DUA tahun pemergian penyanyi Siti Sarah Raisuddin sudah pasti sangat dirindui oleh tiga orang anaknya iaitu Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra dan Ariq Matin. Terbaharu, anak-anak Allahyarham mengimbau kembali kenangan bersama ibu mereka bersempena ulang tahun Siti Sarah yang jatuh pada Jumaat. Anak sulungnya, Uwais, 11, memberitahu kenangan paling diingati apabila mereka membeli makanan bersama selepas selesai bersenam di kawasan perumahan mereka. Manakala Talita, 9, pula mengimbau kenangan keluar bersama ibu dan Matin, 6, pula terkenang Allahyarham Siti Sarah menyuapkan makanan kepadanya. Siti Sarah meninggal dunia dua tahun lalu akibat jangkitan Covid-19. "Joging dengan ibu... Masa itu dekat kawasan rumah kami joging sampai dekat hujung kita singgah beli nasi lemak. "Masa ibu nak suap Matin... Ibu buat bulat-bulat (kepalkan nasi) baru dia kasi," luah anak Allahyarham. Perkara itu dikongsi tiga beradik itu menerusi sebuah video yang dimuat naik di TikTok. ARTIKEL BERKAITAN: “Ayash mata dia tutup tapi menangis” - Anak mungkin mimpi ibunya, Shuib bawa anak-anak ziarah kubur Siti Sarah hujung minggu ARTIKEL BERKAITAN: Genap 2 tahun pemergian Siti Sarah... Shuib titip doa, rindu terhadap arwah isteri tak berubah Menerusi video tersebut, Talita dilihat mengalirkan air mata apabila berkongsi cerita mengenai ibunya. Dalam pada itu, Matin dan Talita turut berpesan agar orang ramai menyayangi dan menghormati ibu mereka selagi mereka masih ada. "Kena hargai ibu... Dengar cakap ibu, kena sayang ibu. Awak kena doa mak awak yang sudah tidak ada, ayah awak yang sudah tak ada. Kena doakan," pesan Matin. Talita juga percaya Allahyarham ibunya kini sudah berada di tempat lebih baik meskipun tiada lagi berada di sisinya. Matin dan Talita mengimbau kenangan bersama ibu mereka. "Jangan sedih sebab ibu sudah dekat syurga... Kalau rindu dekat ibu, baca al-Fatihah banyak-banyak buatnya. "Ada orang yang tiada ibu bapa lagi kesian. Siapa yang ada ibu itu bersyukurlah. Jangan melawan, ada ramai orang yang tiada ibu sebab sudah meninggal dunia," kongsinya. Untuk rekod, Siti Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos 2021 akibat jangkitan Covid-19 selepas beberapa hari melahirkan anak bongsunya, Ayash Affan. Pada 23 Jun lalu, Shuib mendirikan rumah tangga dengan usahawan Watie Hanifiah. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!