suria

“Dia Nobita kesayangan saya” - A. Aida puji lakonan Ismail Izzani sebagai hero, bukti tak pilih rupa semata-mata

A. Aida tidak ambil pusing dengan kritikan netizen.

PEMILIHAN pelakon Ismail Izzani sebagai hero dalam drama terbaharu berjudul Bukan Hanya Sekadar Cinta (TV3) mengundang pelbagai reaksi daripada penonton.

Ada yang mempertikaikan pemilihan Ismail atau Ismail Izzani Zainal Nazeri, 23, yang dikatakan kurang sesuai kerana terlalu muda untuk memegang watak utama.

Sehingga ada yang menyamakan wajah penyanyi lagu Luar Biasa itu seperti karakter Nobita dalam siri animasi popular Jepun, Doraemon.

aida1 - 1

Antara kritikan yang diterima Ismail.

Mengulas mengenai perkara itu, penerbit drama berkenaan iaitu Datuk A. Aida berkata hal itu tidak sepatutnya dijadikan isu besar.

Malah, Aida atau Zaidah Awang, 53, enggan ambil pusing dengan kritikan netizen dan menganggap Ismail adalah seorang pelakon yang berbakat.

ARTIKEL BERKAITAN: Ismail Izzani belajar bahasa isyarat 2 jam sebelum masuk set, mahu lebih serius sebagai pelakon

ARTIKEL BERKAITAN: "Bakat boleh asah, paling penting wajah cantik dan kacak" - A. Aida cari pelakon baharu, ajak orang ramai datang uji bakat di Ekspresi@Finas

"Kalau netizen nak cakap dia macam Nobita, terserahlah tapi dia adalah Nobita kesayangan saya sebab lakonannya memang tidak perlu dipertikaikan.

"Mail (panggilan Ismail) seorang pelakon yang bagus. Nobita pun Nobita lah. Tapi dia Nobita yang comel. Paling penting lakonannya memang perfect," katanya ketika dihubungi mStar pada Jumaat.

Dah dulu semua orang cakap saya ni memilih rupa, sekarang ni ternyatalah A. Aida tidak memilih rupa. Betul tak?

A. AIDA

PENERBIT

Dalam pada itu, Aida turut mempersoalkan tindakan netizen yang dikatakan memilih paras rupa sedangkan dirinya pernah dikecam teruk gara-gara membuat kenyataan mahu mencari pelakon yang kacak dan cantik.

Kata Aida, dia memilih Ismail kerana bakat yang dimilikinya dan tidak teragak-agak untuk memberikan tawaran lakonan kepada aktor berkenaan lagi.

"Dah dulu semua orang cakap saya ni memilih rupa, sekarang ni ternyatalah A. Aida tidak memilih rupa. Betul tak?

"Maknanya netizenlah yang pilih rupa. Bagi saya, saya mementingkan bakat juga. Lakonan Mail memang sampai. Dia seorang pelakon yang natural.

"Saya memang puji sikap dan lakonan Mail dan saya tidak akan teragak-agak untuk mengambilnya berlakon semula," ujarnya.

Sementara itu, Aida juga yakin Ismail tidak mudah melatah atau berkecil hati dengan kritikan yang diterima kerana pelakon itu seorang yang terbuka.

aida2 - 1

A. Aida puji lakonan mantap Ismail Izzani.

"Saya dah mengenali Mail ni lama. Saya tahu dia boleh terima apa saja kritikan. Saya rasa kritikan ini tidak menjadi satu isu kerana tidak boleh memuaskan hati semua orang.

"Secara peribadi, saya amat berpuas hati dengan lakonan Mail. Orang nak cakap apa pun biarlah sebab kita tak boleh nak tutup mulut netizen," katanya.

Selain Ismail, drama 28 episod terbitan A. Aida Production itu turut dibintangi oleh Sofia Dendroff, Dian P. Ramlee dan pendatang baharu, Muaz Zabir.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain