suria

Seronok Nabil tengok anak perempuan pakai tudung, doa semoga istiqamah… “Saya dulu nakal, belajar agama pun lambat”

Nabil mendoakan anaknya terus kekal istiqamah.

PELAWAK dan penyampai radio, Nabil Ahmad tidak menyangka anak sulungnya iaitu Naira Mikayla yang kini berusia 11 tahun menyatakan keinginan untuk tampil dengan imej bertudung.

Kata Nabil, 39, dia sebenarnya bimbang untuk berkongsi perkara baik ini kerana takut sekiranya satu hari nanti anak perempuannya itu diuji untuk kembali tidak bertudung.

Meskipun begitu, Nabil berkata dia tetap memberikan sokongan buat Mikayla atau Mika dengan mengikut kemahuannya membelikan setiap rekaan tudung yang diingini.

"Pada mulanya masa dia (Mika) minta pakai tudung, saya dan isteri terkejut sebab dia baru darjah lima. Saya tak pernah meminta dia memakai tudung... asalkan pakai apa yang dia selesa.

nabil1 - 1

Nabil bersyukur anak sulungnya mahu menutup aurat.

"Tapi Alhamdulillah saya gembira. Saya sebenarnya tiada niat berkongsi mengenai hal ini kerana saya sangat takut nanti bila Allah uji dia sekiranya ingin membuka semula tudung.

"Jadi saya biar sahaja... saya hanya memberi sokongan dan membelikan setiap warna tudung yang dia mahu," katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes cerai rakan artis buatkan Nabil Ahmad muhasabah diri, syukur isteri penyabar... "Sekarang saya beri lebih perhatian"

ARTIKEL BERKAITAN: "Itu soalan bodoh" - Mas Idayu tempelak Nabil Ahmad, tak suka cadangan suruh sertai pertandingan nyanyian

Nabil berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis sambutan ulang tahun ke-25 radio Era yang diadakan di Nu Sentral, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Dalam pada itu, Nabil memberitahu dia sentiasa berdoa serta berharap agar anak perempuannya itu kekal istiqamah dalam menutup aurat dan mendalami ajaran agama Islam.

Saya tidak mahu anak-anak ikut seperti bapa (merujuk kepada dirinya) mereka. Saya dulu tak baik, bapa mereka nakal.

NABIL AHMAD

PELAWAK/PENYAMPAI RADIO

Kata Nabil, dia tidak mahu anak-anaknya mengikut jejak langkahnya yang agak lambat mendalami dan mengikut tuntutan agama.

"Kalau boleh doakan dia istiqamah... mereka nak belajar agama. Itulah harapan saya sekarang. Tiada apa yang boleh menggembirakan saya melainkan melihat anak-anak saya mengikut ajaran agama Islam.

"Saya tidak mahu anak-anak ikut seperti bapa (merujuk kepada dirinya) mereka. Saya dulu tak baik, bapa mereka nakal. Belajar agama pun lambat. Dapat hidayah pun lambat.

"Jadi kalau boleh saya tidak mahu anak-anak saya melalui fasa buruk itu. Biar mereka melalui laluan yang betul. Apa yang boleh saya buat adalah berterusan mendoakan mereka untuk kekal istiqamah," ujarnya.

Ditanya sekiranya Mika mendapat tawaran untuk menjadi duta atau menggayakan jenama tudung di pasaran, Nabil terbuka memberikan peluang itu kepada anaknya.

Ia secara tidak langsung dapat menaikkan lagi semangat Mika untuk terus istiqamah memakai tudung dan menutup aurat.

"Dia sudah mula belajar memakai tudung... pergi sekolah pakai tudung, bersukan pun pakai tudung. Malah keluar rumah pun masih bertudung.

"Saya tidak menolak sekiranya ada jenama tudung yang ingin mengambil Mika sebagai duta atau model.

nabil2 - 1

Mika (paling kanan) memakai tudung atas kehendaknya sendiri.

"Saya rasa sekiranya menerima tawaran seperti ini, ia menggalakkan Mika untuk terus memakai tudung," katanya.

Pada Julai lalu, Nabil memuat naik foto mereka sekeluarga di Instagram dan penampilan Mika mengenakan tudung mencuri perhatian netizen.

Untuk rekod, Nabil mendirikan rumah tangga dengan Nazirah Ayub pada 30 September 2011.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Naira Mikayla, 11, Layla Medyna, 8, dan Mishall Imani, 4.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain