PELAKON dan usahawan Rozita Che Wan menganggap kehidupannya semakin bermakna apabila menjah usia 50 tahun yang disambut pada 9 Mac lalu. Lebih manis, Rozita atau lebih mesra dengan sapaan Che Ta itu menyambut hari lahirnya dengan berpindah masuk ke kediaman mewah miliknya yang bernilai hampir RM10 juta di Kota Damansara, Petaling Jaya. Penantian empat tahun menghuni banglo mewah itu akhirnya terlaksana selepas berdepan dengan pelbagai rintangan termasuk kontraktor pembinaan menghilangkan diri sehingga mengalami kerugian besar. “Tak dapat saya gambarkan perasaan menyambut ulang tahun kali ini. Tambah pula dapat masuk rumah baru. Bukan sekecil anak jumlah saya laburkan untuk rumah ini. Che Ta bersama suami dan tiga anak mereka bakal menyambut Ramadan di kediaman baharu. “Kena tipu dengan beberapa kontraktor pembinaan lagi. Kemudian kita diuji dengan pandemik COVID-19, jadi proses pengubahsuaian rumah itu pun tertangguh. “Tapi kini, saya bersyukur semuanya berakhir. Nak pula, Ramadan dan Syawal bakal disambut umat Islam tak lama lagi. Dapat masuk rumah baru ini, kira hadiah paling terindah buat saya,” katanya. ARTIKEL BERKAITAN: Rozita Che Wan, Zain Saidin naik pelamin lagi, dapat tajaan RM100,000 ARTIKEL BERKAITAN: Telefon bimbit Rozita Che Wan hilang di London, penyeluk saku ‘buat kerja’ semasa sedang shopping baju Dalam pada itu, Che Ta berkata, kediaman mewah itu bukan sahaja didiami oleh suami, Zain Saidin dan tiga anak mereka malah pelakon Kiah Pekasam itu turut mengajak ibu dan ibu mentuanya tinggal bersama. Kata Che Ta, tidak salah dia mengajak kedua-dua insan istimewa itu tinggal bersama mereka apatah lagi ibu mentuanya kini tinggal seorang diri selepas kakak iparnya, Sasha Saidin dan anak lelakinya berhijrah ke luar negara mengikut suaminya. “Zain sendiri terkejut dan tak sangka saya nekad mengajak ibunya tinggal bersama. Tak ketinggalan teman rapat saya pun ada yang berperasaan sama. Che Ta turut mengambil tanggungjawab menjaga ibu dan ibu mentuanya. “Lagipun mak mentua saya tinggal seorang diri selepas cucunya yang juga anak Sasha Saidin berpindah ke luar negara. Jadi saya fikir tak salah ajaknya duduk sekali di rumah baharu. “Keadaan kesihatannya kebelakangan ini pun tak bagus selepas menjalani pembedahan. Setidak-tidaknya ada yang melihat dan membantunya apabila tinggal sekali,” katanya. Bukan sekecil anak jumlah saya laburkan untuk rumah ini. ROZITA CHE WAN PELAKON/USAHAWAN Pengasas bersama empayar perniagaan Inai Che Ta itu berkata, Zain pada awal bimbang ibunya menjadi beban. “Saya tak pernah berfikir begitu terhadap sesiapapun yang berada di bawah tanggungan ini. Saya percaya kadang-kadang Allah beri rezeki kita melalui orang lain. “Dia pun tak cerewet dan mudah diurus. Di usianya 76 tahun, dia makan apa saja yang dihidangkan. Orang tua makan banyak mana sangat pun. Malah dia enggan menyusahkan saya termasuk pembantu rumah. Che Ta menyifatkan usia 50 sangat bermakna buat dirinya. “Selama ini, masa tinggal dengan cucunya (anak Sasha Saidin), dia memang sangat kuat dan kental. Dialah yang memandu kereta menghantar cucu ke sekolah, kelas taekwondo dan membeli barangan harian. Tapi sejak kesihatannya terganggu selepas terjatuh dan pinggulnya retak hingga terpaksa jalani pembedahan, dia seakan lemah,” katanya. Che Ta juga mengakui ibunya terbuka dan menyambut baik usaha mengajak ibu mentua tinggal bersama. Che Ta masih kelihatan anggun di usia 50 tahun. “Cuma lucunya, apabila ibu dan ibu mentua bersembang masing-masing macam ayam dan itik. Seorang cakap Melayu, seorang lagi berbahasa Inggeris. Saya pun terhibur melihat gelagat mereka,” katanya. Dalam pada itu, saban tahun menyambut ulang tahun kelahiran, wanita kelahiran Kedah ini tak ketinggalan menganjurkan majlis. Tahun ini, genap usia 50 tahun, Che Ta menganjurkan sebuah majlis santai bertemakan menuju ke syurga dihadiri keluarga, teman akrab dan pendakwah bebas, Ustaz Syamsul Debat di sebuah premis terkemuka di ibu kota. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!