MENYERAH dan putus asa tidak pernah ada dalam kamus hidup pendatang baharu Hazim Razali meskipun terpaksa menanti selama lapan tahun sebelum dapat melancarkan single pertamanya berjudul Terpisah Waktu Episode 1. Hazim, 30, berkata, sepanjang tempoh itu sudah lebih lima kali dia mencuba nasib dengan menyertai pelbagai uji bakat pertandingan nyanyian namun nasib tidak menyebelahinya. Ini kerana kata anak kelahiran Kuala Lumpur ini, dia sering ditolak kerana vokalnya mirip dengan penyanyi legenda Datuk Jamal Abdillah manakala gayanya pula dikatakan persis Anuar Zain. "Sebenarnya sudah banyak kali saya menyertai uji bakat untuk kembangkan karier dalam bidang nyanyian tetapi nasib tidak menyebelahi saya. Hazim merupakan seorang pramugara syarikat penerbangan Singapore Airlines. "Saya sering ditolak hanya disebabkan suara saya dikatakan mirip Jamal Abdillah tetapi mempunyai gaya seperti Anuar Zain. "Tapi itu bukan alasan untuk saya menyerah sebab tahu saya ada identiti tersendiri dan Alhamdulillah selepas penantian yang panjang, maka lahirlah Terpisah Waktu Episode 1," katanya kepada mStar. Bercakap lanjut mengenai dirinya, Hazim berkata, nyanyian sudah sebati dengan dia malah sudah memasang impian bergelar seorang penyanyi sejak kecil. ARTIKEL BERKAITAN: Berkaca mata hitam kerana ‘stage fright’, kekok makan pakai tangan... Jom kenali atlet kini bergelar penyanyi Izzan Adlan ARTIKEL BERKAITAN: Harga capai impian mahal sampai pernah menyanyi di jalanan ketika usia 13 tahun... Ini 5 fakta menarik mengenai Dinda Dania Tidak mempunyai latar belakang atau pengetahuan dalam bidang muzik, Hazim bagaimanapun memberitahu dia banyak belajar tentang teknik nyanyian hasil pemerhatian menerusi persembahan artis lain. "Keluarga saya pun bukan berlatar belakangkan bidang seni tetapi sejak kecil saya memang minat dan mahu bergelar penyanyi. "Teknik menyanyi pun saya belajar hasil pemerhatian penyanyi-penyanyi lain," jelasnya. Hazim dikatakan mirip gaya penyanyi Anuar Zain. Hazim yang juga seorang pramugara sebuah syarikat penerbangan di Singapura memberitahu idea lagu tersebut terhasil ketika dunia dilanda pandemik Covid-19. Ketika itu kata Hazim, dia terperangkap di Singapura dan banyak meluangkan masa dengan membuat video siaran langsung di TikTok dan menyanyikan pelbagai lagu atas permintaan pengikutnya. Dari situ juga kata Hazim, dia bertemu dengan komposer dan penulis lirik Yuzai yang tertarik dengan keunikan vokalnya sebelum menawarkan lagu Terpisah Waktu Episode 1 kepadanya. "Masa pandemik saya tak dapat pulang ke Kuala Lumpur dan banyak menghabiskan masa membuat video live di TikTok sampaikan ramai buat permintaan saya menyanyikan lagu-lagu artis lain. Hazim mendapat peluang merakamkan single pertamanya ketika dunia dilanda pandemik. "Kebetulan Yuzai turut menonton video siaran langsung saya dan nampak bakat saya sebagai penyanyi dan menawarkan peluang merakamkan lagu tersebut. "Alhamdulillah di sebalik dugaan terperangkap akibat pandemik ketika itu, Allah bukakan rezeki untuk saya," katanya. Sementara itu, Hazim yang berpangkalan di Singapura memberitahu tugas sebagai pramugara juga tidak menghalangnya meneruskan cita-cita sebagai seorang penyanyi. Malah katanya, dia sanggup berulang-alik ke Kuala Lumpur sekiranya ada undangan nyanyian diberikan kepadanya memandangkan jadual kerjanya sebagai pramugara fleksibel. Hazim sedia ulang-alik dari Singapura ke Kuala Lumpur demi merancakkan karier nyanyiannya. "Tidak kira di Malaysia atau Singapura, kalau ada yang tawar saya buat persembahan, Insya Allah saya terima. "Mujur kerja sebagai pramugara ini fleksibel... jadi tiada masalah kalau saya nak menerima sebarang undangan. Saya boleh susun semula jadual saya. Hazim berkata, dia berharap single Terpisah Waktu Episode 1 itu dapat diterima baik pendengar sekali gus memperkenalkan dirinya dalam industri hiburan tempatan. Berikut adalah lima fakta menarik tentang Hazim Razali. 1. Hazim merupakan merupakan seorang pramugara di salah sebuah syarikat penerbangan di Singapura sejak 2018. 2. Ketika pandemik Hazim sempat bekerja sebagai krew restoran di Singapura susulan tak dapat pulang ke Kuala Lumpur. 3. Hazim gemar aktiviti dan sukan lasak seperti bungee jumping. 4. Mengagumi penyanyi Datuk Siti Nurhaliza dan Marc Anthony. 5. Hazim tidak gemarkan makanan yang mempunyai bau seperti petai. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!