suria

Jatuh 10 kali, akan bangkit kali ke-11… Sweet Qismina tak baca komen pedas, dah minta maaf kepada 2 peserta Bintang Kecil 2023

Sweet anggap setiap teguran sebagai satu penghargaan.

PELAKON Sweet Qismina memohon maaf kerana melakukan beberapa kesilapan ketika diberi peluang mengacara pertandingan Bintang Kecil 2023 yang berlangsung pada malam Ahad.

Sweet atau Farhanna Qismina Supandi, 26, berkata, dia juga menerima dengan hati terbuka segala kritikan pedas dilemparkan dan menghargai semua teguran bagi memperbaiki mutu pengacaraan pada masa depan.

"Apa boleh saya kata terima kasih atas teguran untuk saya perbaiki diri menjadi lebih baik selepas ini. Sukar untuk kita jangka apa akan berlaku ketika program siaran langsung.

sweet qismina 2

Sweet belajar dari kesilapan.

"Saya minta maaf atas kesilapan tersebut dan perkara ini akan jadi pengajaran untuk saya di masa akan datang," katanya ketika dihubungi mStar pada Isnin.

Nama Sweet menjadi bualan ramai selepas dia tersalah mengumumkan pemenang pertandingan itu yang berlangsung di Arena Putra, Detar Putra, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Kuching, Sarawak.

Acara tersebut disiarkan secara langsung di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) TV2.

ARTIKEL BERKAITAN: “Dah halal bukan green light”... Sweet Qismina tetap jaga batas berlakon dengan suami, bimbang orang meluat

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Namo’ taruhan pertama Sweet Qismina, harap peminat beri peluang buktikan diri sebagai penyanyi

Sweet yang bergandingan dengan Azam Pitt melakukan kesalahan dengan mengumumkan peserta dari Selangor iaitu Nurfarina Farha Abdul Zahir sebagai juara walaupun pemenang sebenar ialah Fateeha Nasleen Suhaillin atau Kiki dari Sabah.

Disebabkan kesilapan tersalah umum itu, Farha yang menyangka dirinya juara dilihat mengalirkan air mata kegembiraan selain secara spontan melakukan sujud atas kemenangan tersebut.

Selepas menyedari kesilapan itu, Sweet dan Azam pula memaklumkan ia adalah sekadar gimik untuk menghilangkan debaran penonton yang seterusnya mendedahkan mereka kepada kritikan ramai.

Cukuplah orang di situ sahaja tahu apa yang berlaku. Apa yang berlaku bukan saya pinta

SWEET QISMINA

PELAKON

Dalam pada itu, Sweet berkata, dia sudah bertemu kedua-dua peserta dan memohon maaf selepas pertandingan berakhir.

"Jujurnya memang ada perasaan gementar di atas pentas kerana ini pengalaman baru buat saya. Cukuplah orang di situ sahaja tahu apa yang berlaku. Apa yang berlaku bukan saya pinta.

"Saya juga sudah berjumpa Farha dan Kiki secara peribadi untuk memohon maaf dan mereka menerima secara baik," ujarnya.

sweet qismian 4

Sweet bersama Niki selepas acara akhir.

Menurut Sweet, pengalaman itu tidak mematahkan semangat untuk dia terus mencuba nasib sebagai pengacara pada masa akan datang.

Malah dia juga tidak membaca komen-komen di media sosial yang teruk menghentamnya gara-gara kesilapan tersebut.

"Saya tak baca pun komen di media sosial. Cukup saya tahu bahawa saya sendiri buat silap.

"Saya akan terus serius sebagai pengacara. Kalau orang masih percaya saya akan mencuba. Jatuh 10 kali kita bangkit kali ke 11," jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain