suria

Afdlin Shauki ke Turkiye dan Syria bantu mangsa gempa bumi, bawa amanah RM60,000 sumbangan rakyat Malaysia

Datuk Afdlin Shauki berangkat ke Turkiye untuk kerja kemanusiaan.

PELAKON dan pengarah Datuk Afdlin Shauki bakal bertolak ke Turkiye adn Syria bersama pasukan Yayasan Afdlin Shauki (YAS) bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi di dua negara berkenaan pada malam Ahad.

Afdlin atau Afdlin Shauki Aksan, 52, berkata, seramai lapan anggota YAS menyertai misi berkenaan dan mereka dijangka berada di sana selama 10 hari.

"Tujuan kami ke sana adalah untuk menyantuni mangsa-mangsa gempa bumi serta membawa sedikit bantuan buat mereka yang terkesan agar dapat mengharungi musim sejuk ketika ini di Turkiye dan Syria.

"Ini bukan kali pertama saya ke Turkiye malah ini adalah misi kali kedua bagi membantu mangsa. Pasukan pertama kami sudah pun bergerak minggu lalu iaitu skuad pengurusan jenazah. Sekarang giliran kami datang membawa sedikit bantuan," katanya kepada mStar.

Afdlin akan menyampaikan amanah sumbangan rakyat Malaysia kepada mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.

Dalam pada itu, Afdlin turut melahirkan penghargaan kepada masyarakat di negara ini yang memberi sumbangan bagi digunakan untuk misi bantuan di kedua-dua negara tersebut.

Jelas Afdlin, pihaknya berjaya mengumpul dana sebanyak RM60,000 yang akan diagihkan kepada mereka yang memerlukan di sana.

ARTIKEL BERKAITAN: Afdlin Shauki kunci mulut tentang sudah ada teman wanita, hormat bekas isteri

ARTIKEL BERKAITAN: Berhabis hampir setengah juta, Afdlin Shauki dah puas kumpul koleksi figura... Mahu jual kerana sudah tiada minat

Malah YAS turut menyediakan beberapa barang keperluan seperti khemah dan bahan makanan yang sangat diperlukan mangsa apatah lagi ketika ini sedang musim sejuk.

"Kami ke sana untuk menyampaikan dana yang berjaya dikumpul sebanyak RM60,000 hasil sumbangan rakyat Malaysia dan Alhamdulillah usaha mengumpul dana bersama yayasan lain sedang dalam proses dan akhir diserahkan nanti.

"Jadi saya mohon sekiranya ada individu atau syarikat yang sudi membantu, boleh membuat sumbangan kepada YAS.

"Apabila tiba di sana nanti kami akan bertanya kepada mangsa-mangsa apa yang mereka perlukan seperti khemah atau barang makanan," katanya lagi.

Afdlin bersama YAS pernah terlibat dalam misi bantuan di Syria.

Afdlin memberitahu pihaknya berkerjasama dengan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali di sana untuk menguruskan perjalanan mereka sepanjang di Turkiye dan Syira.

Tambah Afdlin, pemergian kali ini agak tergesa-gesa kerana gempa melanda secara tiba-tiba namun berharap semuanya dipermudahkan.

"Kali ini kami pergi agak mengejut kerana gempa berlaku secara tiba-tiba, memang secepat mungkin kami mengerahkan pasukan kami untuk mengumpul dana dan akhirnya mencapai dana yang secukupnya.

"Kami sebenarnya berkerjasama dengan NGO Syira yang dikenali sebagai IHH untuk membantu kami mengedar sumbangan daripada Malaysia ini kepada yang diperlukan. Mereka juga akan membantu menguruskan perjalanan kami di Tukiye dan Syira.

"Kami juga sudah menghubungi mereka berkenaan misi sumbangan kali ini, jadi semua dana dan sumbangan yang kita kumpul akan diagihkan kepada mangsa gempa bumi di Syria bersama NGO ini,” kongsinya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain