suria

Sabri Yunus anggap komedi medium tegur dan kritik, pelawak tempatan masih tahu batasan

Sabri mengakui penonton kini lebih bersikap terbuka.

PELAKON dan pengarah Sabri Yunus menyifatkan setiap komedi yang disampaikan perlu mempunyai batasan agar tidak melangkaui batasan sensitiviti masyarakat.

Sabri atau Mohd Sabri Yunus, 62, berkata, menerusi pemerhatiannya, pelawak di negara ini masih berpegang pada batasan itu agar tidak menggores perasaan penonton.

"Saya rasa komedi memang perlu ada batasan termasuk kalau perkara-perkara sensitif seperti agama atau politik.

"Apa yang saya lihat dalam konteks hari ini, ramai pelawak (tempatan) masih lagi membuat lawak secara umum. Perkara itu harus kita jaga.

SABRII - 1

Sabri menegaskan komedi tidak perlu keterlaluan.

"Kalau kita guna lawak body shaming untuk teguran, pada saya itu bukan teguran tapi hinaan," katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, pelakon sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu berkata, menjadi kebiasaan dalam membuat lawak akan ada 'mangsa' dan 'pemangsa' namun ia perlu dilakukan dengan sempurna tanpa menjurus kepada penghinaan.

"Komedi ini adalah mangsa. Ada mangsa, ada komedi. Tapi mangsa itu bukanlah menghina. Macam komedi stand up di negara Barat, mereka memangsakan presiden mereka... Memangsakan itu bukan bererti menghina.

ARTIKEL BERKAITAN: Sabri Yunus perjuang maruah budaya Mak Yong dalam 'Duan Nago Bogho', singkap kehidupan masyarakat Kelantan

ARTIKEL BERKAITAN: Budi bahasa rakyat Malaysia di tempat pertama walaupun negara sedang membangun... Sindiran Harith Iskander terhadap pelawak Singapura ini benar-benar menusuk kalbu

"Sebab itu dalam komedi yang tidak ada ‘mangsa’ dia akan memangsakan diri dia kerana itu adalah lebih baik dan selamat," ujarnya.

Sabri bagaimanapun berpendapat masyarakat sekarang lebih terbuka menerima komedi kerana sudah terdedah dengan pelbagai hiburan berunsurkan jenaka.

Bagi Sabri, komedi juga merupakan satu medium untuk memberi teguran kepada masyarakat asalkan ia tidak melampaui batasan melawak.

Kalau komedi dianggap untuk ketawa sahaja, makna komedi tidak besar bagi saya.

SABRI YUNUS

PELAKON/PENGARAH

"Bagi saya, orang sekarang lebih menerima daripada orang dulu sebab lawak ini lebih meluas. Kalau perkara itu di atas pentas komedi, saya rasa mereka masih boleh terima.

"Kalau dulu mungkin sebab tidak banyak gelanggang komedi tapi sekarang orang lebih terbuka.

"Orang terima komedi ini sebagai satu medium untuk menegur, mengkritik. Kalau komedi dianggap untuk ketawa sahaja, makna komedi tidak besar bagi saya," jelasnya.

Sementara itu, Sabri turut memberi komen terhadap penglibatan penyanyi dan pelakon yang dilihat sudah banyak menerima tawaran dalam program komedi.

SABRII1 - 1

Lakonan Sabri sentiasa diingati peminat.

Kata Sabri, setiap individu mempunyai kelebihan yang tersendiri, maka tidak hairanlah program komedi sekarang turut disertai oleh rakan-rakan artis.

"Sebelum ni mungkin orang hanya fikir pelawak sahaja yang boleh membuat komedi. Tapi sekarang ni pelakon, penyanyi juga ada kelebihan-kelebihan mereka yang tertentu.

"Bagi saya komedi itu bukan 100 peratus hanya untuk pelawak sahaja. Kalau kita lihat program lawak sekarang pun melibatkan artis-artis yang terdiri daripada penyanyi dan pelakon.

"Saya rasa mereka mempunyai nilai humor dan kalau tidak, takkan mereka terima tawaran untuk melawak," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain