suria

Hidap anxiety dan ADHD, Ajoi Zainal hampir cederakan diri... sempat DM Sharifah Sakinah minta nasihat

Ajoi berjaya atasi masalah anxiety melalui terapi tanpa makan ubat.

SELEPAS hampir setahun tidak aktif dalam dunia seni, penyanyi Ajoi Zainal akhirnya secara terbuka mendedahkan dia menderita serangan gangguan kebimbangan (anxiety) selain didiagnos menghidap Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).

Kata Ajoi atau Qaidzul Zainal Abidin, 25, dia mula mendapatkan rawatan pakar sejak November tahun lalu namun mengambil keputusan untuk tidak bergantung kepada pengambilan ubat-ubatan.

Antara faktor membuatkan dia mula mendapat serangan anxiety adalah kehilangan anak saudara tersayang ketika sedang bertanding dalam program Big Stage 2022 selain tertekan dengan kecaman netizen.

ajoi zainal 2

Berdepan kecaman netizen juga menyumbang kepada masalah anxiety Ajoi.

“Dalam empat bulan awal selepas tamat Big Stage saya memang banyak berkurung. Saya mula rasakan serangan anxiety apabila rasa takut nak keluar rumah, badan berpeluh sehingga pernah terfikir nak cederakan diri sendiri.

“Selepas berjumpa doktor dan menjalani beberapa sesi terapi barulah saya rasa semakin sembuh. Doktor cadangkan untuk makan ubat namun saya takut terlalu bergantung.

“Sebab itu selama ini saya berdiam diri kerana doktor juga beri cadangan supaya saya menjauhi media sosial. Sepanjang tempoh 11 bulan sebelum ini saya cuba lawan sakit ini seorang diri,” katanya ketika dihubungi mStar pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Peserta Big Stage 2022 Ajoi Zainal mohon masa selesaikan masalah, dedah punca hilangkan diri sempena Hari Kesihatan Mental

ARTIKEL BERKAITAN: Lalui fasa paling buruk, Ajoi Zainal belum ada kekuatan kongsi derita berdepan masalah mental

Ajoi sebelum itu berkongsi video nyanyiannya di laman Instagram sebagai tanda sedia untuk kembali dan meneruskan kerjaya seni.

Bercakap tentang penyakit yang dialaminya itu, Ajoi memberitahu dia juga turut menghantar mesej kepada pelakon Sharifah Sakinah yang juga pernah mendedahkan menghidap ADHD.

“Saya ada DM dia (Sakinah) tentang ADHD. Panjang lebar saya bertanya tentang simptom dan sebagainya. Dia ada memberikan kata-kata semangat buat saya.

Sepanjang tempoh 11 bulan sebelum ini saya cuba lawan sakit ini seorang diri

AJOI ZAINAL

PENYANYI

“Sepanjang saya berdepan dengan masalah ini ada juga seorang sahabat yang banyak membantu. Dia beri saya semangat untuk pulih.

“Selain itu kekuatan saya bertahan adalah sentiasa ingat Tuhan. Dalam apa juga keadaan saya kena kuatkan diri supaya tidak menjadi lebih teruk,” ujarnya.

Tambahnya dia kini sedia untuk kembali dalam dunia hiburan dan bakal melancarkan sebuah lagu baharu yang sudah siap dirakam sebelum ini.

ajoi zainal 3

Ajoi kini sedia kembali aktif dalam dunia seni.

Malah Ajoi juga terharu dengan penerimaan peminat selepas dia memuat naik video terbaharu di laman Instagram pada Sabtu.

“Saya menangis apabila ramai yang memberi maklum balas positif. Ada yang masih ingat dan terus memberi saya semangat.

“Sekarang ini saya sudah sedia untuk kembali. Mungkin sudah 95% pulih dan apabila kembali aktif nanti saya harap dapat sembuh sepenuhnya,” jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain