PENYANYI Shila Amzah dan suami, Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli mendedahkan mereka juga tidak terlepas dengan pelbagai ujian sebelum bergelar suami isteri pada pagi Sabtu. Ini termasuk Ubaidillah atau Ubai kehilangan ibu tercinta iaitu Allahyarham Rohani Jamal yang meninggal dunia akibat kanser pada 30 Julai lalu. Shila atau Nurshahila Amir Amzah, 33, berkata, sejurus selepas mereka sah bergelar suami isteri, timbul perasaan sebak apabila mengenangkan dugaan terpaksa ditempuh sebelum menuju hari bahagia. Kata Shila, tidak mudah bagi mereka untuk menguruskan urusan berkaitan majlis dalam pada masa sama menanggung kesedihan memikirkan tahap kesihatan Allahyarham ketika itu. Shila tidak dapat menahan sebak di hari pernikahannya. "Untuk majlis pernikahan hari ini, perjalanannya bukan mudah. Orang kata dugaan bertunang is real. Kami diduga daripada sudut berbeza yang mungkin orang lain momokkan. "Contonya nanti bertunang ada orang kacau (orang ketiga), tapi sebenarnya kami diuji dengan tahap kesihatan mak yang tidak baik... tiga minggu sebelum bertunang, adik Ubai meninggal dunia. "Nak kumpul kekuatan itu tak mudah, ada masanya menangis dalam kereta selepas jumpa mak di hospital, selepas itu terus hadir meeting untuk majlis kahwin pula," kongsinya kepada mStar. ARTIKEL BERKAITAN: Shila Amzah sah bergelar isteri Ubai dengan sekali lafaz ARTIKEL BERKAITAN: ND Lala terus pulang selepas nikahkan Shila dan Ubai, tak sempat ambil gambar keluarga Shila berkongsi perkara itu selepas dia dan Ubai selamat disatukan sebagai suami isteri dengan sekali lafaz pada majlis pernikahan yang diadakan di The Boathouse Ampang, Kuala Lumpur pada Sabtu. Dalam pada itu, Shila berkata, sebagai isteri dia bersimpati dan sedih memikirkan tentang perasaan Ubai meskipun personaliti media sosial itu jarang menunjukkan emosinya. Kata Shila, suaminya itu seorang yang sangat tabah dalam menempuh dugaan sehingga masih mampu meneruskan persiapan perkahwinan mereka selepas kematian ibunya. Untuk majlis pernikahan hari ini, perjalanannya bukan mudah. Kami diuji dengan tahap kesihatan mak yang tidak baik. SHILA AMZAH PENYANYI "Kami hanya mahu lihat semua wajah kesayangan kami berada di dalam majlis ini, berkongsi hari bahagia kami. "Dalam masa sama, sudah tentu saya fikirkan perasaan suami. Saya rasa dia belum 'meletup' (melepaskan kesedihan). "Sejak minggu lalu dia masih simpan perasaan sedih itu kerana tidak mahu saya risau. Jadi sudah tentu hari ini bukan hari yang mudah tetapi kita pilih untuk gembira," katanya. Sementara itu, Ubai berkata, meskipun masih dalam fasa bersedih namun dia bersyukur dapat merialisasikan impian ibunya yang ingin melihat dia dan Shila meneruskan perkahwinan yang dirancang. Ibu Ubai (kiri) bersama Shila di majlis pertunangannya. "Sebenarnya sebelum lafaz akad nikah tadi saya sudah mula bergenang air mata sebab sepatutnya individu yang duduk dibelakang adalah ibu saya. "Kehilangan itu sangat berat sebab saya paling rapat dengan mak... Shila juga antara yang menjaga mak daripada awal arwah sakit sampailah dia meninggal dunia. "Ada rasa lega serta gembira kerana dapat melunaskan hasrat yang diimpikan oleh mak... Mak memang mahu melihat kami bersatu," jelasnya. Berkongsi detik perkenalan bermula, Shila memberitahu hubungan mereka sebelum ini hanyalah sebagai artis dan peminat. Shila dan Ubai sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz. Jelas Shila, Ubai sudah lama meminatinya sejak di bangku sekolah lagi, malah menurut cerita Allahyarham ibu mentuanya, keluarga terpaksa mendengar lagu nyanyiannya berulang kali semata-mata kerana Ubai. Pekerjaan Ubai sebagai penerbit kandungan digital di salah sebuah syarikat penyiaran swasta juga menjadi asbab detik pertemuan mereka sehingga menimbulkan bibit-bibit cinta. "Masa 2014, Ubai ini sebenarnya memang peminat saya... lepas itu dia beli album saya. Arwah mak beritahu dulu dia sampai nak pengsan terpaksa dengar lagu Shila Amzah. "Sebab dalam perjalanan dari Kuala Lumpur sampai ke Kelantan, memang lagu Shila saja yang dia pasang... bayangkanlah dari KL ke Kelantan lagu Shila sahaja. Shila menyarungkan cincin ke jari Ubai. "Malah Ubai siap letak gambar profil Facebook dia foto saya," kongsinya. Pasangan itu dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, Datuk Amir Amzah Salleh atau ND lala dengan disaksikan oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan Masjid Darul Ehsan Taman Tun Razak Ampang, Mohamad Khairi Hussein. Untuk rekod, Shila pernah mendirikan rumah tangga dengan dengan Haris Idraki Elias pada April 2018 namun hubungan mereka berakhir dengan penceraian pada Februari 2022. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Seth Uwais yang kini berusia empat tahun. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!