PENYANYI Ibnor Riza meluahkan rasa terharu dan terkejut apabila mengetahui pengacara Datuk Aznil Haji Nawawi memulakan inisiatif mengumpulkan wang sumbangan untuk dirinya. Kata Ibnor atau Ibnor Riza Ibrahim, 62, dia mendapat tahu mengenai tabung sumbangan tersebut pada Selasa selepas mendengar berita tersebut di radio. Malah ketika pertemuan di pelancaran program mStar Baek pada 26 September lalu, Aznil atau mesra disapa Pak Nil tidak pernah menyuarakan mengenai bantuan tersebut. Ibnor antara selebriti yang terlibat dalam program mStar Baek. "Ketika berjumpa baru-baru ini, dia hanya bertanya khabar sahaja. Tiada pun dia cakap untuk bantu saya. "Apabila dapat tahu tentang sumbangan ini, saya amat terharu dan berterima kasih. Tak sangka Pak Nil sendiri nak bantu saya. "Pak Nil juga tidak menghubungi dan saya juga tiada nombor panggilannya. Jadi tak tahu bagaimana nak ucapkan terima kasih," katanya dengan nada sebak ketika dihubungi mStar. ARTIKEL BERKAITAN: [V] Setahun tiada undangan nyanyian akibat kanser, Ibnor Riza jual 3 buah kereta tampung rawatan ARTIKEL BERKAITAN: Enam sesi kimoterapi tak mampu bunuh sel kanser, Ibnor Riza perlu RM30,000 jalani rawatan di hospital swasta Ibnor merupakan salah seorang selebriti terlibat dalam program baharu mStar Baek yang mana turut menerima sumbangan kerana melalui hidup sukar selepas disahkan menghidap kanser limfoma sejak awal tahun. Bersyukur dengan bantuan bakal diterima, Ibnor berharap sumbangan itu dapat mengurangkan bebannya bagi menampung kos kehidupan harian selain perbelanjaan perubatan. Penyanyi lagu Mimpi Yang Tak Sudah ini turut mengharapkan dia kembali sihat seperti biasa agar dapat kembali aktif membuat persembahan. Dengan bantuan ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban IBNOR RIZA PENYANYI "Dengan bantuan ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban. Saya tidak perlu terlalu memikirkan soal duit untuk sihat. Berapa pun jumlahnya saya terima dengan rasa syukur. "Sekarang ini saya hanya mahu sihat sahaja. Saya nak terus menyanyi dan menyara keluarga," jelasnya. Sementara itu Ibnor memaklumkan dia memerlukan sekitar RM30,000 untuk menjalani proses rawatan namun jika ia tidak berjaya satu kaedah lain dicadangkan doktor dengan nilai RM200,000. Pak Nil melakukan inisiatif sendiri bantu Ibnor. Sebelum ini, Pak Nil menerusi satu perkongsian video di Instagram memaklumkan satu tabung membantu Ibnor dimulakan untuk orang ramai memberikan sumbangan. Menurutnya meskipun Ibnor masih menerima undangan menyanyi namun tahap kesihatannya kini mungkin menyukarkan untuk dia terlalu aktif. "Berapa banyak sangat show dia boleh buat dan berapa sangat dia dapat, jadi saya ambil inisiatif untuk memulakan kembali tabung ini. "Kalau dia nak cari duit sendiri mungkin lambat atau boleh ganggu kesihatan," jelasnya. Untuk info, program mStar Baek terbitan mStar dengan kerjasama penaja Noir Health & Beauty bakal bersiaran bermula Khamis ini. Selain Ibnor, selebriti veteran lain yang turut menerima sumbangan iaitu Zaiton Sameon, Mak Wan Latah, Mak Jah dan Bad Indigo. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!