, jangan pernah merungut dengan apa yang diusahakan selama ini.

"Saya tahu mungkin apa yang sedang diusahakan sekarang ini nampak penat, tetapi ini adalah jalan yang saya pilih. Kena sentiasa positif," ujarnya.

Saya sentiasa percaya pada rezeki, jangan pernah merungut dengan apa yang diusahakan selama ini

AMIR MASDI

PENYANYI

Terbaharu, Amir tampil dengan sebuah lagu berjudul Sengaja yang merupakan ciptaan bersama Hang Nadim dan Bunga Cantik.

Menganggap ini sebuah karya yang istimewa, Amir gembira kerana dapat menunaikan impian ibunya yang mahu dia bekerjasama dengan dua komposer berkenaan.

"Selama enam tahun saya bergelar anak seni, ibu saya selalu mengingati saya untuk mendapatkan lagu daripada Hang Nadim. Ibu saya pun teringin juga nak lihat saya menyanyikan sebuah lagu daripada Hang Nadim.

amir masdi 2

Amir dijemput menghiburkan pengunjung di atas kapal Dream Cruises selepas pelancaran lagu baharu.

"Dengan restu ibu, usaha saya dan pasukan, Alhamdulillah apa yang diimpikan kami berdua selama ini kini menjadi kenyataan. Saya berpegang dengan prinsip bahawa hasil tidak akan mengkhianati usaha," jelasnya.

Pelancaran lagu tersebut telah diadakan di atas kepal pelayaran mewah Dream Cruises pada minggu lalu bersama lima orang peminat yang membayar sendiri kos percutian tersebut.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain