suria

“Sebelum hentam datang bersemuka dulu!” Md Nasir tegur pihak sering kritik Finas

Nasir tidak akan melayan sebarang teguran yang bersifat peribadi.

KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) iaitu Prof Dr Md Nasir Ibrahim menegur persatuan-persatuan seni tempatan yang lantang menghentam organisasi itu seharusnya tampil dengan cadangan lebih konstruktif untuk penambahbaikan.

Nasir berkata, pihaknya terbuka untuk menerima kritikan namun tidak akan melayan sebarang teguran yang bersifat peribadi.

"Finas dihentam oleh persatuan-persatuan seni, ia adalah perkara biasa. Tapi bagi saya, asalkan niat persatuan itu baik dan pandangannya konstruktif kita terima.

finas1 - 1

Nasir ketika ditemui pada majlis serahan pakej Umrah FFM32.

"Kalau kritikan tersebut bersifat peribadi, saya tidak akan layan kerana ia tidak membina. Saya tidak kisah, siapa-siapa pun boleh memberi kritikan asalkan dengan teguran berasas," katanya kepada mStar.

Nasir berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis serahan pakej Umrah Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM32) yang diadakan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Kuala Lumpur pada Selasa.

Dalam pada itu, Nasir juga menegaskan individu yang sering memberi kecaman terhadap Finas agar tampil bersemuka dengannya sebelum bersuara di media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Finas tak lepas tangan, hantar surat teguran kepada penerbit filem 'Pulau'

ARTIKEL BERKAITAN: Isu tak bayar hutang produser, Finas akan jumpa Awesome TV mahu selesai masalah

Bagi menjawab segala kekeliruan yang dilontarkan oleh ramai pihak, Finas juga bakal menganjurkan satu sesi perjumpaan bersama ahli persatuan-persatuan seni untuk membentangkan hala tuju dan pencapaian yang telah diraih oleh organisasi berkenaan.

"Sebelum bersuara di surat khabar atau media sosial, lebih baik bersemuka dengan saya. Walaupun jadual saya ketat, tapi saya akan luangkan masa.

"Dalam masa terdekat ini, kami akan mengadakan satu sesi townhall bersama pengerusi baharu iaitu Datuk Kamil Othman bagi perjumpaan semua persatuan.

Finas dihentam oleh persatuan-persatuan seni, ia adalah perkara biasa. Asalkan niat persatuan itu baik dan pandangannya konstruktif kita terima.

MD NASIR IBRAHIM

KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF FINAS

"Menerusi sesi itu, kami akan terangkan tentang hala tuju dan pencapaian Finas yang kadang-kadang mereka sendiri pun tak tahu," ujarnya.

Sementara itu, Nasir turut menasihatkan kepada individu yang tidak berpuas hati terhadap Finas untuk mengikuti setiap perkembangan organisasi itu di media sosial mahupun menerusi liputan yang dibuat oleh pihak media.

Kata Nasir, sebelum menghentam, pastikan mereka ambil tahu tentang fakta terlebih dahulu sebelum menyuarakan kritikan.

"Kebanyakan orang yang hentam Finas mereka tidak tahu apa yang berlaku. Mereka ingatkan Finas ni macam dulu.

"Yang kedua, mereka tidak mengikuti perkembangan Finas di media sosial atau pun di media massa. Kalau lihat di surat khabar, macam-macam liputan tentang pencapaian Finas sudah kami laksanakan.

"Pada saya, mereka kena banyak baca dan tahu apa yang Finas buat. Kalau pandai hentam sahaja, orang yang hentam tu nanti nampak kurang cerdik pula," katanya.

Bercakap mengenai perancangan Finas sepanjang tahun ini, Nasir berkata pihaknya bakal menarik lebih banyak pelabur filem dari luar negara.

Jelas Nasir, pihaknya telah berbincang dengan beberapa syarikat gergasi luar negara untuk menjalinkan kerjasama.

"Insentif Penerbitan Filem Di Malaysia (FIMI) telah meluluskan kira-kira RM 419 juta peruntukan untuk diberikan kepada penerbit-penerbit luar dan dalam negara bagi menghasilkan filem.

"Saya juga telah berbincang menerusi persidangan video bersama Motion Pictures Association (MPA) iaitu sebuah syarikat besar yang mempunyai kaitan rapat dengan Universal Studio, Netflix, dan Disney," ujarnya.

finas2 - 1

Nasir teruja berkongsi perancangannya untuk menarik pelabur filem luar negara.

Menurut Nasir, penerbit di luar negara begitu tertarik dengan kepelbagaian lokasi yang terdapat di Malaysia, sekali gus sudah ada beberapa buah filem yang bakal menjalankan penggambaran di Malaysia.

"Mereka berminat untuk membuat filem-filem besar di Malaysia. Mereka tertarik dengan negara kita kerana terdapat banyak tempat menarik untuk dijadikan sebagai lokasi penggambaran.

"Setakat ini, saya tidak boleh berkongsi antara filem-filem besar yang bakal menjalani penggambaran di Malaysia, tetapi apa yang saya boleh katakan, Hungary akan membuat sebuah filem bernilai RM380 juta," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain