suria

Jarang kongsi kisah peribadi di Instagram, ramai terkejut Naqiu timang anak keenam

Naqiu menyambut kelahiran bayi keenam pada Khamis.

PENYANYI Naqiu berkongsi khabar gembira isterinya iaitu Hanisah Zuhari, 38, selamat melahirkan cahaya mata keenam mereka pada Khamis.

Bayi perempuan seberat 3.05 kilogram itu dilahirkan secara normal di Hospital Ampang pada pukul 5.47 pagi.

Teruja dan gembira menyambut kelahiran bayi, Naqiu atau Wan Naqiuddin Mohd Najib, 37, juga meluahkan kebimbangan untuk isterinya menjaga anak kecil mereka.

naqiu 2

Naqiu teruja untuk menjaga isteri dan bayi sepanjang tempoh berpantang.

"Anak kelima sekarang berusia 5 tahun, jadi dah lama tiada baby. Usia saya dan isteri pun bukan muda. Mulalah terfikir macam mana nak jaga baby baru ni.

"Bagaimanapun ini adalah rezeki dan tanggungjawab. Syukur anak kami selamat dilahirkan dan ibu serta bayi dalam keadaan sihat," katanya ketika dihubungi mStar pada Jumaat.

Dia sebelum itu turut membuat satu hantaran di laman Instagram miliknya berkongsi berita gembira itu kepada peminat.

ARTIKEL BERKAITAN: Datuk S lesap lepas pinjam RM1.3 juta, A. Aida bagi masa selesaikan hutang atau tanggung malu

ARTIKEL BERKAITAN: Yazmin Aziz 2 kali diundang nyanyi depan Presiden Filipina, gementar nak hafal lagu permintaan ‘first lady’

Tambah penyanyi ini, dia juga mahu memberi tumpuan sepenuhnya menjaga isteri dan bayi sepanjang tempoh berpantang.

"Anak pertama hingga kelima, saya jarang berada di rumah sebab ketika itu masih aktif menyanyi di kelab dan di banyak tempat seluruh Malaysia.

"Anak kelima barulah saya dapat merasa menjaga isteri ketika berpantang seperti mana kebiasaan bapa lain. Jadi kali ini pun saya tidak mahu lepas peluang memberi tumpuan menjaga isteri dan anak," ujarnya.

Jadi kali ini pun saya tidak mahu lepas peluang memberi tumpuan menjaga isteri dan anak

NAQIU

PENYANYI

Naqiu memberitahu dia akan berkongsi nama anak keenamnya itu selepas 40 hari.

Perkongsian vokalis kumpulan Boboy ini juga membuatkan ramai peminat terkejut kerana tidak menyangka dia sudah memiliki enam orang anak.

Kurang berkongsi kisah keluarga di media sosial, kata Naqiu dia lebih selesa menjadikan platform itu menceritakan hal kerjaya.

naqiu 3

Naqiu jarang berkongsi gambar keluarga di media sosial.

"Kalau orang yang tidak tahu tentang anak-anak, saya minta maaf. Inilah saya yang sebenar. Saya memang tidak suka kongsi hal keluarga di media sosial kecuali kalau ada hari istimewa seperti sambutan ulang tahun mereka.

"Biarlah media sosial saya hanya menjadi tempat untuk menceritakan hal kerja sahaja," jelasnya.

Untuk rekod Naqiu dan Hanisah mendirikan rumah tangga pada 18 Januari 2010.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain