suria

Ebby Yus kena berpantang tak boleh terlalu agresif... Masih mampu kerja untuk tampung kehidupan

Ebby mengakui kini dia berada dalam keadaan lebih baik.

TAHAP kesihatan pelakon Ebby Yus yang dilaporkan berada dalam keadaan kurang baik membimbangkan ramai peminat.

Ini selepas Ebby atau Muhammad Yunus Abdul Rashid, 57, memaklumkan kondisi jantungnya berada dalam keadaan lemah dengan kekuatan sekitar 27 peratus sahaja.

Berkongsi perkembangan terkini, Ebby memberitahu keadaannya kini bertambah baik, namun masih tidak boleh melakukan sebarang aktiviti yang agresif.

ebby1 - 1

Ebby mengalami sesak nafas dan badan menjadi bengkak.

"Alhamdulillah, keadaan saya kini sudah bertambah baik. Sebelum ini, saya mengalami masalah sesak nafas dan tidak boleh berjalan disebabkan oleh water retention.

"Badan saya menjadi bengkak akibat dipenuhi air kerana buah pinggang tidak lagi mampu memproses air keluar daripada badan yang mengakibatkan sesak nafas.

ARTIKEL BERKAITAN: Tampil berkerusi roda dalam Sepahtu Reunion, Ebby Yus dedah 12 hari masuk hospital gara-gara kaki terpelecok

ARTIKEL BERKAITAN: Ebby Yus keluar hospital, perlu jalani rawatan susulan... Jantung bengkak dan bacaan kreatinin buah pinggang tinggi

"Saya diwadkan di hospital dan berada selama tiga hari di Unit Rawatan Rapi (ICU). Doktor masukkan tiub kecil ke dalam perut untuk mengeluarkan lebihan air," katanya kepada mStar.

Ebby sebelum ini memaklumkan dia ditahan selama seminggu di Hospital Kuala Lumpur.

Disebabkan oleh tubuh badannya kini tidak lagi boleh menampung air yang banyak, Ebby berkata doktor menasihati untuk mengambil 500 mililiter (ml) air kosong sahaja dalam sehari.

Badan saya menjadi bengkak akibat dipenuhi air kerana buah pinggang tidak lagi mampu memproses air keluar daripada badan.

EBBY YUS

PELAKON

Mengakui perkara itu bukanlah sesuatu yang mudah, pelakon sitkom Sepahtu Reunion itu kadangkala terpaksa melanggar 'pantang' lebih-lebih lagi ketika waktu bekerja.

"Saya kini hanya boleh minum sebanyak 500ml air sehari sahaja sebab masalah buah pinggang. Memang tak mudah, lebih-lebih lagi sewaktu saya sedang bekerja.

"Kadangkala saya terlebih juga minum segelas dua air, tetapi tidaklah berlebihan. Kalau duduk rumah sahaja mungkin bolehlah minum 500ml tu," ujarnya.

Sementara itu, ditanya soal kewangan untuk menampung kehidupan dan menjalani rawatan, Ebby bersyukur dengan rezeki yang ada dan menyifatkan tiada lagi keperluan baginya untuk meminta bantuan orang ramai.

ebby2 - 1

Ebby masih lagi boleh bekerja dan tidak memerlukan bantuan.

Kata Ebby, dia masih mempunyai wang untuk menyara kehidupan harian dengan bekerja, sebaliknya memohon agar diberi lebih banyak peluang dalam pekerjaan.

"Alhamdulillah, buat masa ini saya rasa belum ada keperluan lagi untuk saya minta bantuan orang ramai. Saya masih mempunyai wang untuk makan, bayar rumah dan sebagainya.

"Namun, saya berharap agar diberikan peluang pekerjaan kerana saya masih mampu untuk bekerja tetapi hanya melibatkan penggambaran di dalam studio atau program bual bicara," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain