PENYANYI Judika memilih tiga buah lagu dari Malaysia untuk menghiburkan 12,000 penonton di konsert Rockmantic Night Judika and The Gang yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada malam Sabtu. Judika atau Judika Nalon Abadi Sihotang, 45, berkata, dia mahu membawakan kelainan dengan menyanyikan lagu-lagu kesukaannya yang belum pernah di tonton peminat Malaysia. Kata Judika, setiap pilihan lagu yang dibawa mempunyai keistimewaan sendiri, lebih-lebih lagi lagu Mengintai Dari Tirai Kamar yang dibawa versi Indonesia. Judika menghiburkan 12,000 penonton di Kuala Lumpur. "Kalau dulu saya selalu membawakan lagu Isabella, Gerimis Mengundang, Suci Dalam Debu... jadi saya mahu sesuatu yang baharu di mana saya belum membawakan lagu-lagu itu di Malaysia. "Lagu Sejati itu dari dulu lagi saya sudah dengar... cuma belum pernah menyanyi. Saya juga suka Awie dan kumpulan Wings. ARTIKEL BERKAITAN: Judika gelabah padam foto IG undang kecoh, pertama kali buat gimik ARTIKEL BERKAITAN: Judika tak kejar harta, mahu hidup gembira dengan keluarga - "Bukan wang yang jadi Tuhan" "Kalau lagu Buih Jadi Permaidani itu juga sangat popular di Indonesia... saya suka melodi lagu itu. Jadi saya bawakan lagu itu berduet bersama Haqiem Rusli (penyanyi undangan). "Pemilihan lagu Cintai pula memang dari dulu saya suka tetapi belum menyanyikan di sini. Lagu ini paling mencabar kerana liriknya panjang," katanya kepada mStar. Judika berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media konser Rockmantic Night Judika and The Gang yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil Kuala Lumpur pada malam Sabtu. Kemantapan vokal Judika memukau penonton. Istimewanya pada konsert kali ini, Judika membawa keluarga besarnya termasuk isteri, anak-anak, ibu bapa dan ibu bapa mentua terbang ke Kuala Lumpur untuk bersama-sama menyaksikan persembahannya. Sewaktu menyanyikan lagu Mama Papa Larang, penyanyi itu juga turut menceritakan kisah sebenar percintaannya bersama isteri sebelum berkahwin mendapat tentangan keluarga. "Lagu Mama Papa Larang yang saya bawakan itu menjadi lebih bermakna apabila ibu dan bapa mentua saya turut hadir malam ini (Sabtu). "Keluarga saya sendiri yang membuat keputusan untuk hadir pada konsert saya kali ini... selalunya konsert-konsert saya yang lain mungkin biasa bagi mereka kerana rutinnya sudah habis menyanyi pulang ke rumah. Judika pertama kali membuat persembahan berskala besar di Kuala Lumpur. "Tetapi konsert di Kuala Lumpur ini agak istimewa... jadi saya perlu sokongan dan doa daripada mereka (keluarga) untuk konsert ini berjalan lancar," katanya. Konsert Rockmantic Night Judika and The Gang diserikan dengan 18 buah lagu termasuk Bukan Rayuan Gombal, Aku Yang Tersakiti, Jadi Aku Sebentar Saja, Sampai Akhir dan banyak lagi. Selain Judika, tiga penyanyi undangan dari Malaysia iaitu Shila Amzah, Haqiem Rusli dan Marsha Milan turut mendapat sorakan penonton sewaktu membuat persembahan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!