suria

[V] Nazrey Johani dedah derita psoriasis sejak 17 tahun lalu, punca jarang keluar bertemu orang

BEKAS anggota kumpulan Raihan, Nazrey Johani mendedahkan bahawa dirinya menderita penyakit psoriasis sejak 17 tahun lalu membuatkan dia jarang bertemu dengan orang ramai.

Kata Nazrey, 51, disebabkan penyakitnya itu dia tidak mampu bertahan lama dalam keadaan cuaca panas mahupun sejuk sekali gus membuatnya rasa tidak sedap badan.

"Saya sebenarnya masih kurang sihat, saya tidak boleh terlalu panas atau terlalu sejuk. Saya ada masalah kesihatan dari segi psorasis (penyakit kulit). Sebenarnya penyakit yang saya hidap ini sejak saya keluar daripada Raihan iaitu tahun 2006.

"Ada masa ia akan teruk... untuk sekarang ini ia turun sikit-sikit, itu yang saya gagahkan diri untuk ke Kuala Lumpur," katanya.

MRXH7592

Nazrey Johani tidak tahan berdepan cuaca panas dan sejuk.

Nazrey berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media Konsert Saujana 25 Tahun yang berlangsung pada Khamis di ibu kota.

Nazrey yang terlihat pucat ketika itu berkata suhu rendah membuatkan dia terlihat seakan-akan tidak sihat kerana menahan kesejukkan penghawa dingin.

"Penghawa dingin macam ini saya tak tahan. Saya sekarang ini mungkin nampak pucat sikit sebab menahan sejuk sahaja... nampak pucat sikit sebab saya tahu saya belum sihat sepenuhnya," kongsinya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Hati saya tak tenang” - Nazrey dedah punca sebenar keluar Raihan, tak mahu hidup dalam dunia populariti

ARTIKEL BERKAITAN: “Kita kena faham jika mereka tak sudi” - Jawab Nazrey diminta kembali bersama kumpulan Raihan

Pun begitu, Nazrey menganggap bahawa ini semua ujian Allah SWT yang diberikan kepadanya ketika melakukan dakwah dan mencari dana untuk pembangunan madrasahnya.

"Doktor kata psoriasis yang boleh disebabkan tekanan. Apa pun ini ujian Allah kepada saya untuk meneruskan kerja-kerja dakwah, mencari dana, dan menguruskan madrasah.

"Ada masa saya mampu berjumpa dengan orang ada masa tidak mampu kerana kesihatan saya ini," katanya lagi.

Apa pun ini ujian Allah kepada saya untuk meneruskan kerja-kerja dakwah, mencari dana, dan menguruskan madrasah.

NAZREY JOHANI

PENYANYI NASYID

Dalam pada itu, Nazrey memberitahu jemputan daripada rakan-rakan nasyid membuatkan dia gagahkan diri untuk terbang dari Sabah ke Kuala Lumpur meskipun kesihatannya dalam keadaan tidak menentu.

"Jemputan untuk konsert Saujana ini adalah yang saya usahakan untuk mampu menunaikan, banyak jemputan lain sebenarnya.

"Saya tak dapat nak jayakan tapi Alhamdulillah berbeza dengan jemputan kawan-kawan dan sahabat seperjuangan saya ini. Kalau rasa tidak sihat pun, kena usaha untuk sihat," ujarnya lagi.

MRXH7910

Nazey Johani akan turut serta di Konsert Saujana 25 Tahun pada 5 Mac 2022.

Berkongsi mengenai kemunculannya di konsert Saujana 25 Tahun ini, Nazrey memberitahu dia berbesar hati untuk menjadi artis undangan bagi rakan-rakan nasyidnya.

Tambahnya, dia akan menyanyikan tiga buah lagu di konsert berkenaan iaitu dua lagu solo hasil ciptaannya sendiri manakala satu lagi bersama kumpulan Saujana.

"Alhamdulillah mereka pun tak benarkan saya menyanyi banyak-banyak, orang lama ini lagi sikit dia menyanyi lagi dia suka. Terima kasih Saujana," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain