PELAKON veteran Mak Jah mendedahkan dirinya sudah tidak mampu untuk menerima tawaran lakonan gara-gara keadaan kesihatan tidak mengizinkan. Mak Jah atau nama sebenarnya Maimunah Ahmad, 74, berkata kali terakhir dia terlibat dalam penggambaran drama adalah pada bulan Ramadan lalu. Kata Mak Jah, keadaan kakinya yang sudah tidak kuat membuatkan dirinya sukar untuk bergerak. "Saya sekarang tidak lagi menjalani mana-mana penggambaran drama. Kali terakhir, Haji Zeel saja yang mengambil saya berlakon pada bulan puasa lalu. Mak Jah tidak boleh bergerak terlalu cepat. "Sebenarnya tawaran berlakon tu ada lagi... Haji Zeel ada saja beri saya job berlakon tetapi keadaan kesihatan tidak begitu mengizinkan. "Badan saya sihat tetapi kaki saya lemah kerana mempunyai masalah urat saraf... saya tidak boleh berjalan laju atau terlalu cepat," katanya kepada mStar. Selain masalah saraf, Mak Jah juga memberitahu dia menghidapi penyakit kencing manis. ARTIKEL BERKAITAN: Selagi sihat boleh gerak, Mak Jah teruskan kerjaya lakonan... Siap pesan pelakon muda jangan kejar glamor ARTIKEL BERKAITAN: Aniq Suhair ditampar Mak Jah gara-gara tak dapat 'feel' untuk menangis "Saya ada buat pemeriksaan di hospital. Saya memang ada penyakit kencing manis... jantung Alhamdulillah okay. Cuma ada darah tinggi sikit tapi sekarang dah stabil. "Cuma kencing manis la kadang naik kadang turun. Ada sekali tu kencing manis saya naik sampai tak ada nombor sebab terlalu tinggi. "Kaki saya pula ini sekejap elok, sekejap sakit. Ada sekali tu tiga bulan saya tidak dapat berjalan... tak boleh berjalan langsung sebelum puasa tempoh hari," ujarnya. Sebenarnya tawaran berlakon tu ada lagi... tetapi keadaan kesihatan tidak begitu mengizinkan. MAK JAH PELAKON Menolak tawaran lakonan, pelakon drama Imam Instant Ustazah Scammer itu menjelaskan dia tidak mahu menyusahkan pihak produksi serta pelakon lain di set penggambaran. "Dengan keadaan kesihatan yang tidak begitu baik, saya tidak mahu mengganggu pihak produksi. "Saya juga tidak mahu menyusahkan pelakon-pelakon lain. Saya faham produksi nak habiskan penggambaran dengan cepat... kalau saya berjalan pun perlahan, sebelum orang marah baik saya elakkan diri daripada terlibat," jelasnya. Disebabkan tiada tawaran lakonan, aktres ini mengakui berdepan masalah kewangan dek kerana perlu membiayai rawatan perubatan. Mak Jah tidak mahu membebankan kru produksi sekiranya menerima tawaran berlakon. Pun begitu, Mak Jah tetap bersyukur kerana dirinya menerima bantuan daripada pihak Baitulmal untuk mengurangkan sedikit beban. "Sejujurnya daripada segi kewangan memang tidak dinafikan sejak tidak berlakon terasa sesak jugalah. "Saya perlukan wang untuk perubatan. Di hospital kita hanya diberi ubat sahaja. Macam penyakit kencing manis, jarum dan perkakasan untuk suntikan kena beli sendiri. "Tapi syukur Alhamdulillah saya mendapat bantuan Baitulmal setiap bulan sebanyak RM500, wang inilah yang saya gunakan untuk biayai perubatan," katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!