suria

Pergi ‘show’ naik lori, setahun makan mi segera… Exists kenang zaman susah, teruja bakal adakan konsert orkestra

Exists antara kumpulan yang kekal bertahan hingga kini.

LEBIH 32 tahun berada dalam industri seni, nama kumpulan Exists antara yang masih kukuh dan terus mendapat perhatian peminat.

Malah lagu-lagu popular mereka seperti Alasanmu, Mengintai Dari Tirai Kamar serta Untukmu Ibu terus menjadi siulan peminat sehingga hari ini.

Mengimbau kenangan memulakan kerjaya, mereka mengakui tidak melalui jalan mudah sehingga pernah mengikat perut disebabkan kesempitan wang.

exist 2

Nama Exist terus kukuh dalam industri seni.

"Kita pernah pergi show naik lori sebab tidak ada duit. Makan mi segera setahun pun pernah rasa," kata Ajai selaku pemain keyboard.

Selain Ajai, kumpulan ini turut dianggotai oleh Along (gitar), Musa (bes), Ujang (dram) serta Ezad dan Mamat selaku vokalis.

Terus membuktikan kemampuan mereka sebagai sebuah band, Exists bakal sekali lagi bakal tampil dalam sebuah konsert Exists X Orkestra yang dijadualkan pada 22 Disember ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Exists ramai vokalis? Ezad Lazim jawab kekeliruan peminat, anggap sama macam kumpulan Dewa 19

ARTIKEL BERKAITAN: Konsert Resolusi Exists tampil 3 vokalis... Peminat tanya mana Ezad Lazim?

Istimewanya kali ini mereka akan memberikan kelainan dengan gabungan muzik orkestra yang pastinya dapat menghidupkan lagi persembahan di atas pentas.

"Kami tidak pernah melakukan persembahan seperti ini. Jadi kami amat teruja untuk membuat sebuah konsert bersama muzik orkestra.

"Muzik pada malam konsert nanti akan jadi lebih 'mewah' dan lagu-lagu juga boleh dikemaskan lagi bersama orkestra. Apa yang pasti semua lagu boleh dinyanyikan bersama peminat," ujar Ezad.

Kami tidak pernah melakukan persembahan seperti ini. Jadi kami amat teruja untuk membuat sebuah konsert bersama muzik orkestra

EZAD LAZIM

VOKALIS EXISTS

Sementara itu, Along pula menyifatkan konsert yang bakal berlangsung di Megastar Arena Kuala Lumpur ini sebagai sebuah impian yang sudah lama mereka idamkan.

"Tanyalah kepada mana-mana band, kugiran atau pemuzik, salah satu impian mereka pasti mahu melakukan persembahan konsert atau bergabung dengan orkestra.

exist 3

Exists janjikan persembahan terbaik buat peminat.

"Selama ini kami hanya menunggu waktu yang sesuai untuk menjayakan sebuah persembahan kolaborasi seperti ini. Akhirnya, impian itu tercapai jua. Exists sendiri tidak sabar untuk mencipta sejarah ini," jelasnya.

Hasil jualan tiket ini juga akan digunakan untuk membantu golongan artis yang memerlukan.

Tiket-tiket berharga bermula RM568, RM468, RM368, RM268 dan RM168 dan boleh dibeli menerusi www.myticket.asia.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain