PENYANYI Ezad Lazim mengakui emosinya terganggu sebelum membuat persembahan di Konsert All Stars Gegar Vaganza (ASGV) minggu ketujuh susulan kawasan kediamannya dinaiki air banjir pada petang Ahad. Ezad atau Mohd Rohaizad Mohd Lazim, 44, bagaimanapun berkata sebagai penyanyi profesional dia perlu melupakan seketika kegusaran itu sebelum melangkah naik ke pentas melakukan persembahan. Malah dia juga akur nyanyiannya menerusi lagu Seksa itu gagal memikat hati juri sekaligus namanya diumumkan tersingkir. Ezad akui persembahan minggu ketujuh ASGV penuh dengan keresahaan. "Pada pagi Ahad sebelum saya keluar rumah sudah terbit rasa bimbang kerana air mula naik di kawasan perumahan. Saya tahu akan berlaku banjir sekiranya hujan berterusan. "Mahu atau tidak saya terpaksa tinggalkan rumah untuk ke program ASGV. Sepanjang di sana memang rasa tidak sedap hati. Saya asyik fikirkan apa akan berlaku. Tambahan pula hujan turun tidak henti semalam (Ahad). "Ada sedikit ganggu proses persembahan. Namun syukur saya boleh lupakan sekejap kebimbangan itu ketika berada di atas pentas. Cuma bukan rezeki saya untuk ke minggu seterusnya," katanya ketika dihubungi mStar pada Isnin. ARTIKEL BERKAITAN: Rumah Ezad Lazim banjir lagi, pukul 2 pagi terkandas jalan dinaiki air ARTIKEL BERKAITAN: Persembahan tiada yang istimewa, kucar-kacir... Ezad Lazim tersingkir minggu ketujuh All Stars Gegar Vaganza Selepas diumumkan tersingkir, Ezad bergegas pulang meninggalkan Auditorium Dewan Bandaraya Shah Alam (MBSA) disebabkan kawasan perumahan itu sudah dilanda banjir. Setibanya di Sepang, Selangor itu kira-kira pukul 2 pagi, Ezad berkata dia terkandas dan tidak boleh melalui jalan masuk utama ke rumahnya itu. "Saya terpaksa guna lorong tikus untuk balik ke rumah. Saya dapat infomarsi dari jiran ada jalan lain yang boleh dilalui. Ezad redah banjir untuk masuk ke rumahnya. "Memang keadaan gelap apabila saya tiba di kawasan berkenaan kerana bekalan elektrik terputus. Kalau ikutkan saya mahu redah banjir, tetapi pegawai bertugas nasihatkan tidak berbuat demikian. "Syukur rumah saya tidak dimasuki air, hanya kawasan sekitar sahaja. Isteri saya pun sudah alihkan barang-barang penting ke tingkat atas sebelum keluar rumah," ujarnya. Sementara itu Ezad menganggap penyingkirannya di pentas ASGV adalah satu kelegaan kerana boleh memberikan fokus untuk persiapan konsert Exists pada Disember depan. "Lega saya dah tak perlu nak fikir fasal persembahan ASGV lagi. Ada hikmah di sebalik penyingkiran itu. Saya boleh bertenang sekarang. "Konsert Exist pun dah nak dekat, jadi boleh fokus untuk berlatih," jelasnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!