suria

Tiada niat persenda nama... Jihan Muse mengaku silap tidak sensitif, mohon maaf kepada Azmi Saat

Jihan akui keterlanjuran kata-kata ketika mengendalikan ASGV.

PENGACARA Jihan Muse tampil membuat permohonan maaf susulan ketelanjuran kata-kata terhadap penyanyi Azmi Saat ketika mengendalikan program All Stars Gegar Vaganza (ASGV) pada Ahad lalu.

Kesal dengan tindakannya itu, Jihan atau Nur Jihan Musa, 40, berkata dia sudah menghubungi Azmi sehari selepas ASGV minggu keempat bersiaran.

Malah, Jihan memberitahu dia sama sekali tidak berniat untuk menghina atau mempermainkan isu nama bapa penyanyi itu.

jihan muse 3

Jihan akui tiada niat mempersendakan Azmi.

"Saya telah berhubung dan memohon maaf secara peribadi dengan dia (Azmi) pada Isnin lalu. Tiada niat saya untuk mempermainkan nama dan menghina seperti yang dikatakan.

"Namun saya akui ia adalah kesilapan dari saya kerana tidak peka dan sensitif. Begitu juga dengan gurauan tidak bersesuaian yang telah dibuat. Ia tidak sepatutnya berlaku kepada sesiapa pun," katanya.

Jihan menulis luahan tersebut dalam satu perkongsian di laman Instagram miliknya pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: World class performance! Gandingan Liza Aziz dan Noryn Aziz dapat pujian, satu auditorium berdiri beri penghormatan

ARTIKEL BERKAITAN: Trending setiap minggu, 6.11 juta tonton All Stars Gegar Vaganza

Sebelum ini, gurauan Jihan berkaitan nama 'Saat' menjadi bualan dalam kalangan netizen kerana dianggap mempersendakan bapa kepada Azmi.

Selain itu, soalan Jihan kepada Azmi tentang bagaimana dia hadir ke Auditorium MBSA juga dianggap tidak sesuai memandangkan penyanyi itu merupakan orang kurang upaya.

Dalam pada itu, Jihan menganggap segala teguran yang diterima adalah satu pengajaran agar dia lebih berhati-hati ketika mengendalikan ASGV.

jihan muse 2

Jihan menerima semua teguran untuk memperbaiki mutu persembahan.

"Ini adalah pengajaran buat saya untuk lebih peka dan berhati-hati. Saya terima segala teguran.

"Diharapkan perkara ini tidak akan berulang lagi daripada saya atau sesiapa sahaja. Ia bukan perkara yang boleh dinormalisasikan.

"Semoga kami dapat menyusun skrip dengan lebih baik selepas ini," ujarnya.

Pada Ahad lalu, Azmi tampil berduet dengan Azharina menyampaikan lagu berjudul Pupus yang dipopularkan oleh Dewa 19.

Selain Jihan ASGV juga dikendalikan oleh Nabil Ahmad sebagai pengacara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain