suria

‘Andai Itu Takdirnya’ buat Vanessa Reynauld jatuh cinta, proses rakaman hanya ambil masa 4 jam

Vanessa ambil masa empat jam untuk rakam lagu Andai Itu Takdirnya.

KEMAMPUAN vokal penyanyi Vanessa Reynauld sememangnya tidak boleh disangkal lagi terutama dalam membawa lagu berentak balada bernada tinggi.

Tampil dengan lagu baharu berjudul Andai Itu Takdirnya, Vanessa, 23, memberitahu dia mula jatuh cinta dengan karya berkenaan selepas mendengar melodi yang menyentuh hati.

Vanessa berkata lagu berkenaan lebih menjiwa apabila turut menjadi runut sebuah drama yang menggunakan judul sama.

"Sebaik mendengar melodinya, saya rasakan ia mudah diingati dan sangat sedap didengar, lalu saya pun menerima tawaran untuk menyanyikan lagu ini.

248078848_3706650482920264_219332918214015383_n

Vanessa sukakan elemen sedih dan perit dalam Andai Itu Takdirnya.

"Bait liriknya boleh menyentuh hati orang yang mendengar, saya juga menyukai elemen sedih dan perit yang cuba disampaikan dalam naskah lagu ini.

"Antara kekuatan lagu ini adalah ia dipilih untuk menjadi lagu runut bunyi rasmi bagi drama Andai Itu Takdirnya. Oleh itu, para pendengar akan lebih mendalami dan menghayati lagu ini berdasarkan perspektif yang dipertontonkan dalam drama berkenaan, baik dari segi jalan cerita dan sebagainya,” katanya.

Lebih unik lagi apabila lagu Andai Itu Takdirnya mendapat sentuhan Siti Rosmizah yang merupakan penulis novel terkenal serta digubah oleh Ejai Aziz dan Kelana.

ARTIKEL BERKAITAN: Gaya rambut diejek... Vanessa Reynauld trauma pergi sekolah gara-gara ‘body shaming’, - “Hey, kalau nak buat di salun mahal tau!”

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan mudah rakam lagu ‘Buat Ku Sempurna’, Vanessa Reynauld perlu berlatih banyak kali untuk dapat ‘feel’

Berkongsi tentang pengalaman berkerjasama dengan Siti Rosmizah, Vanessa memberitahu dia sangat menyukai cara penulisan novalis terkenal itu.

Malah proses rakaman juga hanya mengambil masa tiga atau empat jam sahaja.

"Bekerjasama dengan mereka sangat mudah, saya dapat demo yang dinyanyikan oleh Abang Ejai. Saya masuk ke studio untuk rakam lagu bersama Kelana, dia telah bantu saya dari segi melodi dan cara penyampaian.

Vanessa kagum dengan penulisan lirik Siti Rosmizah.

"Saya juga telah belajar tentang lagu ini sebelum masuk ke studio bagi memudahkan lagi proses rakaman.

"Secara peribadi, saya tidak pernah berjumpa Kak Siti Rosmizah, tapi saya sangat menyukai cara penulisannya dalam lirik Andai Itu Takdirnya.

"Saya juga tak pernah jumpa Abang Ejai, tetapi perjalanan menyempurnakan lagu ini semuanya berjalan dengan lancar, proses rakaman di studio pula mengambil masa sekitar tiga ke empat jam untuk disiapkan," jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain