SIKAP pemurah personaliti media sosial, Aisar Khaled menghadiahkan sebuah motosikal baharu kepada seorang penghantar makanan bernama Shahrul mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. Biarpun niatnya ikhlas mahu membantu pemuda dalam kesusahan, ada segelintir netizen kurang senang dengan tindakan Aisar, 23, membelikan pemuda berkenaan sebuah motosikal jenama Yamaha LC. Kata netizen, Aisar sepatutnya membantu Shahrul atau nama sebenarnya Muhammad Shahrul Shah Abu Bakar, 26, melunaskan pembayaran cukai jalan dan bukannya membelikan motosikal baharu. Menjawab komen netizen itu, Aisar berkata sebelum ini setiap minggu dia menghadiahkan motosikal kepada pengikut bertuah dan pemberian kepada Shahrul itu merupakan salah satu hadiah daripada projek berkenaan. Aisar hanya berniat membantu mempermudahkan urusan Shahrul. "Kenapa saya belikan dia motor? Rasanya semua pengikut di media sosial sudah tahu saya memang sedang menjalankan program setiap Sabtu dan Ahad memberikan 10 buah motosikal kepada pengikut bertuah. "Nak dijadikan cerita apabila kisah Shahrul viral di media sosial, ramai yang memaklumkan kepada saya untuk membantu lelaki berkenaan," katanya ketika dihubungi mStar pada Khamis. Sementara itu, Aisar berkata jika dia membantu mendapatkan semula motosikal yang disita itu mungkin mengambil sedikit masa dan kerana itulah dia membuat keputusan membelikan yang baharu. ARTIKEL BERKAITAN: Murahnya hati Aisar Khaled, buat kejutan hadiahkan Yamaha LC untuk 'rider' motor kena sita ARTIKEL BERKAITAN: "Dia terkejut dan sebak" - Aisar Khaled bagi sahabat hadiah kahwin wang RM100,000, sorok jambangan duit dalam Lamborghini "Saya tidak bertanya banyak kepada Syahrul kerana melihatkan keadaan ketika itu terlalu beremosi sehingga mengalirkan air mata. "Apa yang saya tahu, prosedur untuk menyelesaikan urusan sita itu memakan sedikit masa. Kalau Shahrul tidak mampu untuk membayar cukai jalan, tiada masalah saya boleh bayarkan. AISAR KHALED PERSONALITI MEDIA SOSIAL "Jadi saya ambil keputusan untuk belikan dia motosikal baru untuknya bagi memudahkan dia mencari rezeki," ujarnya. Selain isu berkenaan, netizen juga mempersoalkan tindakan Aisar menghadiahkan motosikal berkenaan yang diketahui cukai dan insurans lebih mahal berbanding jenama lain. Mengulas mengenai perkara itu, Aisar berkata dia tiada masalah untuk membantu membayar kos berkenaan jika Shahrul tidak berkemampuan pada masa akan datang. Aisar dikenali dengan sikap pemurah. Malah, dia tidak pernah merasakan dirinya diperguna oleh mana-mana pihak disebabkan sikap pemurahnya itu. "Kalau individu tersebut tidak mampu untuk membayar cukai jalan, tiada masalah saya boleh bayarkan untuknya terus lima tahun. "Kalau ramai cakap ada yang ambil kesempatan terhadap saya, itu terpulang kepada mereka. Sama ada saya nak bantu atau tidak, keputusannya tetap di tangan saya," jelasnya. Sudah lali dengan kecaman, Aisar berkata dia sama sekali tidak ambil pusing dengan kata-kata negatif ditulis netizen. Baginya masing-masing mempunyai hak untuk bersuara dan dia tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak. "Saya nampak banyak sangat komen negatif lebih-lebih lagi di Twitter... ada yang maki saya cakap saya bodoh sebab belikan motosikal dan bukannya perbaharui cukai jalan dia. Aisar mahu membantu lebih ramai individu memerlukan. "Saya terima semua komen dengan hati terbuka. Macam biasa, kita tidak boleh puaskan hati semua orang. "Kalau netizen pandang perkara ini secara positif maka ia adalah satu perkara baik. Sebaliknya jika ada yang memandang negatif jadilah ia satu perkara yang tidak baik," katanya. Sebelum ini, tular di media sosial apabila motosikal milik Shahrul disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana didakwa tidak membayar cukai jalan selama tujuh bulan. Lebih menyedihkan, Shahrul dilihat berjalan kaki sambil menggalas beg penghantaran makanan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!