PEMERGIAN penyanyi Tia Jinbara pada malam Rabu memberi kesan cukup mendalam buat tiga anak tirinya yang cukup rapat dengan Allahyarham. Nifail atau Ahmad Nifail Mohamad Fairuz, 17, berkata, dia dan adik-beradiknya kini hilang tempat mengadu memandangkan arwah adalah tempat mereka meluahkan masalah dan berkongsi cerita. Cerita Nifail, sebelum Tia jatuh sakit, arwah setiap minggu akan datang melawatnya yang duduk di asrama Sekolah Menengah Sains Banting, Selangor walaupun tanpa ditemani ibunya. "Banyak kenangan saya dengan ayah... Setiap minggu dia akan datang melawat saya dekat asrama, walaupun sakit dia datang juga. Tia bersama isteri dan anak-anak mereka. "Kadang-kadang emak saya tak dapat datang, ayah yang datang bawa makanan," katanya kepada mStar. Nifail berkongsi perkara itu ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Sungai Jati, Kampung Jawa, Klang pada Khamis. Allahyarham selamat dikebumikan kira-kira pukul 10.05 pagi. Tambah anak bongsu daripada tiga beradik itu, dia akan merindui jenaka Tia yang menyifatkan bapa tirinya itu seorang yang lucu dan pendengar setia. ARTIKEL BERKAITAN: Tia Jinbara meninggal dunia ARTIKEL BERKAITAN: Tia Jinbara perlu RM250,000 untuk jalani pemindahan hati segera, isteri sedia jadi penderma organ "Setiap minggu kalau ada benda berlaku saya akan cerita dekat ayah. Banyak benda saya borak dengan ayah. "Saya suka berkongsi cerita dengan dia. Ia perkara yang akan saya rindui tentangnya," kongsi Nifail. Nifail memberitahu berita pemergian Tia sangat mengejutkan memandangkan baru sahaja bertemu arwah pada Ahad lalu. Setiap minggu dia akan datang melawat saya dekat asrama, walaupun sakit dia datang juga. AHMAD NIFAIL ANAK TIRI TIA JINBARA Remaja itu memberitahu bapanya itu sempat berpesan agar dia tekun dalam pelajaran selain tidak meninggalkan solat. "Pemergian ayah sangat mengejutkan sebab saya tengah menghadapi peperiksaan percubaan SPM. Semalam baru sahaja kertas terakhir dan malam itu saya dapat berita pemergiannya. “Kali terakhir saya jumpa ayah ahad lepas... Ayah pesan belajar elok-elok, jangan tinggal solat dan minta saya fokus belajar sebab SPM tidak lama lagi. "Saya ada mesej mak tapi dia beritahu keadaan ayah baik sahaja, tiba-tiba semalam dapat berita ayah meninggal dunia," katanya. Anak-anak menganggap Tia seperti ayah kandung. Nifail mendedahkan ada beberapa impian bapanya yang tidak sempat ditunaikan termasuk hasrat menunaikan ibadah haji selain memasang impian memandu kereta jenama Mercedes-Benz. Tia atau Shamsul Bakhtiar Zakaria, 53, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Shah Alam pada pukul 9.17 malam Rabu disebabkan komplikasi kanser hati. Untuk rekod, Tia mendirikan rumah tangga dengan bekas wartawan Berita Harian, Suzan Ahmad pada Mei 2009 namun mereka tidak dikurniakan cahaya mata. Suzan menerusi perkahwinan terdahulu mempunyai tiga cahaya mata iaitu Ahmad Naqiuddin, 22, Qystina Nayli, 20 dan Ahmad Nifail, 17 tahun. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!