DUA dekad berkarya dalam industri muzik, vokalis Setia Band iaitu Charly Van Houten membuktikan dia masih relevan dan berada dalam kelasnya tersendiri. Menerusi Konsert Setia Band 20 Tahun Charly Berkarya yang berlangsung meriah di Zepp Kuala Lumpur pada Sabtu, Charly menghiburkan peminat dengan menyanyikan lebih 15 buah lagu popular. Konsert yang bermula pada pukul 8:30 malam itu mendapat tepukan gemuruh apabila Charly memulakan pentas mempersembahkan lagu Jangan Pernah Berubah. Persembahan bertenaga Charly hiburkan peminat. Seleksi lagu seperti Aku Terjatuh, Aku Masih Sayang dan Istana Bintang turut menjadi lagu ‘sing along’ penonton yang hadir. Biarpun sudah tidak lagi bersama kumpulan ST12, Charly tetap menghiburkan penonton dengan lagu popular nyanyiannya berjudul Putri Iklan dan Saat Terakhir. ARTIKEL BERKAITAN: Charly seronok kembang karier di Malaysia, bangga dapat nyanyi semula lagu popular Allahyarham Saleem ARTIKEL BERKAITAN: ‘Gadis Malaysia’ buat peminat Indonesia marah, Charly Van Houten anggap hanya isu cemburu Mengakui suka muzik daripada Malaysia, Charly turut menyampaikan lagu Isabella dan Gerimis Mengundang. Konsert diiringi mini orkestra itu turut dimeriahkan dengan persembahan penyanyi jemputan Wanns Ahmad, Restu, Ilham Band dan Poey Stings. Rata-rata penonton berpuas hati dengan pilihan lagu ‘evergreen’ untuk konsert edisi kali ini. Restu (kiri) dan Wanns Ahmad turut tampil membuat persembahan. Untuk penutup konsert, Charly meninggalkan penonton dengan lagu Bintang Kehidupan dan Puspa. Siri jelajah 20 Tahun Charly Berkarya akan diteruskan di lokasi seterusnya iaitu Johor Bahru pada 18 November, Sarawak pada 16 Disember dan Sabah pada 31 Disember depan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!