MENGANGGAP lagu Terus Hidup sebagai sebuah karya yang istimewa buatnya, penyanyi Aina Abdul sanggup berhabis hampir RM85,000 secara keseluruhan untuk persembahan di pentas Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) yang berlangsung di Arena Axiata, Bukit Jalil pada malam Ahad. Kata Aina atau nama sebenar Nurul Aina Abdul Ghani, 30, apa yang dilakukan juga sebagai satu tanda penghargaan buat peminat yang telah banyak memberikan sokongan terhadap kerjaya seninya selama ini. "Iya, memang saya berbelanja agak banyak untuk baju, set persembahan dan apa sahaja yang dilihat ketika di atas pentas. Pada ketika ini dalam kerjaya saya mahukan sesuatu yang berbaloi. Jadi saya tahu perlu ada sedikit pelaburan. Malam bertuah buat Aina apabila membawa pulang dua trofi di AJL37. "Pada malam ini (Ahad) sahaja saya bawa 30 orang bersama sebagai team yang menguruskan segala aspek. Semangat mereka yang saya bawa di atas pentas. Syukur saya ada rezeki untuk berbelanja dan tidak ada masalah untuk invest kali ini,” katanya. Ternyata pelaburan itu membuahkan hasil apabila dia membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM112,000 selepas berjaya menggondol gelaran juara AJL37 dan menang kategori Vokal Terbaik pada malam tersebut. Kata Aina, lagu ciptaanya itu juga merupakan sebuah karya yang didedikasikan buat arwah bapa yang meninggal dunia ketika dia berusia 15 tahun. ARTIKEL BERKAITAN: ‘Terus Hidup’ juara AJL37, Aina Abdul turut bawa pulang trofi Vokal Terbaik ARTIKEL BERKAITAN: Bagai terapung di atas awan, Aina Abdul pukau penonton dengan persembahan serba putih... Axiata Arena bergema sorakan peminat "Saya tidak boleh tipu bahawa memang meletakkan harapan besar untuk Terus Hidup menang. Saya mahu rasakan kemenangan ini. "Ketika berada di tahap terbawah dalam hidup sekitar tahun 2015 dan 2016, saya melihat ramai komposer dan penulis lirik menyampaikan kisah mereka menerusi lagu. Dari situ saya mula terinspirasi untuk tulis lagu sendiri. "Lagu ini juga saya dedikasikan buat arwah bapa,” jelasnya. Awan juga saya ibaratkan seperti arwah bapa yang mana dia melepaskan saya untuk lebih kuat AINA ABDUL PENYANYI Bercakap tentang konsep persembahan pada malam tersebut, Aina memberitahu ilham untuk membawa tema awan dan serba putih adalah disebabkan sepanjang tahun 2022 dia sering menaiki kapal terbang untuk urusan kerja dan gambar awan banyak dirakam di telefon bimbitnya. Malah kepulan awan yang digambar melalui kapas jatuh pada hujung persembahan juga adalah sebagai tanda memberi semangat untuk dia terus berjuang dalam hidup. Perjalanan sepanjang 2022 memberi ilham buat Aina untuk tampil dengan konsep persembahan di AJL37. "Tahun 2022 memang saya banyak travel dan kurang masa untuk diri sendiri. Kalau menaiki pesawat saya akan duduk di tepi tingkap dan banyak gambar awan dalam telefon bimbit. "Dari situ saya terpanggil untuk membawa tema awan dalam konsep persembahan kali ini. Motif awan di akhir lagu itu adalah sebagai tanda memberi kekuatan buat saya. Awan juga saya ibaratkan seperti arwah bapa yang mana dia melepaskan saya untuk lebih kuat," ceritanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube