suria

Kemenangan satu bonus tapi hubungan kembali bertaut hadiah paling besar buat Zaki dan Yamani - “Saya sudah lupa macam mana layanan seorang abang”

Famili Duo eratkan hubungan Zaki dan Yamani.

KEHADIRAN penyanyi Datuk Jamal Abdillah meniup semangat buat Zaki Yamani dan Yamani Abdillah untuk bersaing di pentas akhir Famili Duo sekali gus menjuarai pertandingan berkenaan pada malam Ahad.

Yamani atau Osama Yamani Jamal Ubaidillah, 22, berkata, mereka adik-beradik sebak melihat kelibat Jamal kerana memang mengharapkan kehadiran bapa dan bersyukur apabila penyanyi itu membuat kejutan.

"Memang kami mengharapkan ayah hadir. Saya sendiri ada hantar mesej untuk minta dia datang pada malam akhir sebab ayah tak pernah datang tengok kami buat persembahan.

"Sebelum itu pun dia ada mesej beri nasihat dan minta kami tidak tergopoh-gopoh dalam membuat persembahan dan menyanyi dengan ikhlas.

zaki1 - 1

Jamal Abdillah hadir tanda sokongan buat Zaki dan Yamani.

"Ayah datang pun kami terkejut sebab petang tadi (semalam) baru kami tahu dia dalam perjalanan ke sini," katanya kepada mStar.

Yamani berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Famili Duo Akhir yang diadakan di Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada Ahad.

Dalam pada itu, Zaki atau Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah, 17, pula memberitahu penyertaan dalam Famili Duo juga mengeratkan semula hubungan dengan abangnya itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Zaki dan Yamani Abdillah juara Famili Duo musim kedua, bawa pulang hadiah wang tunai RM100,000

ARTIKEL BERKAITAN: Mas Idayu pernah marah Zaki dan Yamani, Jamal Abdillah tunjuk 'thumbs up'

"Terima kasih Famili Duo sebab saya sebenarnya sudah lupa macam mana layanan abang kepada saya. Bila bertemu semula dalam program ini, saya kembali ingat semula tentang chemistry yang ada pada kami.

"Kali terakhir kami rapat masa saya darjah dua, selepas itu abang mula masuk ke sekolah seni. Alhamdulillah, kali ini kami dapat bertemu semula sebab hari-hari jumpa," ujarnya.

Terdahulu, Zaki dan Yamani membuat kejutan apabila muncul sebagai juara Famili Duo musim kedua menumpaskan tiga pencabar lain iaitu Ayda Jebat dan Fyna Jebat, Wanie Kayrie dan Bella Astillah serta Sissy Imann dan Naim Daniel.

Kali terakhir pun kami rapat masa saya darjah dua. Alhamdulillah, kali ini kami dapat bertemu semula sebab hari-hari jumpa.

ZAKI YAMANI

PENYANYI

Pasangan adik-beradik ini mempertaruhkan lagu medley Pelukan Angkasa (SOG & Shila Amzah) dan Potret (Akim & The Majistret) pada pusingan pertama dan medley lagu Hutang (Floor88), Bunga (Altimet) dan Kau Pun Sama nyayian asal Syamel.

Kemenangan itu sekali gus melayakkan mereka membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai sebanyak RM100,000.

Kedua-dua beradik ini juga sepakat untuk memberikan wang kemenangan buat kedua ibu mereka.

Untuk rekod, Jamal pernah berkahwin dengan Basariah Abdul Latif pada 1988 tetapi mereka tidak dikurniakan anak.

zaki2 - 1

Persembahan bertenaga daripada duo Zaki dan Yamani.

Selepas bercerai dengan Basariah pada tahun 1996, Jamal berkahwin buat kali kedua dengan Intan Noraina Mohd Yusof pada tahun 2001 dan dikurniakan seorang anak iaitu Osama Yamani tetapi perkahwinan itu juga tidak kekal lama.

Jamal kemudian berkahwin dengan Fatimatuzahra Samad pada Disember 2005 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Zaki Yamani.

Seperti dua perkahwinan sebelum ini, Jamal dan Fatimatuzahra turut bercerai pada 2007.

Selepas 10 tahun menduda, Jamal berkahwin buat kali keempat dengan Datin Zai Izzati Khiruddin dan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Nur Azura, 4, El Issac Yamani, 3 dan Iskandar Rayyan Yamani yang kini berusia setahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain