suria

Sebak tonton video Pak Nil jumpa Ibnor Riza di hospital, serah wang sumbangan RM20,000

Aznil menyerahkan RM20,000 hasil sumbangan orang ramai.

SELEPAS dua minggu melancarkan tabung bantuan kepada Ibnor Riza, pengacara Datuk Aznil Nawawi menyerahkan wang tunai sebanyak RM20,000 hasil kutipan bagi membantu merawat penyakit kanser limfoma yang dihidapi penyanyi berkenaan.

Aznil atau lebih mesra disapa Pak Nil, 61, berkata dia berjaya mengutip sebanyak RM19,488, namun menggenapkan jumlah sumbangan menjadi RM20,000.

"Saya akan transfer duit RM20,000 ini ke dalam akaun abang dan gunakanlah untuk rawatan abang.

"Jumlah sebenar yang kami berjaya kutip adalah RM19,488 tapi saya lengkapkan kepada jumlah RM20,000," katanya.

aznil2 - 1

Aznil melawat Ibnor di hospital.

Aznil berkongsi perkara itu menerusi sebuah video yang dimuat naik di Instagram miliknya pada Isnin.

Menerusi perkongsian video berkenaan, Ibnor, 62, dilihat tidak dapat menahan sebak sehingga mengalirkan air mata ketika bertemu dengan Aznil.

Aznil bagaimanapun menasihatkan penyanyi lagu Mimpi Yang Tak Sudah itu untuk tidak terus bersedih kerana bimbang akan menganggu tahap kesihatannya menjadi lebih teruk.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibnor Riza terharu Pak Nil buka tabung bantuan, kos RM200,000 untuk rawatan baharu... "Sekarang ini saya mahu sihat sahaja"

ARTIKEL BERKAITAN: Kongsi kisah rambut gugur setiap kali kemoterapi buka hati Aznil cari dana bantu rawat kanser Ibnor Riza

Kata Aznil, dia hanya menjalankan tanggungjawab sebagai rakan artis dalam membantu penggiat seni yang berada dalam kesusahan.

"Abang jangan runsing... jangan sedih-sedih. Abang tahu tak, salah satu ubat untuk sihat adalah jangan stres.

"Kalau abang stres dan sedih, ia tidak akan membantu rawatan abang.

TONTON VIDEO IBNOR RIZA DALAM PROGRAM MSTAR BAEK INI!

"Abang tanggungjawab saya... saya dalam bidang abang. Kalau saya nak beri duit saya sendiri pun tidak sebanyak yang saya mampu," ujarnya.

Sementara itu, Ibnor turut mengucapkan terima kasih kepada Aznil dan orang ramai yang ikhlas memberikan sumbangan meringankan bebannya.

Ibnor juga mendoakan agar Aznil terus diberikan kesihatan yang baik dan sentiasa dimurahkan rezeki.

"Pertama kali saya nak ucapkan jutaan terima kasih kepada Pak Nil kerana telah membuatkan satu kerja amal yang amat bermakna bagi saya.

"Terima kasih juga kepada semua penyumbang yang sudah membuat sumbangan.

aznil1 - 1

Aznil terbuka hati untuk membuka kutipan dana bagi membantu Ibnor.

"Semoga Allah akan memberikan ganjaran dan membalas segala kebaikan ini di dunia dan di akhirat... semoga Pak Nil terus murah rezeki, sihat tubuh badan dan berjaya setiap masa," katanya.

Aznil sebelum ini berkata dia terbuka hati mengadakan kutipan sumbangan membantu Ibnor selepas bertemu penyanyi itu di majlis sambutan ulang tahun mStar ke-18 dan pelancaran program baharu mStar Baek pada 26 September lalu.

Kata Aznil, penderitaan Ibnor melalui proses kemoterapi akibat kanser limfoma membuatkan dia terbuka hati agar dapat membantu meringankan beban Ibnor dalam merawat penyakitnya.

Program mStar Baek dengan kerjasama penaja Noir Health & Beauty bersiaran di semua platform mStar setiap hari Khamis.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain