KONSERT Muse Will of the People World Tour yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 29 Julai lalu mendapat sambutan luar biasa peminat yang sememangnya sudah lama menantikan kemunculan kumpulan berkenaan. Bagaimanapun di sebalik kemeriahan konsert tersebut, terdapat kisah sedih daripada pihak penganjur sendiri yang bertungkus lumus merialisasikan penganjuran konsert tersebut. Ketua Pegawai Eksekutif Hello Universe, Adam Ashraf memberitahu disebabkan terlalu panik sehingga mengalami serangan anxiety, dia terpaksa duduk di bilik rawatan stadium berkenaan ketika konsert berlangsung. Adam berkata, perasaan risau mula timbul apabila Muse lewat muncul di atas pentas selain ketika itu dia perlu menguruskan pelbagai perkara bagi memastikan konsert berjalan lancar. Kehadiran Muse menarik perhatian 53,000 peminat. "Bila pukul 8.30 malam masih belum mula, saya dapat banyak panggilan tanpa henti. Saya berlari merata tempat untuk pastikan semua okay. "Pukul 9.10 malam saya dah mula risau apabila konsert belum bermula. Anxiety saya datang sampai duduk dalam bilik rawatan. Saya memang kecewa sangat. "Apabila dimaklumkan Muse sudah buat persembahan, tahap lega saya hanya Tuhan sahaja tahu," katanya menerusi perkongsian di Facebook. ARTIKEL BERKAITAN: Satu-satunya lokasi konsert di Asia, Muse bakal bertemu peminat di KL Julai depan ARTIKEL BERKAITAN: ‘This Is Johan Live In Concert’ berlangsung meriah, persembahan bertenaga Joe Flizzow pukau 1,500 penonton Apa lebih mengecewakan kata Adam, dia langsung tidak dapat menyaksikan kumpulan kegemarannya itu beraksi sepanjang konsert berlangsung kerana berada di bilik rawatan. "Memang sedih sebab momen untuk menyaksikan Muse di depan mata tak kesampaian," ujarnya. Bukan hanya tidak dapat menonton konsert berkenaan, Adam juga terlepas peluang untuk merakamkan gambar kenangan bersama anggota Muse ketika mereka datang ke Kuala Lumpur. Muse berjanji akan kembali ke Malaysia untuk mengadakan konsert. Bahkan dia terpaksa mencari rakaman konsert berkenaan menerusi perkongsian di laman sosial bagi merasai situasi sebenar yang berlaku pada malam tersebut. "Saya langsung tidak berjumpa Matt (vokalis) dan yang lain walau saya sendiri menjadi penganjur. Segala usaha lima bulan sia-sia sebab tidak dapat tengok hasilnya. "Saya kena cari video untuk lihat persembahan mereka semula. Kalau ada video yang cantik boleh kongsikan," ujarnya. Mengimbau kembali usaha menganjurkan konsert tersebut, Adam juga tidak menyangka dia bersama pasukan produksi berjaya mendapatkan persetujuan pengurusan Muse ketika berkunjung ke London sebelum ini. Malaysia satu-satunya negara pilihan Muse untuk mengadakan konsert jelajah mereka di Asia. "Saya cakap dekat semua, konsert Muse adalah yang paling saya mahu buat sebab abang saya minat mereka. Ini hadiah buat abang. "Siapa pernah sangka, saya redah ke London dengan rakan perniagaan dan seolah tidak percaya sebuah syarikat 'cap ayam' diberi peluang untuk anjurkan sesuatu yang tidak terfikir dek akal," jelasnya. Konsert yang berlangsung itu berjaya memukau lebih 53,000 penonton termasuk peminat dari luar Malaysia. Kuala Lumpur menjadi satu-satunya lokasi konsert jelajah tersebut di Asia. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!