suria

Dua bulan simpan rahsia, Bunga Isme terpilih jadi penyanyi pembukaan konsert Coldplay

Bunga janji lakukan yang terbaik di konsert Coldplay.

PENYANYI Bunge Isme meluahkan rasa syukur apabila dipilih menjadi artis pembukaan konsert Coldplay yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur pada 22 November depan.

Bunga atau Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari, 23, mendedahkan dia menerima tawaran itu dua bulan lalu sebelum jualan tiket konsert tersebut dibuka kepada peminat.

"Alhamdulillah, ya betul saya. Masa mula-mula saya dimaklumkan akan buat persembahan pembukaan di konsert itu, ia agak mengejutkan kerana Coldplay adalah satu nama besar dan mempunyai pengikut yang ramai.

"Saya sampai hilang kata-kata, tak tahu nak luah macam mana... saya gementar dan harap dapat lakukan yang terbaik," katanya kepada mStar.

Live Nation mengesahkan Bunga sebagai artis pembukaan konsert Coldplay di Malaysia.

Dalam pada itu, Bunga memaklumkan dia akan menyampaikan dua buah lagu pada konsert tersebut bersama band pilihannya.

Dia bagaimanapun memberitahu masih belum melakukan sebarang latihan kerana sedang sibuk dengan pengajian di universiti.

"Apa yang saya tahu, persembahan permbukaan itu akan berlangsung selama 20 minit dan antara lagu yang saya pilih ialah Buai serta Intan Payung.

ARTIKEL BERKAITAN: Empat tahun bercinta, keluarga kekasih sudah datang merisik Bunga Isme... Akui belum sedia kahwin

ARTIKEL BERKAITAN: Penampilan tindik hidung jadi perhatian netizen, Bunga Isme ‘sporting’ layan soalan peminat

"Dari segi persiapan saya belum lakukan apa-apa latihan lagi cuma sekarang ini saya baru dapat band untuk lakukan persembahan bersama. Sebab sekaran bulan terakhir saya dalam pengajian ijazah saya, jadi agak sibuk.

"Mungkin lepas selesai peperikasaan akhir, baru kami mulakan latihan," tambahnya.

Sementara itu, Bunga berharap kemunculannya pada konsert itu nanti dapat memperkenalkan lagi muziknya kepada pendengar lebih besar.

"Memandangkan saya masih baru dalam bidang ini, saya harap kemunculan saya nanti dapat memperkenalkan muzik saya kepada pendengar yang lebih besar.

Coldplay bakal menghiburkan 85,000 peminat di Malaysia pada November depan.

"Paling penting doakan saya dapat lakukan yang terbaik pada malam itu nanti dan terima kasih kepada pihak penganjur kerana memilih saya," katanya.

Penganjur konsert berkenaan Live Nation Malaysia pada pagi Isnin mengesahkan bunga bakal muncul sebagai artis pembukaan pada konsert itu nanti.

Konsert berkenaan bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 22 November depan dan sebanyak 85,000 tiket sudah pun habis terjual.

Konsert siri jelajah itu juga bakal dianjurkan di negara Asia terdekat seperti Singapura, Indonesia dan Thailand.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain