suria

Siti Nurhaliza pun tampil tema uniform sekolah, konsert Ada Apa Dengan Melly? gamit memori 3,000 penonton

Datuk Siti Nurhaliza berunifom sekolah raih perhatian penonton Konsert Ada Apa Dengan Melly?

KONSERT pertama penyanyi dan penulis lirik, Melly Goeslaw di Malaysia berjaya menggamit kenangan 3,000 penonton yang datang menyaksikan Ada Apa Dengan Melly? yang berlangsung di Plenary Hall Convention Center Kuala Lumpur (KLCC) pada malam Sabtu.

Memilih konsep kembali ke sekolah, acara yang bermula pada pukul 9 malam itu turut memperlihatkan ramai peminat hadir menggayakan uniform sekolah mereka dengan cara tersendiri.

Tidak hanya peminat, penyanyi terkenal negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza turut tampil dengan tema ditetapkan yang mencuri perhatian penonton.

314737107_112961611494627_8653534698775193555_n

Datuk Siti Nurhaliza bersama Izara Aishah dan juga Tya Ariffin.

Melly yang membuka tirai persembahan dengan lagu Ingin Mencintai dan Dicintai tampil bersama busana unik serta bertenaga sekali gus menggamatkan suasana dewan.

Pada malam itu, Melly yang mesra menyapa peminatnya telah menggayakan empat persalinan, bermula dengan pakaian berbentuk simetri berserta 'birthday hat' yang bersaiz besar sehinggalah imej trojan yang sememangnya memukau penonton.

Meskipun berbeza bahasa namun Melly percaya itu bukan penghalang untuk menikmati apa jua karya dari pelbagai negara kerana muzik itu bersifat universal baginya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiket konsert Melly Goeslaw laris, tak sampai sejam dah ‘sold out’

ARTIKEL BERKAITAN: Melly Goeslaw pernah jadi mangsa diskriminasi kerana berbadan gempal, pereka fesyen enggan taja pakaian

"Sebenarnya malam ini saya berdoa apa yang saya katakan akan difahami kamu semua di sini sebab kita ada sedikit perbezaan (bahasa) tapi bila datang tentang seni dan muzik, ia langsung tidak mengenal apa itu perbedaannya.

"Macam kita tengok drama Korea dan Tukri, kita faham dengan penterjemahan, jadinya hasil karya seni itu memang boleh dinikmati semua tanpa ada halangan.

"Ini juga merupakan kali pertama saya tampil membuat konsert di Malaysia dan ternyata kalian cukup beruntung sekali," katanya.

287116985_563759191802648_8355696384501331881_n

Antara pakaian dikenakan Melly Goeslow.

Lebih menarik lagi apabila Melly juga menjemput kucing bernama Yoyo yang terkenal dengan sikap suka memeluk apa saja barang diberi kepadanya sekali gus mengakui dia seorang pencinta kucing.

"Saya ada 41 ekor kucing yang mana empat adalah kucing import dan selebihnya kucing yang diambil di jalanan. Yoyo ini sangat viral di TikTok, saya senang berjumpa Yoyo," katanya.

Sepanjang tiga jam konsert berkenaan, Melly mendendangkan peminatnya dengan hampir 30 buah lagu yang mengimbau kenangan seperti Ada Apa Dengan Cinta, Hanya Memuji, Jika, Gantung, Tentang Seseorang, Tak Tahan Lagi, Kubahagia dan banyak lagi.

328577136_879062283412197_3202679198165739293_n

Konsert Ada Apa Dengan Melly? imbau kenangan penonton.

Melly juga menyanyikan Di Mana Kan Ku Cari Ganti serta Bunyi Gitar sebagai tanda mengingati Seniman Agung Negara, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee yang dia kagumi sejak dahulu lagi.

Konsert Ada Apa Dengan Melly? ini turut dihadiri tetamu kehormat iaitu Ke Bawah Duli Yang Teramat Mulia (KDYMM), Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Miamunah Iskandariah dan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permasuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman.

Dalam pada itu, selain Siti Nurhaliza, antara selebriti yang turut hadir adalah Fazura, Fattah Amin, Amy Search, Misha Omar, Syafiq Kyle, Azira Shafinaz, Mimi Lana, Puteri Aishah dan Nuha Bahrin.

Bukan itu sahaja, rakan-rakan Melly seperti Rossa, Yuni Shara, Mayang Sari dan Raffi Ahmad juga sanggup terbang dari Indonesia untuk sama-sama menonton konsert berkenaan.

Artikel Lain