suria

[V] Iskandar Spring derita pelbagai penyakit termasuk lumpuh, sahabat dan Karyawan bergabung bantu kutip dana

GITARIS kumpulan Spring iaitu Tengku Raden Iskandar Tengku Ismail ketika ini diduga dengan pelbagai masalah kesihatan seperti diabetes, kesukaran bertutur, lumpuh selain perlu menjalani rawatan dialisis akibat komplikasi buah pinggang dialaminya.

Ekoran masalah kesihatan itu, Iskandar, 54, memerlukan biaya bagi kos perubatan dan perbelanjaan yang agak tinggi iaitu sekitar RM40,000 setahun atau secara purata RM3,000 sebulan.

Simpati melihat kesihatan Iskandar yang semakin merosot, vokalis kumpulan itu, Ameng Spring dan Umarul daripada Iklim telah mengusulkan idea kepada Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) bagi mengadakan Jelajah Amal Solidariti Iskandar Spring dalam usaha mengumpul dana bagi meringankan beban kewangannya.

Umarul yang sudah bersahabat dengan Iskandar selama 30 tahun berkata, dia bersimpati dengan nasib menimpa pemuzik itu apatah lagi dia seorang yang baik hati, ceria dan gemar membantu orang lain.

800x533 (28)

Umarul simpati melihat keadaan sahabat baiknya.

Kata Umarul, perwatakannya yang sentiasa ceria sentiasa dalam memori dan atas persahabatan tersebut dia bersama rakan-rakan mahu meringankan beban ditanggung Iskandar.

"Syukur Alhamdulillah idea mengadakan jelajah amal ini mendapat sambutan baik malah ramai sudi membantu dan menyalurkan sumbangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibnor Riza alami masalah ‘vocal chord palsy’, sukar bercakap dan leher membengkak

ARTIKEL BERKAITAN: Syafiq Farhain bakal bergelar bapa, isteri sedang hamil 5 bulan

"Insya Allah dengan niat dan tujuan yang baik ini akan dapat membantu mengumpul dana buat Iskandar," katanya.

Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez berkata, selepas melakukan perbincangan, pihaknya bersetuju untuk menganjurkan program jelajah seluruh negara untuk mengadakan persembahan dalam bentuk basking.

"Persembahan yang bakal berlangsung bertujuan bagi mengutip dana untk membiayai derita yang ditanggung Iskandar yang sudah setahun terlantar sakit," katanya.

Kata Freddie, program tersebut akan diadakan di beberapa buah negeri di seluruh Malaysia yang akan bermula pada 29 Januari ini pada pukul 2.30 petang di Santai Seni Jalan Tunku Abdul Rahman berhadapan kompleks Kamdar.

thumbnail

Barisan artis yang terlibat dalam jelajah amal berkenaan.

Selain itu kata Freddie, antara lokasi lain jelajah amal tersebut termasuk di Padang Kota, Pulau Pinang, Terengganu Drawbridge, Kuala Terengganu, Ipoh, Kota Bahru dan lain-lain pada tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Bagi memeriahkan acara, antara persembahan istimewa Jelajah Amal Solidariti Iskandar Spring daripada barisan artis dan pemuzik terkenal tanahair termasuk Ameng Spring, Umarul Iklim, Syafiq Farhain, Alim Kris, Maman Teachers Pet, Bob Sentuhan, Mus Kemala, Belle Fattah, Iss Arffan, Black Maria dan Islah & The People.

Mekanisme kutipan sumbangan kata Freddie adalah melalui jualan amal beberapa produk seni seperti cakera padat agama, tabung bergerak, kod imbasan QR dan secara dalam talian.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain