suria

‘Belagu II’ kolaborasi dengan Budapest Scoring Orchestra, lagu klasik sentuhan mewah Dayang Nurfaizah

Dayang mahu dekatkan generasi baharu dengan lagu klasik.

KEJAYAAN dan sambutan luar biasa album Belagu sebelum ini mendorong penyanyi Dayang Nurfaizah sekali lagi merakamkan semula lagu-lagu klasik menerusi projek susulan berjudul Belagu II.

Dayang atau Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 42, berkata, apa lebih menarik tentang album berkenaan ia turut mendapat kerjasama daripada orkestra terkenal dunia, Budapest Scoring Orchestra (BSO) di mana proses rakaman dan susunan muzik dilakukan pada September 2022 di Budapest, Hungary.

Jelas Dayang, besar harapanya agar penghasilan album tersebut dapat mendekatkan lagi generasi muda dengan lagu klasik Melayu sekali gus mendedahkan mereka tentang keindahan muzik zaman dahulu.

dayang 2

Dayang harap peminat puas dengan hasil Belagu 2.

"Atas penerimaan Belagu yang sangat positif, saya dan pasukan kerja sedar bahawa kami perlu lakukan sesuatu yang lebih besar untuk sajian kepada penggemar muzik.

"Impian ini mencabar kami untuk bermain dengan imaginasi bagaimana sesebuah lagu klasik Melayu itu dipersembahkan di pentas dunia.

ARTIKEL BERKAITAN: Ungguli senarai pencalonan AIM23, Dayang Nurfaizah sifatkan ‘Belagu’ projek dekat di hatinya

ARTIKEL BERKAITAN: “Gosip cinta... dah penat orang akan berhenti” - Dayang Nurfaizah biar peminat buat spekulasi

"Jadi kami mengambil keputusan untuk berkolaborasi dengan orkestra terkenal dunia, BSO.

"Kami percaya peminat Belagu II akan disajikan dengan pengalaman berhibur menerusi lagu-lagu klasik kita berserta bunyi-bunyian yang lebih mewah," katanya.

Peminat Belagu II akan disajikan dengan pengalaman berhibur menerusi lagu-lagu klasik berseta bunyi-bunyian lebih mewah.

DAYANG NURFAIZAH

PENYANYI

Seperti album sebelum ini, Dayang juga mendapatkan khidmat penerbit muzik terkenal, Aubrey Suwito bagi merialisasikan impian dan idea untuk projek tersebut.

Kata Dayang, Aubrey individu bertanggungjawab melakukan penyusunan semula lapan buah lagu sebelum dibawa untuk rakaman orkestra bersama BSO di Budapest.

Lebih istimewa lagi, Dayang turut menghadiahkan peminat dengan sebuah lagu baharu berjudul Rindu Menyapa yang dicipta sendiri oleh Aubrey dan liriknya pula ditulis oleh Datuk Habsah Hassan.

dayang 3

Dayang sekali lagi bekerjasama dengan Aubrey dalam Belagu 2.

"Di awal perbincangan untuk menerbitkan album ini, saya sudah terfikir alangkah baiknya jika dimasukkan satu lagu baru.

"Aubrey berikan lagu ini untuk sebuah projek lain, namun saya rasakan ia sesuai untuk Belagu II kerana mempunyai elemen klasik Melayu," ujarnya.

Sementara itu, Aubrey berkata, penghasilan album ini memberi cabaran besar buatnya memandangkan perlu membawakan persembahan orkestra simfoni dalam lagu-lagu klasik.

DN

Dayang berkampung di Budapest pada September tahun lalu bagi merakamkan Belagu II.

"Untuk menterjemahkan semula lagu klasik Melayu dalam bentuk persembahan orkestra simfoni bukan satu tugas yang mudah.

"Tetapi melihatkan hasilnya memberikan saya satu kepuasan berganda, sangat berbaloi dengan penat lelah sepanjang proses menyiapkannya," jelasnya.

Antara lagu yang dirakamkan semula adalah Nak Dara Rindu, Menanti Di Ambang Syurga, Ketipang Payung, Jauh Di Mata, Mengapa Dirindu, Sejak Ku Bertemu Padamu, Dari Hati Ke Hati, dan Umpama Jinak Di Air Tenang.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain