PIHAK Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sudah memanggil produser Mentega Terbang iaitu Tan Meng Kheng untuk siasatan berhubung dakwaan menyelubungi filem tersebut. Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim bagaimanapun berkata, pihaknya enggan menjelaskan dengan terperinci berhubung pertemuan berkenaan termasuk tindakan yang bakal diambil memandangkan kes tersebut masih dalam siasatan pihak polis. "Pihak kami sudah memanggil produser untuk siasatan malah segala maklumat berkaitan telah kami ambil. "Saya tak boleh mengulas lanjut mengenai perkara ini memandangkan ia masih dalam siasatan polis. Kes ini agak rumit dan memerlukan masa. Md. Nasir memberitahu Finas sudah memanggil produser Mentega Terbang. "Jadi buat masa ini Finas tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan kerana bimbang ia akan menganggu siasatan pihak berkuasa," katanya kepada mStar. Md Nasir ditemui pada sidang media Hari Seniman Kebangsaan 2023 (HSK2023) yang berlangsung di Finas, Hulu Kelang pada Sabtu. Filem arahan Khairi Anwar itu sebelum ini mendapat kecaman pelbagai pihak kerana didakwa mempamerkan elemen sensitiviti termasuk menyentuh hal berkaitan agama Islam. ARTIKEL BERKAITAN: Terlalu banyak unsur perlecehkan agama... bekas menteri senaraikan 4 hujah mengenai Mentega Terbang ARTIKEL BERKAITAN: Isu babi dan bapa restu anak pilih agama dalam ‘Mentega Terbang’... Pengarah mohon tonton filem hingga habis Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini menerima lapan laporan dari pelbagai pihak dan kes itu sedang disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (UTK) D5 Bukit Aman mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan, Seksyen 505 (b) akta sama dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) juga tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 3 Mac lalu dan memohon kes berkenaan disiasat di bawah Akta Hasutan 1948. Sementara itu, bercakap mengenai HSK2023 yang bakal berlangsung pada 20 Mac ini, kata Md Nasir Finas telah merangka pelbagai aktiviti untuk menyeramakkan sambutan berkenaan. Antaranya adalah dengan mengundang pelabur dan penggiat industri dari luar negara untuk berkongsi idea dan teknologi terkini berkaitan industri kreatif. Filem arahan Khairi Anwar ini mengundang kecaman netizen. Selain itu, pertemuan itu nanti bakal menjadi titik tolak untuk menjalinkan kerjasama termasuk menjadikan Malaysia sebagai lokasi penggambaran pilihan produksi luar negara. "Setakat ini tiga negara sudah bersetuju hadir iaitu China, Hong Kong dan Korea Selatan. Kami akan adakan perbincangan selain membawa mereka melawat ke studio Finas. "Soal kerjasama penggambaran filem akan dibincangkan kemudian. Semoga pertemuan ini akan membuahkan hasil demi pembangunan industri perfileman tempatan," jelasnya. HSK2023 yang akan berlangsung di Studio Sound Stage akan dimeriahkan dengan persembahan artis veteran seperti Shaharudin Thamby, Aspalela Abdullah, Junainah M. Amin dan ramai lagi. Sambutan itu juga diadakan bersempena ulang tahun kelahiran Seniman Agung, Tan Sri P. Ramlee yang jatuh pada 22 Mac 2023. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!