DISAHKAN menghidap kanser payudara sejak awal Mac lalu, penyanyi Nas Adila memberitahu penyakit itu mula dikesan selepas dia menjalani pemeriksaan doktor di Hospital Selayang, Selangor. Mengakui terkejut apabila menerima perkhabaran itu, Nas, 37, bagaimanapun berkata dia kuatkan diri dan sentiasa positif berdepan ujian berat ini. "Awal tahun lalu saya mula rasa ketulan pada bahagian payudara dan lama-kelamaan ia semakin membesar. Apabila melakukan pemeriksaan melalui sampel saya disahkan kanser dan berkemungkinan tahap tiga. Nas tidak mahu membataskan aktiviti harian meskipun sedang sakit. "Memanglah terkejut apabila doktor maklumkan hal tersebut. Tipu kalau saya katakan tidak sedih, tapi sejak awal lagi saya cuba lawan. Saya kena kuatkan hati dan reda dengan ujian Allah ini," katanya ketika dihubungi mStar pada Khamis. Dalam pada itu, Nas memberitahu dia akan melakukan ujian CT scan untuk mengetahui tahap sebenar kanser minggu hadapan dan memulakan rawatan kemoterapi. Di sebalik ujian yang dihadapi ini, Nas juga meluahkan rasa syukur kerana menganggap apa yang berlaku sebagai satu hikmah untuk dia lebih mendekatkan diri dengan Allah. ARTIKEL BERKAITAN: Dua bulan keluar masuk hospital, Ibnor Riza disahkan hidap kanser limfoma ARTIKEL BERKAITAN: Yantzen berdepan penyakit misteri, katanya enam bulan tak tidur "Saya percaya setiap ujian itu sebagai tanda Allah masih sayang. Apabila dapat tahu tentang sakit ini, sebenarnya saya bersyukur kerana Allah jentik hati untuk dekatkan diri-Nya. "Setelah jadi begini pastinya saya akan cuba perbaiki diri menjadi lebih baik. Dalam masa sama saya juga lebih prihatin dengan tahap kesihatan selain pengambilan makanan. Saya cuba sebaik mungkin untuk lawan sakit ini," ujarnya. Tipu kalau saya katakan tidak sedih, tapi sejak awal lagi saya cuba lawan. Saya kena kuatkan hati dan reda dengan ujian Allah ini NAS ADILA PENYANYI Tambah Nas keluarga dan orang sekeliling juga memberi sokongan baik ketika dia memaklumkan mengenai perkara ini. Malah apa yang telah berlaku juga menjadi asbab hubungannya dengan suami lebih akrab. Meskipun berdepan penyakit berbahaya itu, Nas tetap aktif dengan jadual hariannya termasuk jemputan persembahan pentas dan aktiviti zumba yang sering dilakukan sebelum ini. Suami sentiasa memberi sokongan buat Nas. "Suami saya sangat tenang menerima berita ini. Dia banyak memberi semangat untuk saya. Hikmah di sebalik apa yang berlaku membuatkan hubungan kami lebih erat. "Saya banyak merujuk penghidap kanser lain. Mereka juga masih meneruskan aktiviti harian mengikut kemampuan. Jadi saya akan terus aktif dan tidak mahu terlalu memikirkan tentang penyakit ini," ujarnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!