suria

Ibnor Riza anggap hidap kanser sebagai hikmah, kini giat buat solat qada dan sudah mampu hafal surah lazim

Ibnor Riza menyifatkan kanser limfoma dihidapinya mempunyai hikmah tersendiri.

PENYANYI Ibnor Riza menyifatkan diagnos kanser limfoma tahap empat pada awal Mac lalu datang dengan pelbagai hikmah kepada dirinya.

Ibnor atau Ibnor Riza Ibrahim, 62, berkata, biarpun ia dugaan berat namun ujian penyakit itu membuatkan dia menjadi individu lebih baik berbanding sebelum ini.

"Sebenarnya banyak hikmah yang saya dapat. Dulu saya leka, saya tak ambil tahu tentang kesihatan.

"Saya terlalu sibuk mencari rezeki sehingga lupa dan jadi tidak ingat kepada Allah," katanya kepada mStar.

Ibnor berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama Persatuan Melodi Kenangan Artis dan Penggiat Seni (Pemekar) di Hotel Grand Barakah, Ampang pada Sabtu.

553

Ibnor kini sedang menjalani rawatan kimoterapi di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Ibnor yang kini terpaksa menggunakan bantuan kerusi roda untuk bergerak berkata, hari-harinya kini banyak dihabiskan dengan melakukan ibadah malah sudah mampu menghafal beberapa surah lazim.

Masa terluang juga kata Ibnor banyak dihabiskan dengan melakukan solat qada' yang pernah ditinggalkan sebelum ini.

"Saya boleh membaca al-Quran malah sebenarnya saya lepasan sekolah agama tapi banyak yang saya leka sebelum ini.

"Kalau saya pergi (meninggal dunia) pun, setidak-tidaknya saya sudah menghafal surah al-Mulk, al-Kahfi dan beberapa surah lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua bulan keluar masuk hospital, Ibnor Riza disahkan hidap kanser limfoma

ARTIKEL BERKAITAN: Ibnor Riza ditidurkan di ICU, tiba-tiba pengsan di rumah selepas beberapa hari keluar hospital

"Sekarang pun saya banyak habiskan masa dengan melakukan solat qada dan ibadah lain... inilah hikmah terbesar yang saya dapat selepas disahkan menghidap kanser dan saya bersyukur," jelasnya.

Sementara itu, Ibnor berkata, antara hikmah lain yang dapat dilihat adalah hubungan kekeluargaan mereka semakin rapat.

Kata Ibnor, dia sangat bersyukur kerana dikurniakan dua isteri yang tidak pernah bergaduh dan sentiasa bertolak ansur untuk menjaganya.

"Mereka berdua terlalu baik, saya rasa saya tidak layak mendapat wanita sebaik mereka.

ibnor - 1

Ibnor berharap diberikan kesembuhan semula.

"Kedua-dua isteri saya berebut mahu menjaga saya, sehinggakan isteri pertama sanggup berulang alik dari Brunei demi menjaga saya," jelasnya.

Ibnor bagaimanapun berharap dia dapat sihat seperti dahulu kerana perlu mencari rezeki untuk menyara anaknya yang masih bersekolah.

Tambahnya lagi, dia bersyukur kerana mempunyai anak tiri daripada isteri kedua, iaitu Mohd Muaz, 28, yang sanggup membayar ansuran rumahnya di Port Dickson.

"Saya berdoa agar diberikan kesembuhan semula kerana saya masih mempunyai tanggungan. Anak bongsu saya baharu berusia 13 tahun.

Kalau saya pergi (meninggal dunia) pun, setidak-tidaknya saya sudah menghafal surah al-Mulk, al-Kahfi dan beberapa surah lain.

IBNOR RIZA

PENYANYI

"Malah, saya juga ada menggunakan nama anak tiri untuk memohon pinjaman bank bagi pembelian rumah dan berjanji untuk membayar ansuran.

"Tapi, tiba-tiba saya jatuh sakit dan tak boleh kerja, anak tiri menawarkan untuk membayar ansuran itu setiap bulan," katanya.

Bercakap mengenai perkembangan kesihatannya, Ibnor berkata dia sudah mula menjalani sesi rawatan kimoterapi sejak 17 Mac lalu.

Kata Ibnor, dia kini perlu menjalani diet ketat seperti tidak lagi mengambil makanan seperti ayam, daging dan beberapa jenis buah-buahan.

Berat badan Ibnor juga menurun sebanyak 34 kilogram.

Disebabkan itu juga kata penyanyi lagu Mimpi Yang Tak Sudah ini, berat badannya turun sebanyak 34 kilogram sejak menanggung pelbagai komplikasi penyakit sejak beberapa bulan lalu.

"Selepas menjalani kimoterapi, saya jadi tak lalu makan dan banyak pantang yang perlu diikuti. Kalau nak makan sayur pun kena masak sepenuhnya, tak boleh makan ulam-ulaman.

"Berat badan turun 34 kilogram... waktu sihat dulu berat badan saya 120 kilogram dan sekarang hanya 92 kilogram.

"Saya juga kena banyak minum air iaitu sekurang-kurangnya lima botol sehari," katanya.

ibnor1 - 1

Ibnor disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat pada awal Mac lalu.

Menyentuh tentang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi, Ibnor berkata, dia tidak mempunyai sebarang perancangan memandangkan perlu menjalani sesi kimoterapi kali ketiga di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan pada 20 April ini.

"Insya Allah hanya beraya di rumah sebab lepas kimoterapi biasanya badan saya akan jadi lemah dan tak mampu nak buat apa-apa," katanya.

Pada 19 Februari lalu, Ibnor dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan selepas pengsan dirumahnya.

Sebelum itu, Ibnor tiba-tiba diserang pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis, tahap kolesterol tinggi, buasir, darah tinggi dan migrain yang teruk.

Dia mendapat tahu tentang keadaannya itu selepas melakukan pemeriksaan doktor akibat bengkak pada leher yang dialami sebelum ia disahkan kanser limfoma.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain