suria

Ahmad Kassan meninggal dunia seorang diri di rumah, derita penyakit diabetes sejak 15 tahun lalu

Ahmad Kassan meninggal dunia akibat diabetes.

KOREOGRAFER dan penari terkenal Ahmad Kassan dilaporkan meninggal dunia seorang diri di rumahnya sebelum ditemukan terbaring di atas katil oleh ahli keluarganya pada malam Khamis.

Kakak kepada Ahmad iaitu Poniah Kassan memberitahu keluarga menerima panggilan daripada rakan baik Ahmad selepas berasa curiga arwah tidak datang bekerja pada pagi Jumaat.

Beritahu Poniah, sehari sebelum Ahmad meninggal dunia, Allahyarham ada bertemu dengan rakan baiknya dan keadaannya ketika itu tidak menunjukkan sebarang kelainan.

"Pada malam Khamis kami dapat panggilan daripada rakan baiknya, katanya mereka berjumpa pada Rabu dan Allahyarham baik-baik sahaja.

Aznil merasa kehilangan Allahyarham.

"Allahyarham pulang ke rumah pada pukul 10 malam dan keesokan harinya (Khamis), rakannya itu pelik kerana Ahmad tidak pergi bekerja.

"Rakannya merasa curiga kenapa dia tidak menjawab panggilan telefon... Dalam pukul 2 petang rakannya tak sedap hati dan pergi ke rumah Ahmad.

"Depan pintu rumah dia dengar deringan telefon dan terus menghubungi kami adik-beradik," ujarnya.

Poniah berkongsi perkara itu menerusi perbualan telefon yang dibuat bersama pengacara Datuk Aznil Nawawi yang dimuat naik di Instagram miliknya pada malam Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Penari dan koreografer 'Macam-Macam Aznil' Ahmad Kassan meninggal dunia di Singapura

ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Kassan selamat dikebumikan di Singapura, Aznil Nawawi dedah tumpang rezeki - "Itu semua saham kau di sana"

Pengacara itu menghubungi sendiri kakak Allahyarham untuk bertanyakan kejadian sebenar yang berlaku kepada sahabat baiknya itu.

Dalam perbualan itu, Poniah memberitahu mereka berjaya membuka pintu rumah arwah sekitar pukul 10 malam Khamis dan menemukan Ahmad sudah terbaring kaku di atas katil.

"Kami terus menghubungi polis untuk pengesahan dan pegawai penyiasat datang untuk mencari punca kematian," jelasnya.

Bercerita tentang punca kematian Ahmad, Poniah memberitahu arwah meninggal dunia disebabkan penyakit diabetes yang dihidapinya sejak 15 tahun lalu.

Ahmad seorang yang happy go lucky, suka tolong orang. Saya tidak sangka masa dia terlalu singkat.

PONIAH KASSAN

KAKAK ALLAHYARHAM AHMAD KASSAN

Poniah berkata, ia berdasarkan pemerhatian ubat-ubatan yang diambil Ahmad, 57, selain disahkan oleh pihak perubatan.

"Daripada ubat-ubatan yang diambil kami dapat tahu dia ada penyakit diabetes.

"Doktor membuat pengesahan itu dalam sijil kematian, sudah 15 tahun arwah menderita penyakit tersebut.

"Malah kami lihat penurunan berat badannya sangat drastik selepas Covid-19," ujarnya.

ak1 - 1

Gambar kenangan Allahyarham bersama keluarga.

Bercerita tentang keperibadian arwah, Poniah memberitahu adiknya itu seorang yang ceria selain suka membantu orang lain.

Malah Poniah sempat mengucapkan terima kasih kepada Aznil kerana mengambil berat tentang Allahyarham serta memberi peluang kepada Ahmad meneruskan minat dalam bidang tarian.

"Ahmad seorang yang happy go lucky, suka tolong orang. Saya tidak sangka masa dia terlalu singkat.

"Saya rasa terharu dengan kata-kata semangat yang diberikan dan ingin mengucapkan terima kasih kepada Pak Nil (panggilan Aznil) kerana sudi luangkan masa bertanya khabar.

"Saya juga ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kerana memberikan peluang pada Ahmad tunjukkan bakatnya untuk dapatkan apa yang dia impikan," katanya.

ss

Aznil sempat menghubungi keluarga Allahyarham di Singapura.

Pengacara berkenaan dilihat sebak sepanjang perbualan itu dan memberitahu Ahmad begitu istimewa buat dirinya.

"Dia sangat istimewa buat saya, cuma apabila program MMA ditamatkan dan pandemik Covid-19 mula menyerang, dia pindah ke Singapura.

"Saya pun jarang menghubungi Allahyarham tetapi apabila saya mendapat perkhabaran duka ini, saya sangat tersentak hati.

"Terima kasih puan kerana sudi meluangkan masa... kami di sini (Malaysia) mendoakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman," ujarnya.

Untuk rekod, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Pusara Aman Singapura pada pukul 11 pagi Jumaat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain