SELEPAS kejayaan kolaborasi bersama penyanyi terkenal tanah air Datuk Seri Siti Nurhaliza, duo rap iaitu Kmy Kmo dan Luca Sickta muncul dengan single terbaharu berjudul Budi duet bersama Sufian Suhaimi. Kmy atau Lukmanul Hakim, 34, berkata, lagu genre tradisional itu diinspirasikan celoteh seloka daripada lagu-lagu Allahyarham Tan Sri S.M. Salim, Datuk M. Nasir dan komposer tersohor, Allahyarham Pak Ngah. "Lagu ini berentak tradisional dan ada unsur lawak. Jadi, kami kena pakai cara penulisan seloka. "Saya ambil sedikit sebanyak contoh daripada lagu-lagu Allahyarham Tan Sri S.M. Salim, Datuk M. Nasir dan Allahyarham Pak Ngah. Daripada situlah saya mendapat idea penulisan lagu Budi ini," katanya. Lagu Budi berunsur tradisional. Bercakap mengenai pemilihan Sufian sebagai penyanyi duet, Kmy berkata, mereka juga mahu bereksperimen dengan muzik berlainan daripada karakter asal penyanyi lagu Di Matamu tersebut. "Macam kita semua tahu, Sufian ialah penyanyi berentak balada yang ke arah emosional. Apa yang saya dan Luca rancang adalah untuk tukar muzik Sufian agar peminat dan pencinta muzik boleh lihat daripada sudut berbeza. ARTIKEL BERKAITAN: Kmy Kmo dan Luca Sickta angkat masalah korupsi dunia pekerjaan dalam 'Makuta' ARTIKEL BERKAITAN: Kmy Kmo, Luca Sickta sindir golongan penunggang agama dalam Zuhud - "Semakin ramai yang bertopeng" "Sufian pun ada ilmu dan kemahiran menyanyi lagu berentak tradisional sebab itu kami bawa dia masuk supaya kita boleh buat Sufian yang jarang orang dengar dan tengok," ujarnya. Sementara itu, Sufian berharap agar lagu Budi yang sudah dilancarkan sejak beberapa minggu lalu itu terus mendapat sokongan peminat. Sufian berkata, pengalaman merakamkan lagu bersama pasangan duo itu cukup seronok malah sangat mengagamui Kmy dan Luca. Lagu Budi memaparkan sisi lain Sufian Suhaimi. "Pengalaman bekerjasama dengan mereka ini sangat seronok, kami memang dah kenal sebelum ini, cuma masih belum ada kerjasama dari segi kerjaya. "Mereka ni nampak sahaja serius tapi kelakar, bekerja dengan mereka juga sangat senang dan profesional. "Saya harap lagu Budi dapat diterima oleh peminat muzik di Malaysia dan layak mara ke pentas muzik yang berprestij," katanya. Untuk rekod, Kmy Kmo dan Luca sebelum ini pernah popular menerusi beberapa buah lagu duet termasuk 7 Nasihat (Datuk Siti Nurhaliza), Neraca (Datuk Jamal Abdillah) dan Makuta (Hazama). Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!