DI mana kan ku cari ganti, serupa denganmu... Tak sanggup ku berpisah, dan berhati patah, hidup gelisah...
Itulah sebahagian daripada lirik lagu Di Mana Kan Ku Cari Ganti nukilan S. Sudarmaji nyanyian P. Ramlee yang benar-benar menyentuh hati dan perasaan.
Lagu daripada filem Ibu Mertuaku yang ditayangkan pada 1962 itu seolah-olah menceritakan mengenai P. Ramlee sendiri iaitu kehilangannya sehingga kini masih tiada pengganti.
Walaupun sudah 50 tahun Allahyarham pergi meninggalkan kita, bakat serta karyanya tidak pernah dilupakan oleh setiap generasi.
Sehingga hari ini hasil sentuhan magis menerusi 360 buah lagu dendangan dan ciptaannya masih segar dalam ingatan masyarakat termasuk 35 filem arahannya.
Terlalu panjang untuk diceritakan semua perjalanan hidup seorang insan bernama P. Ramlee namun bersempena ulang tahun hari kelahiran Allahyarham yang ke-82 tahun pada 22 Mac 2023, mStar menyingkap kisah hidupnya buat tatapan generasi baharu.
Menerusi laporan ini juga, mStar turut bertemu cucunya iaitu Najua P. Ramlee yang mengenang arwah datuknya dengan lawatan ke Pustaka Peringatan P. Ramlee.
Tidak hanya itu, bakat baharu P. Radhi juga berkongsi kecintaannya terhadap muzik Allahyarham sehingga menjadikan figura terulung itu sebagai idola dalam kariernya serta komen penggiat seni terhadap keistimewaan bintang legenda ini.
Ikuti laporan penceritaan serta rakaman video yang dihasilkan.
oleh FAROL HADI dan AIN NORMAN

“Di mana kan ku cari ganti, serupa denganmu,
Tak sanggup ku berpisah, dan berhati patah, hidup gelisah...”
Itulah sebahagian daripada lirik lagu Di Manakan Ku Cari Ganti nukilan S. Sudarmaji nyanyian P. Ramlee yang benar-benar menyentuh hati dan perasaan.
Lagu daripada filem Ibu Mertuaku yang ditayangkan pada tahun 1962 itu seolah-olah menceritakan mengenai P. Ramlee sendiri iaitu kehilangannya sehingga kini masih tiada pengganti.
Pemergian seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee 50 tahun lalu merupakan kehilangan besar bukan sahaja buat industri hiburan tempatan tetapi negara yang sehingga kini masih dirasai kesannya.
Terlalu panjang untuk diceritakan semua perjalanan hidup seorang insan bernama P. Ramlee namun bersempena ulang tahun hari kelahiran Allahyarham yang ke 82 tahun pada 22 Mac 2023, mStar menyingkap kisah hidupnya buat tatapan generasi baharu.
Image captions

Walaupun sudah 50 tahun Allahyarham pergi, bakat serta karyanya tidak pernah dilupakan oleh setiap generasi sehingga hari ini hasil sentuhan magiknya termasuk menerusi 360 buah lagu dendangan dan ciptaan masih segar dalam ingatan masyarakat Malaysia tak kira latar belakang bangsa dan agama.
Apatah lagi menjelang sambutan hari raya, lagu-lagu seperti Suara Takbir, Dendang Perantau dan Selamat Hari Raya nyanyian isterinya, Allahyarham Puan Sri Saloma, menjadi lagu wajib dalam membangkitkan semangat menyambut Aidilfitri.
Gambar: P. Ramlee bersama trofi dan penghargaan yang diterimanya. Antara anugerah yang beliau terima adalah Anugerah Pelakon Terbaik untuk filem Anakku Sazali di Festival Filem Asia Pasifik Ke-4 yang berlangsung di Tokyo dan Anugerah Komposer Muzik Terbaik untuk filem Hang Tuah di Festival Filem Asia Pasifik ke-3 di Hong Kong . - Arkib Negara Malaysia
Lontaran dialog daripada filem-filem popular lakonan dan arahan beliau seperti Bujang Lapok, Anakku Sazali, Ibu Mertuaku dan Madu Tiga bermain di bibir termasuk dalam kalangan generasi baharu yang lahir selepas pemergiannya.
Gambar: P. Ramlee dalam filem terakhirnya sebagai pelakon dan pengarah, iaitu 'Laksamana Do Re Mi' yang diterbitkan pada tahun 1972 sebelum beliau meninggal dunia setahun kemudian. - Arkib Negara Malaysia
Berlakon dalam 66 buah filem, bergelar pengarah kepada 35 karya selain menulis 33 skrip daripada jumlah tersebut, itulah hebatnya P. Ramlee yang tidak ada pada karyawan seni lain hari ini.
Namun di sebalik kemahsyuran nama dibina, siapa sangka P. Ramlee juga pernah melalui zaman kejatuhan, dibenci rakan industri selain hidup dipinggirkan pada hujung usia.
Gambar: Antara artifak dan memorabilia yang disimpan dan dipamerkan oleh Arkib Negara di rumah kelahiran P. Ramlee di Pulau Pinang. - Starpix/K.T GOH
Menurut pengasas blog Sembang P. Ramlee, Raihani Mohd Saaid, seniman tersebut dikatakan sangat ikonik dan signifikan sehinggakan filem-filem yang dihasilkan sebelum dekad 1970-an disebut sebagai 'era filem P. Ramlee'.
"Ini walaupun tidak semestinya P. Ramlee terlibat dalam filem tersebut. P. Ramlee menduduki tempat yang penting bukan sahaja dalam sejarah perkembangan filem dan muzik Melayu tetapi juga dalam pembinaan identiti budaya Malaysia dan Singapura," dia kata.
Jika perbandingan dibuat dari segi teknikal, bajet dan pemasaran, filem-filem P. Ramlee, dia sudah tentu tidak dapat menandingi Hollywood, tambah lagi Rahaini.
"Tetapi filem-filem P.Ramlee dianggap bermutu tinggi kerana beliau berkarya sesuai dengan masyarakatnya. Karya-karya P. Ramlee berjaya mengangkat isu-isu sosiobudaya dalam suasana pemulihan selepas perang ketika itu," dia kata.
Rahaini berkata pada pada sekitar awal 1950-an, dunia kesusasteraan dan persuratkhabaran Melayu yang berpusat di Singapura mula mendesak studio MFP menerbitkan filem-filem yang lebih menonjolkan identiti tempatan.
"Apabila P. Ramlee diberi peluang mengarah filem sendiri, beliau telah diminta memilih antara skrip filem Hindi atau Cina untuk ditiru dan dilakonkan kembali.
"Namun, P. Ramlee dan rakan-rakannya berkeras mahu memfilemkan sebuah cerita asli yang berlatarkan budaya tempatan. P. Ramlee menggunakan skrip atau bahasa filem yang mudah difahami oleh khalayak yang kebanyakannya buta huruf atau berpendidikan rendah ketika zaman filem-filemnya diterbitkan," dia kata.
Menurut Raihani lagi, impak besar yang dibawa oleh P. Ramlee ini telah menghasilkan satu sentimen ke dalam jiwa masyarakat sehingga menimbulkan satu kekenalan (familiarity) terhadap lagu, dialog dan watak-watak ikonik daripada filem beliau.
"Pengamal media baru banyak memanfaatkan sentimen ini untuk dua perkara, iaitu menghasilkan kritik sosial terhadap isu semasa, dan kedua, untuk tujuan komersial.
"Sentimen ini dipersembahkan semula dalam beberapa produk seni media baharu, misalnya lagu pop, iklan, kandungan Youtube, poster dan animasi.
"Jika terdapat isu-isu tular dalam masyarakat, khususnya yang menyentuh hal politik, maka elemen daripada filem P. Ramlee akan diparodi dalam bentuk sketsa, meme, gif dan sebagainya," dia mengulas.
Sebagai contoh, setiap tindakan atau kenyataan ahli politik yang menjentik rakyat akan ‘dipadankan’ dengan adegan ataupun dialog daripada filem P. Ramlee, misalnya daripada Musang Berjanggut, Ali Baba, Bujang Lapok, Tiga Abdul ataupun Madu Tiga.
"Kritikan atau parodi yang hendak disampaikan lebih cepat diterima dan difahami, kerana memori kolektif kita terhadap P Ramlee yang tebal," kata Raihani.
Rahaini, yang kini sedang menyiapkan PhD di Universiti Malaya mengenai P. Ramlee sebagai tokoh kearifan tempatan, berkata sungguhpun ada pengarah filem lain yang turut mempunyai karya seni yang hebat dan tajam mengkritik, mereka tidak mempunyai populariti dan faktor kekenalan seperti yang dipunyai oleh P. Ramlee.
Minat Rahaini untuk menjadi pengkaji filem P. Ramlee bermula sejak kecil dengan menonton filem yang disiarkan setiap minggu di slot Teater Lagenda dan kemudian filem tersebut dirakam dalam VHS.
Beliau, yang juga pernah mengikuti filem peringkat diploma di Akademi Seni Kebangsaan, meneruskan kajian terhadap filem-filem P. Ramlee untuk ijazah pertama, Sarjana dan sekarang Doktor Falsafah.
"Bagi saya, P. Ramlee sudah menjadi satu institusi pemikiran dalam masyarakat tempatan," dia kata.
Meskipun tidak pernah bertemu atau mengenali P. Ramlee secara rapat, namun seorang cucu Allahyarham iaitu Najua Nasir atau lebih dikenali sebagai Najua P. Ramlee tetap mengagumi karya-karya yang pernah dihasilkan datuknya itu.
Najua adalah anak kepada satu-satunya anak kandung P. Ramlee, Nasir P. Ramlee.
Menerusi filem dan lagu dihasilkan Allahyarham, kata Najua, 37, dia dapat mengenali arwah datuknya itu dengan lebih dekat.
Antara karya yang sangat memberi kesan terhadap hidupnya ialah filem Ibu Mertuaku yang diterbitkan pada 1962.
Dedah Najua, filem itu merupakan kisah benar yang dilalui oleh tokoh seni itu sendiri kerana sewaktu beliau ingin berhijrah ke Singapura dari Pulau Pinang, ibu P. Ramlee seakan-akan tidak merestuinya dan hampir setiap hari menangis.
Perjalanan P. Ramlee ini turut mempunyai persamaan terhadap Najua apabila dia dihalang daripada bergelar anak seni oleh ayahnya, Nasir P. Ramlee.
“Arwah ayah saya selalu cakap tak perlulah nak masuk dalam industri kerana melihat sendiri bagaimana payahnya dilalui P. Ramlee, asyik bekerja sampai tiada masa untuk keluarga.
"Sebenarnya apa diperkatakan ayah saya memang betul kerana itulah pengalaman yang saya lalui sejak kecil. Saya berlakon dan korbankan masa zaman kanak-kanak. Tetapi itu memang minat saya," katanya kepada mStar.

Gambar: Cucu Allahyarham P. Ramlee, Najwa P. Ramlee, bersama koleksi datuknya.
Bagaimanapun, kata Najua, pada 2008 selepas dia membuat persembahan menerusi Konsert Tribute P. Ramlee, dia akhirnya mendapat restu bapanya untuk bergiat aktif sebagai pelakon dan penyanyi.
Malah kata Najua, Nasir sendiri yang memintanya menggunakan nama komersil Najua P. Ramlee sebagai penghormatan kepada datuknya.
"Sebelum ini saya guna nama sebenar tapi kata ayah, daripada orang lain yang pakai adalah lebih baik pewaris asal Allahyarham yang guna nama tersebut," katanya.
Image captions



Dilahirkan pada 22 Mac 1929 di Pulau Pinang, P. Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh, mula mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Jawa dan Francis Light English School sebelum menyambung pelajaran di Penang Free School.
P. Ramlee (baris terakhir, ketiga dari kiri) bersama rakan sekelasnya dari Kelas 7D di Penang Free School pada tahun 1947. - Arkib Negara Malaysia
Ketika peperangan Jepun menyerang Tanah Melayu pada hujung 1941, beliau menyambung pelajaran di Japanese Navy School dan daripada situlah P. Ramlee mula mempelajari asas muzik selain aktif membuat persembahan bagi pasukan latihan tentera Jepun.
Gambar: P. Ramlee (baris belakang, empat dari kanan) bersama pasukan bola sepak sekolahnya di Sekolah Francis Light English pada Dis 3, 1946. - Arkib Negara Malaysia
Langkahnya sebagai anak seni pula bermula apabila bakatnya mendapat perhatian seorang pengarah Shaw Studio yang berpangkalan di Singapura ketika P. Ramlee membuat persembahan keroncong di Pulau Pinang.
Gambar: Rumah di mana P. Ramlee dan kawan-kawannya selalu berkumpul dan berlatih muzik. Ia terletak berdekatan dengan rumahnya di Pulau Pinang. - Arkib Negara Malaysia
Gambar: KugiranWhite Rose Party adalah antara kumpulan muzik yang P. Ramlee sertai sebelum menjadi terkenal. - Arkib Negara Malaysia
Beliau bersama rakan baiknya, Sukardi, kemudian ditawarkan ke Singapura untuk bekerja dengan syarikat perfileman tersebut dan berangkat meninggalkan Pulau Pinang pada hari pertama sambutan Hari Raya Aidilfitri menaiki keretapi.

Gambar: Selain menjadi pelakon dan pengarah, P. Ramlee juga terkenal dengan suara merdunya, mendendangkan lagu-lagu klasik Melayu seperti Tunggu Sekejap, Aduh Sayang, Di Manakan Ku Cari Ganti, Berkorban Apa Saja dan Anakku Sazali.
Meskipun hanya diberi kerja belakang tabir dan sebagai penyanyi latar, semangat P. Ramlee tidak pernah luntur untuk bergelar bintang filem sehingga pertama kali diberikan tawaran sebagai watak antagonis dalam filem berjudul Chinta ketika berusia 19 tahun.
Bakatnya kemudiannya lebih menyerlah apabila diberi peranan utama dalam sebuah drama berjudul Bakti dan daripada situlah beliau mula menjadi rebutan ramai pengarah di studio Jalan Ampas, Singapura.
Image captions

Terus mengatur langkah dalam dunia seni, P. Ramlee diberi kepercayaan untuk mengarahkan filem pertama berjudul Penarek Bechha (Penarik Beca) dan lagu ciptaan beliau berjudul Azizah turut dijadikan sebagai salah satu runut bunyi karya tersebut.
Gambar: P. Ramlee semasa penggambaran filem Penarek Becha dengan S. Hassan dan Sudarmaji pada tahun 1955. -Arkib Negara Malaysia
Filem itu, yang ditayangkan pada tahun 1955, turut dibintangi Saadiah atau nama sebenarnya, Satya Baharom, yang memegang watak heroine Azizah.
Filem ini juga mendendangkan lagu terkenal Engkau Laksana Bulan.
Gambar: P.Ramlee bersama aktress Saadiah dalam filem Penarek Becha. — Arkib Negara Malaysia
Sentuhannya menerusi filem-filem selepas itu juga menjadikan P. Ramlee sebagai anak emas Shaw Studio apabila pihak tersebut meraih banyak keuntungan daripada setiap penerbitan.
Gambar: P. Ramlee dengan pakaian kostum semasa penggambaran salah satu filemnya. Gambar ini antara artifak dan memorabilia yang disimpan dalam rumah kelahiran P. Ramlee di Pulau Pinang. - Arkib Negara Malaysia
Bagaimanapun, ketika itu, kejayaan P. Ramlee dicemburui oleh pengarah filem yang bekerja di sana sehingga namanya juga seakan-akan dibenci segelintir wartawan disebabkan hasutan pihak-pihak tertentu.
Ketika berada di puncak, P. Ramlee berdepan dengan pelbagai cabaran sehingga memaksa dia berpindah ke Studio Merdeka, Kuala Lumpur, pada tahun 1964 selepas mengarahkan filem terakhir bersama Shaw Studio berjudul Tiga Abdul.
Perjalanan seni kerjayanya di Kuala Lumpur tidak seperti yang diharapkan dan P. Ramlee mula melalui fasa kejatuhan apabila filem-filemnya tidak mendapat sambutan sehinggalah beliau meninggal dunia pada 29 Mei 1973 ketika berusia 44 tahun akibat serangan jantung.
Masam-Masam Manis, Do Re Mi, Sabarudin Tukang Kasut antara karya arahannya ketika dia bersama Merdeka Studio di Kuala Lumpur.
Laksamana Do Re Mi menjadi filem terakhir lakonan dan arahan seniman ternama ini.
Bagaikan sudah hilang sentuhan magisnya, kehidupan P. Ramlee juga semakin melarat sehingga dia dikatakan terpaksa menanggung hutang keliling pinggang.
Tidak pernah mengeluh ketika itu, dia sentiasa berpegang kepada prinsip ‘sentiasa ada makanan di atas meja’ bagi memastikan isteri dan anak-anak tidak merasa kesusahan yang dialami.
Paling teruk, P. Ramlee pernah kena ‘boo’ oleh penonton ketika tampil membuat persembahan di Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur, dan ia menjadi kemunculan terakhir seniman itu.
Kemasukan muzik barat dan peralihan selera pendengar kepada lagu-lagu moden ketika awal 1970-an juga menjadi punca karya P. Ramlee tidak diterima orang ramai.
Dipinggirkan ketika hujung hayatnya, nama P. Ramlee bagaimanapun kembali mekar setelah kematiannya.
Karya-karya terdahulu mula diangkat semula dan namanya mendapat pengiktirafan sehingga diberi gelaran Seniman Agung dan juga darjah kebesaran yang membawa gelaran Tan Sri.
Namanya juga turut diabadikan pada dua nama jalan iaitu Jalan P. Ramlee di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Bercakap tentang kehidupan peribadi, P Ramlee pernah berkahwin sebanyak tiga kali dan dua daripadanya berakhir dengan perceraian.
Perkahwinan pertama bersama Junaidah Haris berakhir pada Oktober 1953 selepas enam tahun bersama.

Gambar: P. Ramlee bersama isteri pertamanya, Junaidah Daeng Harris. Mereka berkahwin dari tahun 1950 hingga 1953. -Arkib Negara Malaysia
Hasil perkahwinan tersebut pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Mohd Nasir yang merupakan satu-satunya anak kandung P. Ramlee.
Kemudian beliau berkahwin pula dengan seniwati Noorizan Mohd Noor pada 5 Februari 1955. Noorizan ketika itu permaisuri Perak namun beliau sanggup meninggalkan kehidupan istana disebabkan cinta yang terlalu mendalam terhadap P. Ramlee.

Gambar: P. Ramlee bersama isteri keduanya, Norizan Mohd Noor. Mereka berkahwin dari tahun 1955 hingga 1961. -Arkib Negara Malaysia
Namun cinta mereka juga tidak bertahan lama kerana ketika itu P. Ramlee dikatakan terlalu sibuk dengan kerjaya seni sehingga Noorizan sendiri merasakan dirinya terabai dan mereka akhirnya berpisah.
Perkahwinan terakhir P. Ramlee ialah bersama Saloma.

Gambar: P. Ramlee bersama isteri ketiganya, Salmah Ismail atau Saloma. Mereka berkahwin dari tahun 1961 sehingga kematian beliau pada tahun 1973. - Arkib Negara Malaysia
Di sebalik kisah rumahtangga P. Ramlee, ramai yang tidak tahu dia juga pernah menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon Mariani selepas bercerai kali pertama.
Bagaimanapun Mariani terpaksa berkorban cinta apabila mendapat tahu bahawa Saloma yang merupakan adiknya telah jatuh hati terhadap P. Ramlee.
Ketika P. Ramlee memutuskan untuk berkahwin kali kedua dengan Noorizan, Mariani berasa amat kecewa kerana pengorbanannya tidak dihargai.
Selain Nasir, P. Ramlee mempunyai sembilan anak lain, termasuk empat orang angkat dan dua orang anak tiri hasil perkahwian terdahulu bersama isteri pertamanya.
Noorizan juga mempunyai dua anak hasil perkahwinan terdahulu dan Saloma sendiri juga mempunyai seorang cahaya mata ketika mendirikan rumah tangga dengan pelakon AR Tompel.
Image captions



