PERNAH mendedahkan dirinya menderita penyakit bipolar, pelakon Janna Nick berkata tahap kesihatannya masih sama walaupun sudah berkahwin sejak Jun lalu. Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, 28, bagaimanapun memberitahu dia kini tidak lagi bergantung dengan ubat-ubatan kerana faktor kerjaya sebagai pelakon. Justeru itu, dia mengawal penyakit berkenaan sendirian tanpa melakukan pemeriksaan bulanan. Janna kini tidak perlu untuk mengambil ubat. "Keadaan (penyakit) saya masih sama. Ada masa saya gembira, bertenaga, sedih dan agak kritikal. "Keadaan masih sama sebab sakit saya sakit yang tidak boleh hilang sampai bila-bila. "Cuma saya kena pandai kawal diri," katanya kepada mStar. ARTIKEL BERKAITAN: Janna Nick ke Makkah 2 minggu, tempoh paling lama berjauhan dengan suami ARTIKEL BERKAITAN: “Jangan gatal-gatal kalau nak hidup lama” - Pesanan Janna buat Dini sebelum ke Makkah Janna berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Teater Muzikal Kanak-Kanak Pak Pandir dan Labu Ajaib yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Dalam usaha mengawal penyakit itu, isteri kepada aktor Dini Schatzmann ini memberitahu dia sentiasa mengamalkan pemakanan sihat dan lebihkan bersenam. Bercerita mengenai Teater Muzikal Kanak-Kanak Pak Pandir dan Labu Ajaib yang bakal diadakan pada 13 hingga 15 Oktober depan di Istana Budaya, Janna memaklumkan bahawa ia merupakan satu-satunya teater muzikal kanak-kanak untuk tahun ini. Janna bakal terlibat dengan Teater Muzikal Kanak-Kanak Pak Pandir dan Labu Ajaib pada 13 hingga 15 Oktober depan. Janna yang juga penerbit dan pelakon teater itu berkata tiket telah mula dijual dengan harga bermula RM50 hingga RM250 di ticket2u.com. Kos perbelanjaan untuk teater tersebut adalah mencecah sehingga RM500,000. Barisan pelakon yang bakal menerajui teater tersebut adalah Bell Ngasri, Janna Nick, Puteri Sarah, Norreen Iman, Aya Amiruddin dan Naque Ariffin.