PELAKON Ben Amir mendedahkan pernah melalui fasa tertekan akibat kecederaan mata kiri yang dialami sehingga terpaksa melakukan pembedahan pada Jun tahun lalu. Enggan bercerita bagaimana punca sebenar kejadian yang berlaku, Ben atau Muhammad Amiruddin Sabaruddin, 33, memberitahu ia disebabkan berlakon babak aksi dalam sebuah penggambaran. Akibat kecederaan tersebut juga, dia mengalami rosak sepenuhnya kira-kira 20 peratus bahagian mata dan turut mengganggu penglihatan. Mata kiri Ben cedera selepas terlibat dalam satu babak aksi. “Pulih selepas pembedahan mata itu ambil masa lebih kurang dua hingga tiga bulan juga. Tetapi dalam tempoh enam bulan sebelum ini saya memang lalui fasa tekanan dari segi mental dan fizikal. “Alhamdulliah semuanya sudah pulih tetapi kita-kira 20 peratus bahagia mata total damage. Sekarang ini memandu malam agak sukar jika terlalu banyak cahaya. “Doktor tidak sarankan untuk buat aktiviti lasak, tetapi untuk hilangkan tekanan saya keluar buat sesuatu yang saya suka seperti berjalan-jalan dan hiking,” katanya kepada mStar. ARTIKEL BERKAITAN: Ben Amir dan Siti Saleha ungguli Anugerah Telenovela ke-8, turut bawa pulang trofi ‘Bintang dan Ratu Telenovela’ ARTIKEL BERKAITAN: Ben Amir tak lari daripada tanggungjawab, balik Malaysia atas faktor kesihatan dan keselamatan Ben ditemui selepas majlis Anugerah Telenovela kelapan yang berlangsung di Pusat Dagangan Putra (WTC), Kuala Lumpur pada malam Sabtu. Pada majlis berkenaan dia menerima tiga anugerah iaitu Bintang Telenovela, Pelakon Lelaki Telenovela 2019 dan 2020. Selepas lebih enam bulan tidak terlibat dengan penggambaran, Ben melihat tahun ini sebagai satu permulaan untuk dia buat kemunculan semula di lokasi. Selepas lama berehat akibat kecederaan mata ini, saya anggap tahun 2023 sebagai masa untuk buat comeback BEN AMIR PELAKON Dalam masa sama pelakon drama Sweet Dreams ini tidak melihatkan kes saman yang melibatkan namanya sebelum ini menjejaskan kerjaya seni. “Apa yang berlaku langsung tidak memberi impak kepada kerjaya seni. Saya masih menerima tawaran berlakon dan menang anugerah. Perkara sudah lepas tak perlu nak diungkit lagi. “Selepas lama berehat akibat kecederaan mata ini, saya anggap tahun 2023 sebagai masa untuk buat comeback,” ujarnya. Ben merangkul tiga trofi pada malam Anugerah Telenovela ke-8. Sementara itu anugerah yang diterima pada malam berkenaan juga diharap dapat memberi semangat untuk dia terus berkarya. Kata Ben dengan pengiktirafan sebegini ia membuktikan segala pengorbanan selama sepuluh tahun bergelar anak seni berbaloi. “Ini pertama kali dalam hidup dapat tiga anugerah sekaligus dalam satu malam. Rasanya segala pengorbanan selama 10 tahun ini berbaloi,” ucapnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube