suria

Doa cinta disertai iman bawa ke syurga, Essam Muhammad anggap kehadiran Mizz Nina pemberian Allah

Essam bersyukur dapat memperisteri Mizz Nina.

PENYANYI rap Essam Muhammad menyifatkan pertemuannya dengan isteri iaitu Mizz Nina berlaku pada masa yang tepat selain disusun Allah SWT dengan cukup sempurna.

Essam yang berasal dari Seattle, Amerika Syarikat berkata, dia juga percaya dipertemukan jodoh dengan Nina atau Shazrina Azman, 43, mempunyai hikmah tersembunyi dan terbaik buat dirinya.

"Perjalanan ini benar-benar luar biasa sebab Allah sentiasa memberi kita apa yang diperlukan dalam kehidupan pada masa yang tepat.

"Kadang-kala seseorang rasa tahu apa yang terbaik untuk diri sendiri tetapi sesungguhnya Yang Maha Bijaksana akan menunjukkan kepada kita dengan cara yang tidak disangka-sangka," katanya.

essam1 - 1

Pasangan ini mengumumkan sudah melangsungkan perkahwinan pada malam Khamis lalu.

Essam berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya pada Jumaat.

Dalam pada itu, Essam turut meluahkan rasa syukur dikurniakan seorang wanita hebat menjadi pasangan hidupnya.

Seperti kebanyakan pasangan berkahwin yang lain, Essam turut mendoakan agar cinta yang disemai di antara mereka akan terus mekar dengan keimanan dan bersatu hingga ke syurga.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan calang-calang... Suami Mizz Nina rupanya penyanyi rap asal AS, jom kenali Essam Muhammad

ARTIKEL BERKAITAN: Mizz Nina umum sudah berkahwin, kini isteri Essam Muhammad

"Alhamdulillah hidup ini indah bagi saya. Kata-kata sahaja tidak dapat menyatakan rasa syukur kerana Allah mengurniakan wanita paling hebat, permaisuriku, isteriku tercinta.

"Semoga hati kita terus terbuka untuk diisi dengan keimanan dan cinta kita melangkaui kehidupan yang sementara ini agar jiwa dapat bersatu ke pintu syurga," tulisnya.

Sementara itu, Nina di Instastory miliknya turut melahirkan rasa gembira dan terima kasih kepada semua yang mendoakan serta memberi sokongan kepada mereka berdua.

Perjalanan ini benar-benar luar biasa sebab Allah sentiasa memberi kita apa yang diperlukan dalam kehidupan pada masa yang tepat.

ESSAM MUHAMMAD

PENYANYI RAP

“Terima kasih kepada semua yang memberikan doa, rasa cinta dan sokongan buat kami berdua.

“Kami bersyukur kepada Allah dan semoga Allah merahmati anda semua dengan rahmat yang tidak terhingga, cinta, perlindungan di dunia dan akhirat,” katanya.

Pada malam Khamis, Nina memaklumkan selamat mendirikan rumah tangga kali kedua bersama Essam yang dipercayai berlangsung di Amerika Syarikat.

essam2 - 1

Nina turut meluahkan rasa syukur dan terima kasih atas doa orang ramai buatnya dan suami.

Majlis pernikahan pasangan itu diadakan secara tertutup yang hanya dihadiri kaum keluarga dan sahabat terdekat.

Nina juga memaklumkan mereka akan mengadakan majlis resepsi di Kuala Lumpur dalam masa terdekat secara tertutup bagi meraikan perkahwinan mereka.

Untuk rekod, Nina sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Noh Salleh pada 2 Julai 2011 namun mengumumkan penceraian pada 4 Ogos tahun lalu.

Mereka memiliki seorang anak angkat lelaki bernama Musa.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain