PENYANYI dan penyampai radio Mawi menolak dakwaan rumah tangganya dengan isteri iaitu Ekin Rahmat sedang bergolak selepas beberapa hantaran mengenai perkara itu tular di laman sosial Facebook. Mawi atau Asmawi Ani, 42, sebaliknya menegaskan hubungannya dengan Ekin berada dalam keadaan baik dan apa diperkatakan tentang rumah tangga mereka adalah fitnah. Kata juara program Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) itu, dia dimaklumkan mengenai gosip berkaitan rumah tangganya menerusi kenalan memandangkan dia kurang aktif di Facebook. "Hubungan kami Alhamdulillah, sebab tiada apa-apa yang buat orang kata ada sesuatu... Itu yang tak seronok sebenarnya. Mawi dan Ekin masih bahagia sebagai suami isteri. "Saya memang jarang buka Facebook tpi ramai yang kongsi. Kawan-kawan saya pun kongsi pautan hantaran itu kepada saya. "Tapi bila mereka masuk, rupa-rupanya itu pautan laman menjual barang," katanya ketika dihubungi mStar pada Jumaat. Sebelum ini tular hantaran berita fitnah bertajuk 'Saya dah tak sanggup menangis lagi! Setelah 15 tahun berkahwin, Ekin dedah status rumah tangga dengan Mawi. Tak sangka...' di Facebook. ARTIKEL BERKAITAN: Mawi bukukan kisah suka duka bergelar bintang popular, harap dapat jadi sumber inspirasi ARTIKEL BERKAITAN: Mawi akui tak culas beri nafkah walaupun isteri keluar modal untuk buat filem Hantaran itu turut memaparkan wajah Mawi dan Ekin dengan raut wajah sedang marah dan kecewa sebagai menyakinkan pembaca untuk menekan pautan disediakan. Dalam pada itu, Mawi menegur peniaga yang menggunakan cara sedemikian bagi mengiklankan produk mereka kerana ia jelas memburukkan nama orang lain. Malah katanya, dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut memandangkan ia menjejaskan nama baiknya dan Ekin. "Nak berniaga sudah bagus... Kita pun sememangnya disuruh berniaga tapi pemasaran itu tak kena cara, biarlah buat dengan cara betul. Mawi dan Ekin tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap pembuat fitnah. "Tak perlu kait-kaitkan nama orang, dalam masa sama ia menjadi fitnah kepada orang lain dan itu tidak bagus. "Saya dan isteri ada bincang mengenai tindakan lanjut terhadap mereka sebab perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. "Hari ini nama saya dan isteri yang kena... Sebelum ini setahu saya ramai rakan artis juga sudah kena. Tunggu sahajalah apa tindakan seterusnya," ujarnya. Untuk rekod, Ekin dan Mawi mendirikan rumah tangga pada Disember 2008, pasangan ini dikurniakan seorang anak perempuan iaitu cahaya Malaika yang kini berusia 11 tahun. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!